Isi Kandungan
Seremban terkenal sebagai destinasi terbaik untuk seorang pelancong menerokai majoriti makanan kenegerian orang Negeri Sembilan. Sekiranya anda baru pertama kali nak bercuti di Seremban, jangan lupa untuk mencuba pelbagai lauk pauk Orang ‘Nismilan’ yang sangat menyelerakan yang boleh anda terokai di Seremban. Sebagai panduan, mari kita sama-sama terokai 37+ tempat makan menarik di Seremban yang popular & menyajikan pelbagai menu menarik untuk santapan anda sekeluarga apa bila bercuti di sini kelak.
Kesemua destinasi seperti restoran, warung, kafe atau kedai makan di bawah ini mempunyai ulasan pengunjung yang sangat bagus. Samaada anda mencari destinasi makan menarik untuk makanan tradisional Negeri Sembilan , makanan timur tengah, western food atau makanan eksotik lain, senarai di bawah ini pasti ada jawapannya. Terdapat juga beberapa kedai makan menarik yang jauh sedikit dari Bandar Seremban tetapi masih berbaloi untuk anda lawati. Teruskan membaca untuk menerokai di mana & apa makanan yang menarik yang boleh anda cuba dalam acara jalan jalan cari makan anda di Seremban kelak.
37+ Restoran, Warung, Cafe & Destinasi Makan Menarik di Seremban, Negeri Sembilan
1. Restoran Selero Nogori Sembilan
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Nama restoran ini sudah cukup untuk memberikan gambaran tentang apa menu makanan yang boleh anda cari di sini. Restoran ini cukup terkenal di Seremban bukan sahaja di kalangan orang setempat, malah turut menjadi destinasi pilihan pelancong luar untuk merasai lauk pauk popular orang Negeri Sembilan seperti salai masak lemak cili api, asam pedas Negeri Sembilan & sebagainya.
Kalau anda pertama kali bercuti di Bandar Seremban, destinasi sebegini adalah menjadi hukum wajib untuk anda terjah. Pilihan lauk pauk kampung & orang setempat di sini memang sangat banyak. Samaada anda makan pedas atau tidak, destinasi ini sangat ideal untuk anda terjah kerana variasi lauk pauknya yang banyak & sedap. Walaupun anda datang ke sini seawal pukul 11.00 pagi, sudah ramai yang datang bertandang untuk makan tengahari kerana masing-masing mahu mengelakkan kesesakan pada waktu puncak antara 12.30 pm – 2.00 pm.
Peta Lokasi | Jarak | 6013-2533334 | Facebook
- 602&603, Jalan Haruan 4/8, Oakland Commercial Centre, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- 8.00 am – 5.00 pm ( setiap hari)
2. Restoran Sabak Salai
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Bagi mereka yang mencari destinasi terbaik untuk mencuba makanan kenegerian orang Negeri Sembilan, Restoran Sabak Salai sangat disyorkan untuk anda lawati. Walaupun lokasinya bukan di dalam Bandar Seremban, namun sangat berbaloi untuk datang dalam misi menerokai makanan tradisional yang terbaik yang ada di Negeri Sembilan.
Jangan terkejut pula, walaupun lokasinya agak jauh dari Bandar Utama Seremban, pengunjung sentiasa memenuhi ruangan makan di Restoran Sabak Salai terutamanya pada waktu lunch hour & hujung minggu. Pelbagai menu makanan salai masak lemak cili api yang boleh anda rasa di sini seperti itik salai, puyuh salai, daging salai, ayam kampung salai & pelbagai lagi. Walaupun rasa kuahnya memang pedas, namun sebaik dicuba dengan nasi putih, rasa pedasnya jadi balance. Ruang kedai makan pun luas & mempunyai kemudahan tempat duduk serta meja makan yang besar. Satu destinasi makan menarik yang memang sangat ideal untuk anda datang dalam kumpulan yang besar.
Peta Lokasi | Jarak | 606-6970128 | Facebook
- No.13, Batu 5 1/2, Kampung Kundur Hulu, 71400 Pedas, Negeri Sembilan
- 10.00 am – 5.00 pm (Selasa-Ahad)
- Isnin tutup
3. Restoran Nelayan Seafood
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda menginap di Bandar Seremban seperti di Hotel Royale Chulan Seremban atau di Kelana Resort Seremban, apa kata terjah kedai makan ini yang sangat popular dengan nasi campur berlaukkan menu kampung & masakan orang Negeri Sembilan. Terdapat lebih 20 tray lauk pauk yang pasti membuatkan anda rambang mata & tidak sabar untuk mencubanya.
Kedai makan ini juga luas & sangat sesuai untuk anda bertandang dalam kumpulan yang besar. Pilihan lauk makan tengahari di sini sudah tentulah kebanyakannya resepi asli orang Negeri Sembilan seperti masak salai, asam pedas, kari, aneka ulam-ulaman & sebagainya. Malah pilihan masak lemak cili api yang ada di sini juga agak banyak seperti udang galah, ikan kerai, burung puyuh, perut, ikan sembilang, ketam & sebagainya. Selain itu, di sini juga ada beberapa lauk pauk yang mungkin susah untuk dijumpa di tempat makan lain seperti gulai pisang. Satu destinasi makan yang boleh dilabelkan sebagai one stop centre untuk anda mencuba majoriti lauk pauk kegemaran orang Negeri Sembilan.
Peta Lokasi | Jarak | +6067611190 | Facebook
- Wisma PBNS, P/3, 102, Jalan Zaaba, Rahang Kechil, 70100 Seremban, Negeri Sembilan
- 8.00 am – 11.00 pm
4. Restoran Leha World Nasi Campur
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Kalau datang ke sini, pasti membuatkan bebola mata anda berpusing-pusing kerana begitu banyak sekali hidangan lauk pauk yang tersedia untuk santapan pengunjung. Boleh dikatakan hampir 100 tray lauk atau mungkin lebih yang ada di atas ruangan meja panjangnya & anda perlu ‘tawaf’ meja panjang ini untuk melihat kesemua lauk pauk kampung yang ada di sini.
