Isi Kandungan
Daerah Marang merupakan daerah yang bersebelahan dengan Daerah Kuala Terengganu, Daerah Dungun & Daerah Hulu Terengganu serta mempunyai beberapa tarikan pelancongan yang sering menjadi kunjungan pelancong dalam dan luar negara. Di daerah ini, tempat menarik di Marang yang paling top sudah tentulah destinasi Pulau Kapas & Pulau Gemia yang mempunyai pesisiran pantai yang cantik dan pasir yang gebu sesuai sebagai tempat berbulan madu anda.
Sekiranya anda bercadang nak bercuti ke Terengganu samaada di Marang, Kuala Terengganu atau Dungun, panduan percutian ini sangat sesuai untuk anda kerana jarak Bandar Marang yang tidak berapa jauh antara satu sama lain.
- Apa yang pelancong perlu tahu pasal Marang
- Tempat menarik di Marang yang popular ketika bercuti
- Tempat menarik untuk makan makan di Marang
1. Apa yang pelancong perlu tahu pasal Marang
Bandar utama untuk Daerah Marang hanya terletak kira-kira 22 km daripada Bandar Kuala Terengganu dan di bandar kecil ini pelbagai kemudahan asas ada samaada penginapan, klinik, bank, pajabat daerah, pasar, jeti dan sebagainya. Menginap di Bandar Marang juga sangat ideal untuk anda walaupun anda ingin bercuti ke Bandar Kuala Terengganu kerana lokasinya yang tidak jauh serta strategik dengan banyak tarikan pelancongan di dalam Daerah KT & Marang.
Selain itu Bandar Marang lebih kurang sibuk dan suasananya yang lebih tenang di tepi pantai. Aktviti utama di Bandar Marang adalah perikanan dan merupakan tempat nelayan berlabuh setiap pagi di sini.
2. Tempat menarik di Marang yang popular ketika bercuti
Berikut merupakan beberapa destinasi ideal untuk anda lawati kalau bercuti ke Marang, Terengganu.
Pulau Kapas – Merupakan satu tempat percutian di pulau Terengganu yang popular yang menjanjikan keindahan pantai, air laut dan hidupan marin yang menarik untuk aktiviti snorkeling & scuba diving. Destinasi ini sesuai sebagai tempat berbulan madu kerana mempunyai resort & penginapan tepi pantai yang menarik.
Nama Kapas diletakkan untuk pulau ini kerana keputihan pasir pantainya yang seolah-olah seperti himpunan kapas yang putih kalau dilihat dari jauh. Pulau Kapas hanya terletak kira-kira 6-7 km dari pesisir Bandar Marang. Untuk ke Pulau Kapas, pelancong perlu menaiki bot di Jeti Marang yang terletak betul-betul di dalam Bandar Marang dan memakan masa 20-30 minit perjalanan menaiki bot. Di sekitar perairan Pulau Kapas merupakan lokasi terbaik untuk aktiviti mencandat sotong yang kebiasaannya paling rancak antara bulan May-Ogos setiap tahun.
Pulau Gemia – Sebuah pulau kecil yang bersebelahan dengan Pulau Kapas juga menjadi salah destinasi yang sesuai untuk anda honeymoon atau untuk mereka yang lebih sukakan privasi.
Terdapat resort di sini yang mempunyai infinity pool yang cantik mengadap pantai yang membiru dan pelancong boleh lakukan aktiviti snorkeling, berkayak, scuba diving dan sebagainya. Di sini juga terdapat kolam yang menempatkan anak-anak penyu yang boleh anda lihat secara live di depan mata.
Pantai Peranginan Kelulut – Pantai Kelulut merupakan satu pantai rekreasi yang popular & paling dekat dengan Bandar Marang kira-kira 3-4 km sahaja. Pada waktu petang anda boleh lepak di gerai-gerai di sepanjang Pantai Kelulut sambil makan makanan santai orang Terengganu seperti keropok, ikan celup tepung, satey ikan & air kelapa.
Antara waktu petang sehingga malam pula, destinasi ini sering menjadi kunjungan orang ramai untuk makan malam yang sedap-sedap di Medan Selera Esplanade/ Medan Ikan Bakar Kelulut.
Benteng Marang / Benteng Pemecah Ombak – Bagi yang sedang dilanda kekusutan otak, sangat dicadangkan untuk anda bersiar-siar ke Benteng Pemecah Ombak di Muara Sungai Marang ini. Benteng yang dibina dengan konkrit dengan himpunan batu-batu besar ini mempunyai dua lingkaran benteng yang berbentuk melengkung.
