Isi Kandungan
Pulau Langkawi yang terletak di negeri Kedah, Malaysia ini sangat terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara kerana landskapnya yang indah dan kisah sejarah tempatan yang unik. Terdapat banyak tempat menarik yang boleh dilawati di Pulau Langkawi ini bersama keluarga dan rakan-rakan.
Mari kita lihat antara tempat menarik yang mesti dilawati di Pulau Langkawi!
6 Tempat Menarik Di Pulau Langkawi, Bandar Berdekatan Koh Lipe Berbaloi Untuk Anda Lawati Dalam Masa Satu Hari
1. Langkawi Cable Car
Menaiki Kereta Kabel Langkawi adalah antara perkara yang mesti dilakukan oleh pelancong yang datang ke Pulau Langkawi. Kereta Kabel yang terletak di Kampung Oriental, Pulau Langkawi ini merupakan antara laluan kereta kabel yang terpanjang di dunia iaitu 2.2km dan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai ke puncak Gunung Machincang.
Dari stesen bawah yang terletak di kaki bukit Machincang, anda akan menaiki kereta kabel hingga ke stesen tengah yang terletak 650 meter dari paras laut. Sepanjang perjalanan, anda berpeluang untuk melihat keindahan alam semula jadi di kawasan sekitar melalui tingkapnya yang lutsinar dan besar. Kemudian, anda akan menuju ke stesen atas setinggi 708 meter dari aras laut di mana anda berpeluang untuk melihat keindahan panorama Pulau Langkawi dan selatan Thailand. Di stesen atas, terdapat tarikan Langkawi yang menakjubkan iaitu Langkawi Sky Bridge.
Alamat:Â Jalan Telaga Tujuh, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi: Setiap hari (9.30 pagi – 6.00 petang)
Hotel Terdekat |Â Lokasi | Ulasan | Laman Web | Facebook
2. Langkawi Sky Bridge
Langkawi Sky Bridge adalah sebuah jambatan melengkung yang terpanjang di dunia dengan tingginya lebih kurang 700 meter dan panjangnya adalah 125 meter. Untuk tiba ke jambatan yang dibina di atas Gunung Mat Chincang ini, pelancong harus menaiki kereta kabel hingga ke stesen atas kemudian berjalan kaki dengan melalui jalan yang mencabar ala-ala jungle trekking lebih kurang 10 minit. Terdapat cara lain untuk anda pergi jambatan ini, iaitu dengan menggunakan perkhidmatan tram SkyGlide.
Tiket SkyGlide boleh didapati di stesen atas kereta kabel. Dari atas jambatan ini, pelancong boleh berjalan dan bergambar sambil menikmati keindahan flora di Langkawi dari sudut yang sangat menarik. Suasana di atas sangat segar penuh dengan kehijauan serta udaranya yang nyaman. Pembinaan jambatan ini hanya menggunakan satu tiang sokongan, maka tidak hairanlah anda akan merasa seperti bergoyang-goyang berjalan di atas.
Alamat:Â Cable Car Top Station, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi:Â Setiap hari (9.00pagi – 7.30 malam)
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan | Laman Web | Facebook
3. Langkawi Wildlife Park
Langkawi Wildlife Park salah satu tempat menarik yang ideal untuk dikunjungi bersama keluarga dan anak-anak apabila datang ke Pulau Langkawi. Langkawi Wildlife Park sama konsepnya seperti zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan reptilia, mamalia, burung dan lain-lain yang terdiri dari pelbagai spesis. Di taman haiwan ini anda berpeluang untuk berinteraksi dengan hidupan liar sambil menambah ilmu pengetahuan mengenai haiwan tersebut kerana infografik mengenai setiap haiwan ada disediakan.
Terdapat beberapa jenis haiwan jinak yang boleh dibelai dan diberi makan oleh pelancong seperti arnab, rusa, burung unta dan lain-lain. Peluang sebegini dapat membantu anak-anak lebih mengenali haiwan dan berinteraksi dengan fauna secara dekat.
Selain itu, para pelancong boleh mengupah jurupandu ketika lawatan dan mendengar penerangan secara terperinci mengenai haiwan-haiwan di sini. Laluan di sini adalah kawasan berbumbung maka, pelancong tidak perlu risau akan cuaca hujan atau panas terik apabila melawat taman haiwan ini.
Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pechah, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi:Â Setiap hari (8.30 pagi – 5.30 petang)
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan | Laman Web | Facebook
4. Underwater World Langkawi
Underwater World Langkawi merupakan salah satu aquaria yang terbesar di rantau Asia yang telah beroperasi sejak tahun 1995. Di dalam Underwater World Langkawi ini terbahagi kepada beberapa zon mengikut habitat hidupan marin. Di zon The Marine Life, pelancong akan melalui terowong jenis lutsinar sepanjang 15 meter yang berisi 5,000 liter air dan menempatkan pelbagai spesis hidupan marin yang eksotik.