Rata-rata lauk pauk di sini kebanyakannya adalah makanan kenegerian orang setempat & sangat sesuai dengan selera orang Melayu. Sekiranya anda ingin mencuba kesemua lauk di sini, agaknya perlu tinggal di hotel berhampiran selama sebulan. Samaada anda makan pedas ataupun tidak, destinasi ini sangat disyorkan untuk anda terokai ketika bercuti di Seremban. Pada waktu puncak terutamanya ketika lunch hour, memang sangat ramai yang datang ke sini, jadi pilihlah waktu yang bersesuaian untuk mengelakkan kesesakan.
Peta Lokasi | Jarak | +60192304700 | Facebook
- No 402, Persiaran Rajawali, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 9.00 am – 4.00 pm
5. Mr Manshor Kopitiam Power
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda seorang penggemar kopi asli, destinasi ini berkemungkinan besar membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk terjah. Terdapat pelbagai pilihan kopi premium asli yang boleh anda cuba di sini & rata-rata kopi di sini memang susah untuk dijumpai di kedai makan biasa. Tahukah anda, restoran kopitiam ini mempunyai 26 menu kopi & teh. Variasi kopi yang banyak macam ini barulah layak dipanggil kedai kopitiam kan?. Antara kopi popular yang sering menjadi pelanggan setia adalah kopi power, kopi burung walid, kopi mahkota dewa, teh herba misai kucing & macam-macam lagi nama kopi lain yang sangat eksotik bunyinya.
Kopi-kopi eksotik sebegini kalau di restoran mewah mahu mencecah puluhan atau ratusan ringgit secawan, tetapi di sini rata-rata harga kopi di bawah RM 20 & RM 10. Selain terkenal dengan varisi kopi premium, destinasi ini juga mempunyai beberapa pilihan menu makanan yang sedap untuk pelanggan seperti mee udang, mee rebus, mee bandung & sebagainya. Bagi penggemar menu yang bersup, kopitiam ini juga turut tidak ketinggalan menawarkan pelbagai hidangan sup herba yang sangat menyelerakan seperti sup kambing, sup bebola & sup daging lembu herba. Makan sup panas-panas waktu hujan & ditambah pula dengan kopi premium kaw-kaw di sini, memang satu kombinasi yang ‘kebam bom’.
Peta Lokasi | Jarak | +60176601873 | Facebook
- Lot 717 Jalan Seremban – Kuala Pilah, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 4.00 pm – 1.00 am
6. Restoran D’Pantai
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Satu destinasi makan malam yang sangat sesuai untuk anda datang bersama keluarga mahupun yang tersayang. Restoran ini memang sangat luas & cantik dengan suasana terbuka yang semestinya membangkitkan rasa untuk makan malam. Restoran D’Pantai terkenal dengan beberapa menu utama yang sering menjadi buruan pengunjung setianya seperti kambing bakar, kambing golek, talapia bakar & banyak lagi.
Uniknya, kambing bakar di sini dihidangkan bukan sahaja dengan sos blackpaper yang biasa kita jumpa, tetapi terdapat juga air asam istimewa yang sangat sesuai dengan citarasa orang Melayu. Sekiranya anda peminat tegar daging kambing, destinasi ini sangat disyorkan untuk anda menikmati daging kambing bakar yang dipanggang dengan sempurna. Suasana kedai pun cantik, luas & makan pun sedap.
Peta Lokasi | Jarak | +60185765517 | Facebook | Website | Instagram
- Lot 1, Batu 6, Jalan Jelebu, 71770 Seremban, Negeri Sembilan
- Ahad – Khamis ( 4.30 pm – 11.30 pm)
- Jumaat-Sabtu ( 4.30 pm – 12.30 am)
7. Restoran Anjung Selera
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda menginap di sekitar Seremban 2, apa kata ke Restoran Anjung Selera untuk mencuba pelbagai makanan menarik yang ada di sini. Restoran ini dibuka seawal pagi sehingga petang & sesuai untuk dijadikan destinasi breakfast ataupun lunch. Pilihan makanan waktu pagi juga agak banyak seperti nasi goreng kampung, pulut kuning, lempeng, nasi lemak, aneka kuih muih & sebagainya. Destinasi ini lebih menjadi tumpuan pengunjung pada waktu tengahari kerana terdapat pelbagai lauk pauk kampung yang sangat menyelerakan untuk pelanggan menjamu selera.
Pilihan lauk orang Negeri Sembilan & orang Melayu memang banyak baik lauk pauk yang berkuah, bergulai, berkari, bergoreng, ulam ulaman & sebagainya. Dengan lebih 30 aneka lauk pauk yang dihidangkan, destinasi sebegini pasti tidak mengecewakan anda untuk makan tengahari bersama keluarga sebelum meneruskan perjalanan untuk makan angin sekitar Seremban.
Peta Lokasi | Jarak | 6019-2331514 | Facebook
- No. 597, Jalan Haruan 4/8 Oakland Commercial Center Seremban (City)
- 7.00 am – 5.00 pm ( setiap hari)
8. Haji Sharif Cendol Seremban
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Siapa yang tidak kenal & tidak minat cendol. Satu menu makanan santai yang sangat digemari pelancong dalam & pelancong luar negara. Bukan sahaja di Melaka, Penang & Pahang sahaja yang terkenal dengan restoran cendol sedap, di Seremban juga ada satu destinasi yang sudah bertapak di sini lebih 75 tahun yang lalu. Cendol yang ada di sini adalah resepi turun temurun beberapa generasi keluarga & masih mengekalkan ramuan asli tanpa bahan pengawet tiruan. Cendol Jawa ini dihasilkan dengan cara tradisional & ramuan asli bagi mengekalkan mutu rasanya.