Lengkungan benteng pertama bermula dari kawasan Pulau Kekabu dan satu lagi dari Kampung Seberang Marang. Anda boleh berjalan di atas benteng ini samaada berjalan kaki, menaiki basikal atau menaiki motosikal. Pemandangan dari atas benteng ini yang menampakkan Laut China Selatan serta Pulau Kapas nun di hujung sana pasti memberi anda satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pada waktu petang benteng ini sentiasa tak lekang dengan kunjungan orang setempat untuk bersiar dan memancing.
Pantai Pulau Kekabu – Walaupun namanya pulau namun bukan bermakna ianya sebuah pulau di lautan sebaliknya merupakan satu tempat berdekatan muara sungai yang mempunyai pesisiran pantai yang lapang dan sesuai untuk berkelah.
Pantainya yang landai membuatkan ianya sering menjadi tempat untuk kanak-kanak bermain air dan mandi-mandi manja. Di sini juga terdapat kemudahan taman permainan kanak-kanak seperti gelongsor dan kemudahan pondok rehat. Pantai ini juga akan dijadikan tempat latihan untuk sukan layar negeri Terengganu selain di Pulau Duyong
Kraf Tangan Rotan – Bagi yang sukakan produk kraftangan, salah satu tempat menarik di Marang yang boleh anda kunjungi ialah di sekitar Kampung Rhu Rendang & Kampung Rusila yang mempunyai beberapa kedai di sepanjang jalan utama yang menjual kraf rotan, buluh, anyaman mengkuang dan sebagainya. Produk kraf yang dihasilkan rata-ratanya lebih kepada produk kegunaan harian seperti kerusi malas, tudung saji, raga, bakul, tikar, sangkar burung dan sebagainya.
Pelabuhan Nelayan Seberang Marang – Bagi kaki photografi yang suka ambil gambar landskap, apa kata ke Pelabuhan Marang yang menempatkan banyak bot-bot nelayan yang berlabuh dan sudah tentu menarik untuk dijadikan subjek utama berlatarkan muara Sungai Marang. Di awal subuh tempat ini sudah dipenuhi peraih ikan yang memborong untuk dijual di pasar.
Jeti Marang – Jeti Marang merupakan hub utama untuk pelancong menaiki bot menuju ke Pulau Kapas. Di sekitar jeti ini terdapat deretan bangunan yang menempatkan agen-agen pelancongan yang menawarkan pelbagai pakej melancong ke Pulau Kapas. Sambil menunggu bot ke Pulau Kapas, anda boleh lepak-lepak di medan selera bersebelahan yang betul-betul mengadap muara Sungai Marang. Pemandangan di sini memang cantik.
Marang Waterfront – Merupakan tempat menarik di Marang yang sesuai untuk anda bersantai di waktu petang bersama anak-anak. Terdapat dataran berbata dan taman permainan yang pasti membuat anak-anak riang berkejaran. Setiap petang, destinasi ini sering dikunjungi penduduk setempat bersama keluarga untuk santai sambil makan-makan di tepian muara sungai. Penjaja jalanan juga terdapat di sini yang kebiasannya menjual makanan santai orang Terengganu seperti satey ikan, aiskrim roti & sebagainya.
Taman Rekreasi Pulau Kerengga – Terletak 5 minit perjalanan dari Bandar Marang, taman rekreasi ini agak unik kerana terletak di antara sungai dan laut. Di sini terdapat kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, surau, jambatan, pondok rehat & tandas. Lokasinya juga terletak berhampiran dengan rimpunan pokok nipah dan pemandangan sungai yang tenang daripada pondok di sini memang sangat menarik dan port terbaik untuk kaki pancing memancing ikan sungai.
3. Tempat Makan Menarik di Marang
Medan Selera Esplanade – Walaupun nama medan selera ini ala-ala Sepanyol namun tidak bermakna medan ini menghidangkan makanan western semata-mata. Sebaliknya Medan Selera Esplanade atau lebih dikenali dengan Medan Ikan Bakar Kelulut menempatkan 7-10 kedai makan sederet yang rata-ratanya menghidangkan makanan laut & ikan bakar.
Kebiasaannya medan selera ini mula beroperasi petang sehinggalah lewat malam. Setiap kali musim cuti, destinasi ini sering penuh dengan orang ramai yang menjadikan Medan Selera Esplanade sebagai R&R. Ini kerana selain untuk makan-makan, medan selera ini juga bersebelahan denga surau, tandas awam & stesen minyak Petron. Populariti restoran-restoran di sini adalah kerana lokasinya yang berdekatan dengan bandar Marang yang merupakan tempat pendaratan ikan dari laut, justeru seafood yang ada di sini memang sangat ‘segar dari ladang’.