Antara hidupan marin yang sering dikenali ialah jerung, ikan pari, penyu, dan banyak lagi. Terdapat juga zon River Ecosystem di mana terdapat tiga tangki yang digabungkan dan menggunakan konsep seperti aliran air sungai yang menempatkan spesis ikan air tawar seperti Bala Shark. Dalam zon ini juga terdapat ruangan unik yang menempatkan haiwan seperti Leopard Gecko dan pelbagai spesis ular kecil. Selain itu, pelancong juga berpeluang untuk melihat burung Flamingo, anjing laut, penguin dan banyak lagi di Underwater World Langkawi.
Lawatan ke sini dapat mendedahkan pengetahuan mengenai hidupan marin kepada anak-anak dan pelancong yang datang. Lokasinya juga mudah diakses dan terletak berhampiran dengan Pantai Cenang, salah satu pantai popular di Langkawi.
Alamat: Jalan Pantai Chenang, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu Operasi:Â Setiap hari (8.30 pagi – 6.30 petang)
Hotel Terdekat |Â Lokasi | Ulasan | Laman Web | Facebook
5. Tanjung Rhu Beach
Pantai Tanjung Rhu yang terletak di bahagian timur laut pulau merupakan antara pantai yang popular di Langkawi. Suasana pantai di sini lebih tenang dan mempesonakan dengan keindahan pemandangan laut dan pokok-pokok rhu yang hidup subur di kawasan ini. Kawasan sekitar pantai juga cantik dan bersih seperti terjaga rapi. Pantai Tanjung Rhu mempunyai suasana yang lebih privasi dan tidak terlalu sibuk jika dibandingkan dengan Pantai Cenang yang lebih popular.
Terdapat dua buah penginapan yang selesa sekiranya anda mempunyai perancangan untuk bermalam di kawasan pantai ini, iaitu Tanjung Rhu Resort Langkawi dan Four Season Resort Langkawi. Buat pengetahuan semua, beberapa kawasan di pantai ini adalah kawasan persendirian resort yang hanya boleh dilawati oleh pelanggan resort tersebut sahaja.
Aktiviti yang sesuai dilakukan di pantai ini ialah bermandi-manda, snorkeling, parasailing dan lain-lain lagi. Pada waktu pagi ketika air laut surut, anda berpeluang untuk pergi sehingga ke tengah-tengah pantai dan melihat ibarat ada dua pantai di kiri dan kanan anda.
Alamat: Pantai Tanjung Rhu, 07000, Langkawi, Kedah
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan
6. Dataran Lang
Dataran Lang adalah lokasi di mana terletaknya mercu tanda Pulau Langkawi iaitu burung helang yang bersaiz sangat besar. Di sini adalah antara tempat yang wajib pelancong ambil gambar apabila sampai ke Pulau Langkawi. Monumen burung helang berukuran 12 meter tinggi ini kelihatan seakan-akan menyambut kedatangan pelancong yang menaiki feri ke pulau ini.
Mercu tanda burung helang ini mempunyai perkaitannya dengan nama Langkawi. Dalam bahasa Melayu klasik, perkataan kawi membawa maksud perang yang kemerahan manakala perkataan lang pula mewakili burung helang, maka Langkawi adalah burung helang yang berwarna merah keperangan. Dari Dataran Lang ini juga pelancong dapat menyaksikan keindahan pemandangan di sekitar Kuah Bay dan melihat feri berlepas dan berlabuh memandangkan ia adalah pintu masuk ke Langkawi.
Pelancong disarankan untuk datang pada waktu pagi atau petang untuk mengelakkan terik matahari dan mendapatkan pemandangan yang indah. Boleh juga datang ke sini pada waktu malam bagi melihat keindahan cahaya lampu yang menerangi Dataran Lang dan membuatkan monumen burung helang kelihatan lebih menarik.
Alamat: Persiaran Putera Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan | Info LanjutÂ
Jom baca lagi:
- 3 Tempat Menarik Di Pak Bara, Bandar Berdekatan Koh Lipe
- 7 Tempat Menarik Di Kuala Perlis, Bandar Berdekatan Koh Lipe
Ketahui juga: 50+ Tempat Menarik di Langkawi Paling Menarik – Panduan Bercuti di Pulau Langkawi
Kesimpulannya, memang banyak tempat menarik yang mesti dilawati di Pulau Langkawi. Keindahan landskap dan alam semula jadinya dapat memberikan anda ketenangan dan pengalaman yang luar biasa. Mari kita pergi ke Pulau Langkawi!