Tidak hairanlah, walaupun signature dish di restoran ini hanyalah sekadar cendol, tetapi ada yang sanggup datang jauh semata-mata nak makan cendol di Restoran Haji Sharif Cendol Seremban ini. Kedai makan yang bertempat di corner lot rumah kedai berwarna hijau memang tepat dengan tema makanan santai ini & ruangan dalaman juga luas serta selesa untuk dilawati dalam kumpulan yang besar. Selain cendol, terdapat pelbagai makanan santai lain yang boleh anda isi perut seperti pasembur, kuew teaw goreng, nasi lemak & sebagainya.
Peta Lokasi | Jarak | 606-7628505 | Facebook
- 44, Jalan Yam Tuan, Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan
- 11.00 am – 6.00 pm
- Jumaat ( tutup)
9. Restoran Man Tomyam Thai Seafood
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Bagi yang inginkan makan malam dengan menu masakan panas & makanan ala Thai asli, apa kata anda ke Restoran Man Tomyam yang terletak di Jalan Jelebu. Destinasi ini bukan sahaja terkenal di kalangan pengunjung kerana makanannya yang sedap, malah kerana servis penyediaannya yang pantas, ruang makan yang besar & kedainya yang cantik. Terdapat pelbagai pilihan menu makanan laut yang mungkin bukannya asing bagi anda seperti ikan masak stim, aneka kerabu, tomyam putih, tomyam poktek, goreng-gorengan & sebagainya.
Bagi muslim, di sini juga ada menempatkan surau & bilik solat. Percaya atau tidak, walaupun ruangan parkir kereta di kedai makan ini sangat lapang namun boleh jadi sesak juga terutamanya pada waktu malam selepas Isyak. Sebaiknya anda tempah awal sebelum datang ke sini terutamanya pada cuti hujung minggu kalau tidak, alamatnya kenalah beratur lama sedikit ketika order. Satu destinasi makan malam yang sangat mesra keluarga & sesuai untuk datang dalam satu kumpulan yang besar.
Peta Lokasi | Jarak | 606-7640866 | Facebook
- Lot 563, 564 & 565 Batu 2 1/2, Jalan Jelebu, 70400, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan
- 11.30 am – 1.30 am ( Sabtu-Khamis)
- 5.30 pm – 1.30 am ( Jumaat)
10. Restoran City Park Oriental
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Rata-rata makanan popular orang ‘Nismilan’ rasanya pedas bukan? Kalau anda tidak makan pedas, Restoran City Park Oriental adalah destinasi yang mesti anda datang. Destinasi ini terkenal dengan Chinese Cuisine & apa yang penting restoran ini halal. Terdapat pelbagai menu makanan & masakan seafood yang menarik untuk anda cuba seperti butter prawn, ikan masak asam nyonya, salted egg crab & sebagainya. Terdapat juga aneka pilihan Dim Sum yang pasti sesuai untuk selera orang yang tidak makan pedas.
Kedai ini terletak berdekatan dengan Masjid Hussain Seremban 2 & sangat strategik untuk diakses dari bandar. Ruangan makan kedai ini tidaklah terlalu besar & sesuai untuk anda datang bersama keluarga dalam jumlah yang kecil. Namun pada waktu puncak, ramai yang datang ke sini & mungkin perlu menunggu lama. Untuk makan malam, sebaiknya datang awal sebelum pukul 7.30 malam atau buat tempahan awal supaya tidak menunggu lama, terutamanya pada musim cuti & hujung minggu.
Peta Lokasi | Jarak | 606-6011987 | Facebook
- 111, 102, Jalan S2 D32, Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- Khamis-Selasa
- 11.30 am – 2.00 pm & 5.30 pm – 11.00 pm
- Rabu tutup
11. Restoran Melewar Kitchen
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda ke Seremban mungkin atas urusan bisnes serta inginkan satu tempat makan best di Seremban yang selesa & menyajikan makanan kenegerian orang ‘Nismilan’, apa kata ke Restoran Melewar Kitchen. Restoran ini cukup cantik dengan hiasan dalaman & aturan tempat makan yang sistematik, sesuai untuk mereka yang nak menjamu selera dengan masakan kampung dalam suasana yang lebih rasa eksklusif tanpa bunyi bising motor & kereta yang lalu lalang.
Terdapat pelbagai menu masakan orang Negeri Sembilan yang ada disediakan di sini seperti masak lemak cili api, ikan bakar, goreng-gorengan & sebagainya. Selain itu, terdapat juga menu makanan lain seperti makanan barat yang sesuai untuk mereka yang tidak makan pedas. Lokasinya juga sangat strategik berdekatan dengan Hospitak Pakar Senawang & beberapa hotel bajet sekitarnya.
Peta Lokasi | Jarak | 606-6790025 | Facebook | Website
- No 114-115, Pusat Perniagaan Lavender Heights, Jalan Lavender Heights 1, Senawang, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 11.00 am – 11.00 pm ( setiap hari)
12. Restoran Nasi Arab Damsyik
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Bagi pelancong yang tak tahan pedas dengan menu lauk pauk Orang Nismilan terutamanya mereka dari pantai timur, apa kata mencuba Nasi Arab Damsyik yang terletak di Jalan Paroi-Senawang samaada untuk makan tengahari atau makan malam. Destinasi ini memang sangat terkenal di Bandar Seremban sebagai destinasi terbaik untuk mereka mencuba makanan dari timur tengah ini.
Ruangan restoran yang mempunyai dekorasi dengan sentimen negara Arab ini pasti akan memberikan lagi feel ketika menjamu selera. Terdapat juga ruangan makan di kawasan luar untuk mereka yang nakkan suasana angin luar. Terdapat pelbagai menu makanan arab yang boleh anda cuba di sini & destinasi sebegini sebaiknya datang berkumpulan kerana jumlah makanan yang dihidangkan memang agak banyak. Selain menu nasi arab bersama kambing atau ayam bakar, terdapat juga makanan sampingan lain yang tidak kurang menariknya seperti shawarma, shish tawooq, kebab & sebagainya.