Kedai Keropok Lekor Marang – Sekiranya anda ingin mencari makanan popular orang Terengganu iaitu keropok lekor, tak perlu susah payah ke Kampung Losong atau ke Kampung Bukit Tok Beng di Kuala Terengganu kerana di sepanjang pesisiran jalan di Marang mempunyai banyak kedai menjual keropok lekor baik yang rebus, goreng ataupun keropok keping. Salah satu kedai yang paling popular di sini ialah di Kedai Keropok Lekor 008 Kelulut.
Medan Selera Marang Waterfront – Bersebelahan dengan Jeti Marang, terdapat satu medan selera di tepi muara sungai yang boleh anda singgah untuk sarapan pagi makanan orang Terengganu seperti nasi minyak, nasi dagang dan juga nasi lemak ikan tongkol. Waktu tengahari pilihan lauk pauk tradisional Terengganu tidak kurang menariknya seperti sotong sumbat, gulai ikan, gulai sotong, singgang dan sebagainya. Makan kenyang di waktu tengahari sambil melihat pemandangan yang cantik ditambah pula dengan angin pantai yang bertiup kencang pasti membuatkan bangku batu di sini sangat selesa untuk membuta di tengahari.
Air Nira Kelulut & Dodol Palas – Di sepanjang jalan Kg Kelulut – Pulau Kerengga, anda akan berjumpa dengan banyak gerai-gerai yang menjual air nira yang segar dari ladang. Madu kelulut, dodol palas dan air kelapa juga boleh didapati di sini. Perusahan makanan dodol palas, air nira, jagung & madu kelulut merupakan satu perusahaan utama orang kampung di sini terutamanya di sekitar Kampung Batangan.
Pasar Marang – Sekiranya anda menginap di homestay sekitar bandar Marang dan ingin memasak, sangat dicadangkan untuk mencari bahan-bahan memasak di sini terutamanya hasil laut yang segar bugar. Selain bahan basah, di sini juga terdapat banyak gerai yang menjual kuih muih tradisional Terengganu seperti kuih gulung, onde-onde, bronok sagu dan sebagainya.
Roti Tempayan Line Clear – Satu destinasi makan-makan santai yang popular di Marang yang menu utamanya adalah roti tempayang dimakan dengan masakan gulai ayam & gulai daging ala Terengganu. Selain itu, pengunjung juga boleh menjamah makanan popular lain seperti nasi minyak, roti canai ataupun rojak.
Restoran Lempeng Rusila – Menu simple iaitu lempeng menjadi signature dish untuk restoran ini. Terletak di Kampung Rusila dan di tepi pantai, pengalaman makan di sini sambil melihat pantai memang satu aktiviti yang wajib anda cuba untuk menyelami budaya orang setempat. Pilihan lauk pauk untuk makan tengahari di sini juga banyak dan sering dipenuhi pelanggan setempat. Restoran ini juga pernah menjadi tempat penggambaran JJCM TV 3. Menu makanan simple tapi sangat popular.
Warung Classic Tanjung Marang – Satu tempat makan yang menarik untuk anda mencuba di mana menu hidangan di sini lebih kepada makanan santai orang Terengganu seperti satey ikan, pulut gaul nyur, laksam, otak-otak, nasi lemak ikan tongkol dan juga terdapat western simple-simple. Lokasinya yang terletak di Jalan Pantai, Kampung Seberang Marang dan yang bestnya pemandangan muara dari warung ini memang sungguh syahdu sekali.
Pada waktu malam Bandar Marang tidaklah semeriah di bandar lain namun, kalau anda ingin lepak malam, sila memandu ke Bandar KT kurang 30 minit perjalanan. Seperti yang telah dikatakan di awal artikel, jarak Bandar Marang ke Bandar KT adalah tidak jauh sekitar 30 minit memandu sahaja.
Jarak ke Dungun dari Bandar Marang juga tidak terlalu jauh kira-kira 40 minit memandu. Di sekitar Bandar Dungun turut mempunyai banyak tempat menarik yang boleh anda singgah. Akhir kata semoga panduan ringkas tentang tempat-tempat menarik di Marang seperti di atas memberi anda idea untuk mencari lokasi penginapan & bercuti ke sini kelak. Wassalam.