Bagi mereka dari Kuala Lumpur atau Selangor yang inginkan percutian hujung minggu di kawasan alam semulajadi dan aktiviti outdoor yang mencabar, apa kata melihat beberapa tempat menarik di Gombak di bawah yang boleh di lawati.
Selain tempat menarik di Hulu Selangor dan Hulu Langat, Daerah Gombak juga mempunyai beberapa tarikan alam semulajadi yang sangat menarik untuk diterokai. Untuk mencari idea destinasi percutian lain, sila terokai lagi senarai tempat menarik di Negeri Selangor dalam setiap daerah.
12 Destinasi Menarik untuk dilawati di Gombak
Zoo Negara – Taman haiwan yang paling popular di Selangor & KL yang sering menjadi kunjungan pelancong dalam & luar negara untuk melihat pelbagai haiwan eksotik. Zoo yang luas ini mungkin mengambil masa 2-3 jam untuk dihabiskan & antara tarikan utama yang menjadi tumpuan pelancong di sini ialah harimau putih, singa, Â rumah penguin, beruang panda, animal show & sebagainya.
Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) – Destinasi pelancongan yang sangat popular di Kepong untuk aktiviti seperti berbasikal, berkelah, bersiar-siar dalam rimba dan sebagainya. Antara tarikan utama di sini ialah canopy walk yang agak tinggi dan panjang di mana pengunjung boleh berjalan melaluinya untuk melihat keindahan flora dan fauna di sini. Terdapat juga penginapan dan resort yang disediakan untuk mereka yang ingin bermalam dan melakukan aktiviti yang lebih banyak.
Batu Caves – Salah satu destinasi pelancongan yang sangat popular di Negeri Selangor baik pelancong tempatan mahupun luar negara. Rata-rata yang datang ke sini kerana ingin melihat budaya dan keagamaan masyarakat Hindu terutamanya ketika festival-festival seperti Thaipusam. Antara aktiviti yang wajib dilakukan adalah menyusuri 272 anak tangga sebelum sampai ke bahagian gua yang mempunyai kuil dan statu patung dewa Hindu.
Gua Damai Extreme Park – Terletak tidak jauh dari destinasi Batu Caves, di sini anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti outdoor yang menyeronokkan seperti rock climbing ataupun meneroka gua. Selain di Menara KL, puncak bukit di sini juga sering menjadi lokasi untuk aktiviti ekstrem lain seperti Base Jumping. Memandangkan puncak bukit ini lebih rendah daripada menara, memang lebih mendebarkan kalau anda lihat mereka melakukan aksi-aksi terjunan dari bawah.
Hutan Lipur Bukit Lagong –Â Sebuah lagi destinasi menarik untuk mereka yang ingin lakukan aktiviti outdoor seperti wall climbing, berkayak, berkhemah ataupun jungle trekking. Kemudahan asas untuk pengunjung juga disediakan dan di sini juga terdapat kawasan air terjun untuk aktiviti berkelah dengan keluarga. Sebenarnya di sekitar Hutan Lipur Bukit Lagong ini terdapat banyak tarikan pelancongan lain yang tidak jauh lokasinya seperti Batu Caves, Hutan Rimba Komenwel & Hutan Rimba Kancing.
Air Terjun di Hutan Lipur Sungai Tua – Destinasi mandi manda air terjun yang agak popular yang berada di Selayang dan terletak tidak jauh dari Empangan Batu. Kawasan air terjunnya tidaklah terlalu besar dan kalau yang dewasa nak berenang atau menyelam, bukan di sini jawapannya. Kemudahan seperti tempat bersalin pakaian, laluan jalan kaki, gerai dan parking kereta ada disediakan di sini dan bagi mereka yang nak berkhemah pastikan berhubung dengan pejabat hutan daerah di sini.
Air Terjun di Hutan Lipur Kanching – Destinasi air terjun yang terletak tidak jauh dari satu lagi tarikan di Gombak iaitu Taman Rimba Templer. Air terjun di sini memang sangat menarik dan sejuk airnya. Kemudahan asas yang wajib untuk pengunjung disediakan baik laluan jalan kaki, tempat letak kereta, gerai ataupun tapak perkhemahan. Bagi yang suka meredah hutan, di sini juga merupakan salah satu destinasi yang ideal untuk melepaskan gian anda.
Air Terjun di Hutan Rimba Templer – Air terjun di sini bertingkat-tingkat dan sesuai sebagai lokasi perkelahan di hujung minggu bersama keluarga. Kemudahan asas di sini seperti laluan jalan kaki dan tempat letak kereta memang ada tersedia. Suasana air terjun dikelilingi dengan pokok-pokok membuatkan mandi manda di sini sangat nyaman sekali. Lokasinya mudah diakses dan hanya terletak kira-kira 25km dari KL dan 7 km dari bandar terdekatnya iaitu Rawang.
Tasik Biru Kundang – Tasik ini merupakan sebuah tasik yang terhasil daripada aktiviti pelombongan bijih timah. Kini ianya menjadi tempat rekreasi dan bersiar-siar orang setempat. Antara aktiviti menarik yang boleh dicuba di sini ialah menunggang jetski yang boleh disewa oleh orang ramai. Nama tasik ini ‘biru’ kerana warna airnya yang kebiruan dan memang kebiasaannya kalau di sesetengah tempat bekas lombong, air tasiknya akan menjadi biru seperti di Terengganu yang dipanggil tasik Pepsi Blue.
Taman Rimba Komenwel – Satu tempat menarik di Gombak yang sesuai untuk mereka yang suka camping berkumpulan atau ingin berehat di kawasan alam semulajadi di samping melakukan aktiviti outdoor yang menarik seperti trekking, mandi sungai, menunggang kuda dan paint ball. Sesuai untuk dijadikan destinasi hari keluarga ataupun kem bina semangat. Penginapan juga ada tersedia untuk mereka yang nak bermalam.
Empangan Batu – Destinasi pemandangan tasik dengan bukit bukau menghijau yang sangat mempersonakan sesuai untuk aktiviti santai-santai sambil menikmati keindahan ciptaan Ilahi. Tempat lepak, dataran dan parking kereta hanya di sebelah tasik dan ramai yang datang ke sini untuk tenangkan jiwa raga yang kusut di waktu hujung minggu. Memang banyak tarikan alam semulajadi yang menarik yang ada di dalam daerah Gombak.
Muzium Orang Asli – Muzium ini telah bertapak di sini sejak secara rasminya pada tahun 1987 dan tujuan muzium ini dibina adalah untuk mengumpul dan merakamkan cara hidup masa lalu Orang Asli di Malaysia. Pengunjung yang datang ke sini boleh belajar serta melihat pelbagai artifak, barangan kraftangan dan infografik berguna tentang kebudayaan dan cara hidup Orang Asli.
Semoga daerah Gombak menjadi destinasi percutian anda kelak bersama kawan-kawan ataupun keluarga samaada di hujung minggu mahupun waktu cuti sekolah. Wassalam.