Peta Lokasi | Jarak | +60129335495 | Facebook
- 9-1, Jalan Cattleya 2, PERSADA CATTLEYA, 70450 Seremban, Negeri Sembilan
- 10.00 am – 9.00 pm
13. Mama One Stop Bakery & Cake
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Siapa yang selalu kata semua tempat makan best di Seremban pedas-pedas memang silap besar. Banyak sebenarnya destinasi menarik yang menyediakan makanan sedap tetapi tidak pedas seperti di Mama One Stop Bakery & Cake. Destinasi makan ini sangat disyorkan untuk mereka yang mungkin tengah moody untuk datang menceriakan diri. Terdapat pelbagai pilihan donut-donut berwarna warni & kek yang sedap yang boleh anda cuba bersama rakan-rakan mahupun bersama anak-anak.
Kedai makan ini sangat cantik dengan hiasan-hiasan pokok-pokok menghijau yang pasti membuatkan jiwa lara menjadi ceria. Selain itu, terdapat juga menu makanan berat yang tidak kurang menariknya untuk anda cuba seperti mihun sup, laksa, nasi lemak rendang ayam, goreng-gorengan, lauk pauk ‘Nismilan’ & macam-macam lagi. Satu tempat makan yang sangat menarik dekorasinya, serta romantis untuk anda datang & chill out bersama teman sehidup semati.
Peta Lokasi | Jarak | 6013-3383634 | Facebook
- Kampung Sentosa, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 8.30 am – 7.30 pm
14. 99 Kebab Seremban
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Seperti terukir pada nama restoran ini, terdapat pelbagai persembahan makanan yang akan ‘dikebabkan’ untuk menjamu pelanggan yang bertandang. Sekiranya anda bercuti di Seremban bersama pasangan ataupun ibu bapa yang tidak makan pedas, destinasi ini memang sangat sesuai untuk mereka makan malam. Menu makanan kebab yang disifatkan universal dengan semua lidah manusia pasti akan membuatkan sesiapa sahaja boleh makan tidak kira dari negeri mana jua anda datang.
Selain pelbagai inti kebab yang ada, anda juga boleh mencuba pelbagai menu makanan ala barat seperti aneka pasta, lamb chop, chicken grill with blackpaper sauce & macam-macam lagi menu western yang ‘canggih’ namanya serta sedap rasanya. Suasana di dalam kedai ini juga sangat elegan & cantik serta sangat sesuai sekiranya anda nak adakan event-event kecilan seperti sambutan ulang tahun perkahwinan, hari jadi, hari ibu & seumpamanya.
Peta Lokasi | Jarak | +60138936117 | Facebook
- Jalan Lavender Heights 2, Taman Lavender Heights, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 5.00 pm – 11.00 pm
- Isnin tutup
15. Restoran Bayu Village
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Satu tempat makan malam di Seremban yang sangat luas & sangat cantik serta sesuai untuk pelancong datang dalam kumpulan yang besar walaupun dengan 5 buah bas ekspres. Konsep destinasi makan ala perkampungan ini menyajikan pelbagai menu makanan yang akan dimasak panas-panas samaada untuk makan petang atau makan malam.
Terdapat pelbagai pilihan makanan laut yang segar seperti ketam, ikan siakap, udang galah & sebagainya di ruangan khas untuk anda pilih sebelum diserahkan kepada tukang masak untuk disiapkan mengikut masakan pilihan anda. Pilihan masakan di sini juga sangat banyak seperti stim lemon, stim halia, masak nyonya, sambal cili api, somseng & macam-macam lagi. Sekiranya anda mencari destinasi yang menyediakan makanan laut atau seafood yang sedap di Seremban, Restoran Bayu Village adalah salah satu destinasi yang disyorkan.
Peta Lokasi | Jarak | 6013-6770087 | Facebook
- 23385, Jalan Paroi – Senawang, Taman Kiambang Indah, 70450 Seremban, Negeri Sembilan
- 5.00 pm – 1.00 am
16. Hard Wood Cafe
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Anda mencari destinasi makan yang cantik dengan suasana restoran yang menarik & romantis? Apa kata ke Hard Wood Cafe yang terletak di Seremban 2. Destinasi ini sangat ideal untuk anda menikmati makan tengahari dengan pelbagai menu popular orang Negeri Sembilan dalam satu restoran yang berkonsepkan, restaurant in the garden.
Sekali sekala, apabila bercuti di Seremban bersama keluarga yang tersayang, destinasi yang membuatkan kita lebih rasa eksklusif & nyaman sebegini adalah sangat ideal untuk untuk anda lawati. Malah kalau anda inginkan makan malam mungkin ketika berbulan madu di Seremban bersama pasangan, Hard Wood Cafe adalah jawapan yang tepat. Makan makanan yang sedap dalam kedai makan yang hiasannya menarik sebegini, baru ada feel nak borak-borak dengan pasangan bukan?
Peta Lokasi | Jarak | +6066011624 | Facebook | Website
- No. 60 (Lot 48) Persiaran S2B2, 70300 Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan
- 9.00 am – 6.00 pm (Isnin-Sabtu)
- Ahad tutup
17. Restoran Polpero Steak House
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda bercuti di Seremban bersama ibu bapa & berhasrat nak belanja mereka dengan menu makanan barat yang istimewa, ruangan makan yang selesa, tidak riuh rendah macam kedai mamak, restoran yang elegan, persembahan makanan yang menyelerakan, tiada ragu-ragu ‘kehalalannya’ & senang diakses dalam bandar, Restoran Polpero Steak House adalah jawapannya.
Destinasi makan ini memang sangat terkenal dengan pelbagai menu makanan western menarik yang boleh anda cuba seperti beef steak, t-bone steak, rib eye steak, cheezy meatball, blackpaper lamb grill, aneka pilihan pasta & pelbagai minuman jus yang menarik. Walaupun ruangan kedai makannya nampak mewah tetapi harga-harga di sini tidaklah semahal seperti restoran di hotel 5 bintang. Satu tempat makan malam di Seremban 2 yang sangat berbaloi untuk anda yang menggemari menu makanan barat dengan kualiti yang terbaik.
Peta Lokasi | Jarak | 606-6013244 | Facebook
- No1, Jalan S2 B15 Seremban (City), Seremban 2, Negeri Sembilan
- 5.00 pm – 12.00 am
18. Restoran Nasi Arab Al- Ulfah
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Waktu siang ketika bercuti di Seremban, mungkin anda sekeluarga sudah mencuba semua menu makanan salai masak lemak cili api atau asam pedas orang ‘Nismilan’. Bagi yang tak makan pedas, mungkin perut terasa macam terbakar & membuatkan esofagus anda tidak selesa. Apa kata pada waktu malam pula, selesakan perut & esofagus anda dengan makanan arab di destinasi ini. Bagi yang ingin membawa keluarga makan malam di destinasi yang menyediakan makanan arab yang sedap serta suasana kedai yang cantik, boleh pertimbangkan untuk ke Restoran Nasi Arab Al-Ulfah yang terletak di Taman Guru Senawang.
Destinasi ini sangat terkenal dengan menu makanan arab seperti nasi arab kambing, nasi mandy & sebagainya. Selain itu, sebelah kedai ini terdapat Restoran BurgerByte yang menghidangkan macam-macam jenis burger yang sedap. Sekiranya anak-anak anda mungkin tidak makan kambing atau tidak menggemari makanan arab, bolehlah order di kedai sebelah ini yang tidak kurang menariknya & juga sangat popular di kalangan orang Seremban yang gemar makan burger.
Peta Lokasi | Jarak | 6019-6206768 | Facebook
- 29, Jalan Paroi – Senawang, Desa Duranta, 70450 Seremban, Negeri Sembilan
- Isnin-Ahad
- 12.00 tengahari – 11.00 malam
- 7.00 pm – 8.00 pm (waktu rehat)
- Rabu tutup
19. Medan Selera Penghulu Cantik
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Bagi mereka yang bercuti di Seremban secara bajet atau mungkin anda seorang pelajar yang backpacking atau berkonvoi motosikal bersama rakan-rakan, apa kata singgah untuk sarapan pagi atau makan tengahari di Medan Selera Penghulu Cantik sebelum meneruskan perjalanan. Medan selera ini yang terletak tidak jauh Klana Resort Seremban ini merupakan satu tempat makan yang sangat menarik untuk anda cuba pelbagai menu makanan menarik.
Medan selera ini menempatkan beberapa unit lot gerai yang menjual menu makanan yang sedap & pada harga yang lebih ‘mesra poket’ rakyat Malaysia. Antara menu makanan yang sering menjadi peminat setia destinasi ini adalah di gerai no 4 yang terkenal dengan menu masakan nyonya seperti mee kari kerang, mee kari ayam, mee soto & sebagainya. Banyak juga pilihan makanan menarik lain yang ada di medan selera ini seperti mee jawa tulang di gerai no 11, garlic bread di gerai no 8 & juga terdapat gerai yang menjual minuman santai kegemaran orang Malaysia seperti cendol. Untuk sarapan pagi di Seremban pada harga bajet, destinasi ini adalah jawapannya.
- Medan Selera Penghulu Cantik, Seremban, Negeri Sembilan
- 8.00 am – 6.00 pm
20. Restoran Dapur Berasap Seremban 2
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Pernah makan menu western seperti chicken chop pada harga RM 5? Macam tidak percaya sahaja bukan? Percaya atau tidak, inilah destinasi yang sangat ideal untuk anda sekiranya teringin nak makan western food pada harga bajet. Walaupun harga murah tidak bermakna portion makanan yang dihidangkan adalah sedikit & ‘seciput’. Jumlah hidangan sepinggan tetap mengenyangkan.
Terdapat juga menu lain untuk anda cuba seperti nasi kambing, lamb chop, makanan santai ala barat & sebagainya. Sekiranya anda bercuti di Seremban bersama rakan-rakan & inginkan destinasi makan western yang bajet, jemputlah singgah di Restoran Dapur Berasap di Taman Komersial Senawang.
- 6, Jalan Tmn Komersial Senawang, Taman Komersil Senawang, 70450 Seremban, Negeri Sembilan
- 6.00 am – 11.00 pm
- Ahad tutup
21. Ijan Burger Station
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda bercuti di Seremban bersama rakan-rakan atau mungkin berkonvoi & inginkan destinasi makan yang santai, apa kata terjah ke Ijan Burger Station. Destinasi ini cukup terkenal dengan menu burger bakar & roti john. Terdapat pelbagai pilihan burger yang sesuai dengan citarasa orang Malaysia. Terdapat juga daging burger eksotik yang boleh anda rasa seperti burger burung unta, burger rusa & burger arnab.
Selain itu, kedai makan ini juga sangat popular dengan Roti John Kambing yang pasti tidak akan mengecewakan anda untuk makan-makan sambil berbual lama bersama rakan-rakan sampai ke lewat malam. Tempat makan yang terbuka & santai ini sangat sesuai untuk anda datang dalam kumpulan yang besar. Sekiranya anda berhasrat datang ke sini ramai-ramai & tidak mahu menunggu lama, boleh call beberapa jam sebelum datang untuk buat tempahan.
- 175, Jalan Nuri, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 4.30 pm – 2.00 am
22. Restoran Wadi Ar-Raudhah
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Lokasi restoran ini sangat mudah untuk anda jumpa di dalam Bandar Seremban. Sekiranya anda bermalam di hotel berdekatan seperti Kelana Resort Seremban atau Royale Chulan Seremban, bolehlah sarapan pagi, makan tengahari atau makan malam di restoran ini. Pada waktu pagi terdapat beberapa pilihan makanan yang sesuai dengan citarasa orang tempatan seperti nasi goreng cili api, mee kari, mee hoon Singapore & sebagainya.
Pada waktu tengahari, anda boleh ke sini untuk mencuba lauk pauk seperti masak lemak cili api, asam pedas & aneka lauk sayur yang lain. Sekiranya anda kaki makanan bersup, shellout & steamboat, anda boleh ke restoran ini pada waktu malam bersama keluarga atau rakan-rakan. Pilihan menu makanan untuk steamboat juga agak banyak & pasti tidak mengecewakan anda.
Peta Lokasi | Jarak | 6019-3508426 | Facebook
- Restoran Wadi Ar-Raudhah, No. 1, Jalan Sri Rahang 1, Taman Seri Rahang, Seremban 70100 Negeri Sembilan
- Sarapan Pagi / Makan Tengahari / Minum Petang:
- Isnin~Jumaat (7.00Pagi hingga 5.00Petang)
- Makan Malam:
- Selasa ~ Ahad (5.30Petang hingga 12Malam)
23. Restoran Mama World Seremban 2
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Satu lagi restoran menarik untuk anda menjamu selera pada waktu tengahari dengan lauk pauk sejati orang Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api pucuk ubi, masak lemak puyuh salai pucuk ubi, rendang ayam daun puding, rendang itik pucuk ubi & sebagainya. Selain itu, terdapat juga beberapa menu unik untuk anda cuba seperti rendang pucuk ubi kerana ia memerlukan masa selama 8 jam untuk dimasak sepenuhnya. Terdapat juga menu menarik lain di restoran ini seperti Ayam Bakar Meleleh dan Ikan Bakar Banjir.
Sekiranya anda peminat bubur, destinasi ini menghidangkan aneka pilihan bubur seperti bubur keledek, bubur jagung, bubur kacang hijua, bubur pisang, bubur pulut hitam & terdapat juga pengat. Bagi anda yang bercuti ke Seremban, jangan tak singgah di Mama World Seremban 2 untuk mencari resepi lauk masakan orang negeri Sembilan yang sangat unik dan eksotik bunyinya.
Peta Lokasi | Jarak | +6067202123 | Facebook
- Alamat Restoran: No. 973 Jalan S2F22, Garden Homes, Seremban 2, 70300 SEREMBAN N.Sembilan.(Belakang S2 Family Store)
- 11.00 am – 5.00 pm
24. Mee Udang PAKAR Paroi
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Bagi anda yang mencari menu makanan yang lebih santai & tidak terlalu berempah atau pedas, apa kata mencuba Mee Udang di sini. Destinasi ini sangat popular dengan menu mee udangnya yang sangat menarik untuk dimakan ketika waktu lapar mungkin setelah mandi manda air terjun berdekatan di Air Terjun Ulu Bendul.
Makan makanan bersup yang panas-anas & sedap sebegini selepas mandi di air terjun, semestinya membuatkan anda puas hati sebelum balik hotel untuk berehat. Menu mee udang di sini disediakan mengikut saiz & portion yang anda mahu. Sekiranya anda suka makan udang yang banyak, boleh order mee udang double atau mee udang triple, pasti puas hati.
Peta Lokasi | Jarak | 6012-6515203 | Facebook | Website
- Pasar Komuniti & Caravan (Pakar) Km 12, Jalan Seremban Kuala Pilah, Paroi, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 11.30 am – 10.00 pm ( Selasa – Khamis)
- 11.30 am – 11.00 pm ( Jumaat-Ahad)
- Isnin, tutup
25. Cendol Sagu Rumbia
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Cendol hijau mungkin kita sudah biasa makan. Kalau anda mencari kelainan, apa kata mencuba Cendol Sagu Rumbia. Destinasi ini bukannya terletak di dalam Bandar Seremban tetapi dalam perjalanan antara Labu-Nilai. Sekiranya anda menuju ke Seremban 2 dari Bandar Baru Nilai melalui jalan lama, bolehlah singgah Batu 11, Kampung Lambar, Labu untuk merasai keenakan cendol ini.
Cendol yang berwarna perang muda ini memang sangat lain daripada kebiasaannya & kalau nak tahu, cendol ini dibuat menggunakan pokok sagu rumbia yang didapatkan di sekitar kawasan Labu. Tekstur dia lebih kenyal & lebih sedap dikunyah berbanding cendol biasa yang anda makan. Ramuan lain untuk siapkan semangkuk Cendol Sagu Rumbia ini adalah sama seperti cendol yang biasa dimakan seperti santan, air gula melaka & sebagainya. Kalau anda bercuti ke Seremban pada hujung minggu, bolehlah singgah di sini memandangkan ianya hanya dibuka 3 hari sahaja seminggu.
- Batu 11, Kampung Lambar, LabuLabu, Seremban, Negeri Sembilan
- Jumaat, Sabtu & Ahad
- 11.00 am – 7.00 pm
26. Popia Basah Kuala Kangsar
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda mengidam nak makan popia basah yang popular di Kuala Kangsar, tak perlu susah-susah nak memandu jauh-jauh ke Perak. Di Seremban juga terdapat satu destinasi menarik untuk anda mencuba keenakan makanan santai kegemaran rakyat Malaysia ini di Stadium Paroi. Terletak di dalam satu deretan kedai makan yang banyak, Popia Basah Kuala Kangsar ini sering menjadi buruan pengunjung,
Destinasi yang terbuka di sebalik stadium yang besar ini sangat sesuai untuk lepak petang sambil menikmati keenakan popia ini bersama rakan-rakan. Selain itu, terdapat juga makanan goreng-gorengan lain yang boleh anda cuba yang tidak kurang menariknya seperti kuew teaw goreng, keropok goreng, cucur udang & sebagainya.
- 1142, Jalan Kedidi, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 12.00 pm – 10.00 pm
- Ahad tutup
27. Restoran Kemangi
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Kalau anda sudah berada di Seremban dan mencari tempat makan menarik di Seremban, anda bolehlah ke Restoran Kemangi ni. Restoran ini menyediakan macam-macam pilihan makanan. Mereka ada makanan Melayu, makanan Barat serta makanan Thai. Anda yang jalan-jalan bersama keluarga yang mempunyai cita rasa berbeza tu, memang sesuai datang ke sini. Di sini ada ikan bakar, tomyam, burger dan banyak lagi juadah yang boleh anda cuba. Anda tak perlu ke lima kedai berbeza untuk makan kerana di sini semuanya ada. Makanan mereka juga sedap dan harganya memang berpatutan.
Tempat makan ini juga luas dan bersih. Anda tidak pelu risau kalau datang beramai-ramai kerana cukup je tempat duduk di sini. Nak buat sambutan hari lahir ke sambutan hari ibu ke, tiada masalah. Mereka ni memang selalu menerima pelanggan yang ingin membuat sambutan.
Peta Lokasi | Jarak | +60133331248 | Facebook | Website
- PERSIMPANGAN TMN PINGGIRAN GOLF / TMN PAROI JAYA, BATU 3, JALAN KUALA PILAH, Seremban, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 10.00 am – 8.00 pm
28. N9 Container Cafe
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
N9 Container Cafe ni merupakan salah satu kedai makan Seremban 2 yang lawa. Dekorasi kedai ni memang cukup memukau dan memang sesuai untuk anda bergambar. Dari luar pon dah nampak yang kedai ni memang best untuk lepak. Kedai ini berkonsepkan kontena yang diubah-suai menjadi cafe, disebabkan itulah namanya “container” cafe.
Makanan yang boleh di dapati di sini ialah makanan barat seperti spageti carbonara, nasi goreng chicken chop dan lamb chop. Harga makanan di sini pula memang harga standard-lah untuk makanan western yang saiz hidangannya agak besar. Selain itu, mereka juga ada live band yang sedia menghiburkan malam anda.
Peta Lokasi | Jarak | +60199903044 | Facebook | Website | Instagram
- No 99, Persiaran S2 B1, Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- 5.30 pm – 11.30 pm
29. Koffeekabin
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Tak tahu nak makan apa di Senawang? Apa kata anda ke Koffeekabin ni, Kedai makan Senawang ini menyediakan macam-macam makanan daripada masakan nogori sehinggalah makanan Barat. Di sini ada, nasi goreng longgeng, mihun goreng bongek dan banyak lagi. Anda yang bawa keluarga tu memang patut singgah ke sini kalau dah ada di Senawang. Kalau taknak makan berat pon takda hal, anda boleh je rasa kopi-kopi mereka di sini yang sememangnya sedap. Kedai makan ni buka dari pagi sehingga malam, jadi anda kalau nak bersarapan pon boleh cuba di sini.
Peta Lokasi | Jarak | +6066757473 | Facebook | Instagram
- No 435 Jalan Pusat, Jln Bandar Senawang 18, Pusat Bandar Senawang, 70450 Seremban, Negeri Sembilan
- 9.30 am – 8.00 pm
- Kecuali Jumaat
30. Rumah Makan Cibiuk Seremban Getaway
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya tekak anda tu terasa sangat nak makan makanan asli dari Indonesia, Rumah Makan Cibiuk ni pasti dapat menarik cita rasa anda. Makan di sini semuanya makanan asli Indonesia dan ada juga beberapa menu barat. Anda boleh cuba sajian Indonesia mereka seperti bawal goreng cobek, nasi liwet bebek goreng dan nasi bakar ayam dara. Mereka juga ada makanan set untuk seisi keluarga daripada RM 109.50 ke Rm139.90.
Kedai makan ini memang cukup terkenal sampaikan mereka ada beberapa cawangan di seluruh Malaysia dan Indonesia. Hiasan kedai mereka juga diinspirasikan daripada hiasan Indonesia. Kalau nak terasa macam makan di Bali, anda sila ke sini. Mereka juga menerima pelanggan yang ingin membuat sambutan beramai-ramai di kedai mereka.
Peta Lokasi | Jarak | +6067607476 | Facebook
- 109, Jalan Labu, 70200 Seremban, Negeri Sembilan
- 11.00 am – 8.00 pm (Setiap Hari)
- 2.30 pm – 8.00 pm (Jumaat)
31. Mee Kari Railway Rasah
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Mee kari ni memang antara makanan yang disukai oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Di Seremban 2 terdapat kedai mee kari yang memang dikenali oleh penduduk sekitar sini. Dah nama kedai pun mee kari, jadi mestilah anda kena rasa mee kari mereka kalau dah singgah ke sini. Mee kari di sini memang sangat sedap kerana kuah karinya yang pekat dan menyelerakan. Orang memang selalu datang sarapan pagi di sini kerana mereka juga ada nasi lemak dan aneka kuih muih.
Peta Lokasi | Jarak | +60102556388 | Facebook | Instagram
- 97, Persiaran S2 B1, Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- 8.00 am – 4.00 pm
- Jumaat cuti
32. Eid Authentic Korean Cuisine
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Tengok cerita Korea teringin pula nak makan makanan Korea kan? Kalau macam tu anda pergilah makan di Eid Authentic Korean Cuisine. Jangan risau, restoran Korea ni ada sijil halal Jakim tau. Mereka ada sajikan perlbagai sajian asli Korea. Bulgogi ada, ayam goreng Korea ada, bibimbap ada dan macam-macam lagi. Kebersihan kedai makan ni memang the best-lah. Tidak lupa juga dekorasi dan suasana kedai yang mantap. Anda pasti akan merasai suasana Korea kalau makan di sini.
Kedai ni ada beberapa cawangan di Malaysia. Cawangan yang di Seremban ni terletak di Seremban Getaway. Senang je nak cari tempat letak kereta di kawasan ini.
Peta Lokasi | Jarak | +6067606498 | Facebook | Instagram
- No 3-L1 Seremban Gateway Off, Seremban – Bukit Nenas Highway, 70200 Seremban, Negeri Sembilan
- 12.00 pm – 7.00 pm
33. Hanif kitchen
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Dah ada kt Seremban ni kenalah cuba masakan asli orang Negeri Sembilan. Hanif Kitchen ada menyediakan lauk-pauk asli orang nogori. Mereka menyediakan masak lomak, rendang itik dan banyak lagi. Biasanya lauk-pauk makanan Melayu mereka memang cepat habis. Jadi, kalau niat nak datang tu sila datang cepat-cepat, takut melepas nak makan masakan sedap.
Disamping makanan Melayu Negeri Sembilan, mereka juga ada ayam golek dara berempah dan nasi briyani. Harga seekor ayam goleh adalah antara RM 17 ke RM18 sahaja. Memang puas makan ramai-ramai. Harga makanan di sini memang sangat berpatutan dan mampu milik. Mereka juga ada menerima tempahan untuk pelbagai majlis kepada sesiapa yang berminat.
Peta Lokasi | Jarak | +60149961361 | Facebook | Instagram
- Pasar Komuniti & Caravan (Pakar) Km 12, Jalan Seremban Kuala Pilah, Paroi, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
- 12.00 pm – 8.00 pm (Sabtu – Rabu)
- 3.00 pm – 8.00 pm ( Jumaat)
- Khamis tutup
34. The Teratai Seafood Restaurant Seremban 2
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Kalau nak makan seafood, di Seremban 2 ni pun ada juga. The Teratai Seafood Restaurant menyediakan banyak menu makanan laut yang anda boleh cuba. Mereka ada udang, ada sotong, ada ikan, ada ketam dan macam-macam lagilah. Anda pilih je makanan laut yang anda nak makan, lepastu mereka akan masakkan mengikut masakan pilihan anda. Antara masakan yang anda boleh pilih ialah masak masam manis,sambal dan butter.
Sekali pandang memang nampak macam restoran Cina, tapi anda jangan risau, kedai makan masakan ala Cina ni halal. Anda tak perlu rasa ragu-ragu untuk makan di sini. Restoran mereka juga luas dan sesuai untuk makan beramai-ramai.
Peta Lokasi | Jarak | +60163378744 | Facebook | Website
- Central Park, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- 11.00 am – 3.00 pm, 6.00 pm – 11.00 pm
35. Bros. Cafe
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Kepada anda yang mencari kafe di Seremban tu, dah pergi belum ke Bros Cafe ni? Kafe mereka ni memang lawa dan best untuk lepak-lepak minum kopi. Di sini macam-macam menu ada dari pembuka selera hinggalah ke pencuci mulut. Anda pasti akan duduk lama di sini sambil mencuba menu mereka.
Mereka ada makanan berat seperti spageti dan nasi, pencuci mulut seperti kek dan ais krim bingsu dan kopi seperti latte dan americano. Anda pasti akan suka meluangkan masa di sini tak kira bersendirian ataupun bersama teman. Biasanya kafe mereka ni ramai ketika makan tengah hari.
Peta Lokasi | Jarak | +6066010666 | Facebook | Instagram
- b13, 2, Jalan S2 B13, Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- 10.00 am – 5.00 pm
- Isnin tutup
36. Cendol Songkok Tinggi
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Dapat makan cendol dalam cuaca panas di Seremban ni memang best, terutama sekali di Cendol Songkok Tinggi. Macam-macam cendol yang terjual di sini yang pasti dapat menyejukkan badan anda. Antara cendol yang terkenal di sini ialah cendol durian mereka. Cendol mereka ni memang sedap sebab tidak terlalu manis.
Selain cendol, mereka juga ada makanan lain. Anda boleh menikmati nasi lemak, laksa, soto dan banyak lagi. Dah alang-alang isi perut dengan cendol tu, anda cubalah juga makan makanan lain di sini. Kedai makan di Seremban ini juga mempunyai suasana yang baik untuk anda datang beramai-ramai kerana keluasan kedai mereka.
Peta Lokasi | Jarak | +60102434800 | Facebook | Instagram
- Jalan Gedung Lalang 1, Kampung Jiboi Baru, 70400 Ampangan, Negeri Sembilan
- 9.00 am – 6.30 pm
37. Restoran Dqalisha Steamboat and Grill
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
Sekiranya anda mencari kedai steambot di Seremban, Restoran Dqalisha Steamboat and Grill ni memang kedai yang anda patut cuba. Memang banyak pilihan makanan steamboat yang ada di sini. Anda boleh ambil daging, ayam, bebola ikan, dim sum, makanan laut dan banyak lagi. Anda juga ada diberi aneka sos sebagai pelengkap. Pasti rambang mata dibuatnya. Bila makan tu beringat sikit, jangan ambil banyak-banyak lepastu tak makan.
Anda juga akan diberi bermacam-macam jenis air yang dapat menyegarkan tekak anda. Yang paling best, tempat makan steamboat ni memang luas dan ada meja panjang. Jadi, kalau nak datang ramai-ramai buat reunion pon tiada masalah.
Peta Lokasi | Jarak | +60126612946 | Facebook | Instagram
- Lot 4967, Jalan Matahari 2, Taman Matahari Height, 70450 Seremban, Negeri Sembilan
- Thursday, 5.00 pm –12.00 am
38. The Muffin House
- Info
- Alamat
- Waktu Operasi
The Muffin House ni merupakan kedai makan di Seremban 2 yang menyediakan makanan berat, kopi dan pencuci mulut. Kafe ni memang nampak macam kedai roti je, tapi mereka juga ada makanan berat yang anda patut cuba. Mereka ada burger, spageti dan pizza. Kalau taknak makan berat pun boleh je. Anda boleh lepak-lepak minum kopi sambil menjamah roti mereka yang empuk dan kek buatan mereka yang berwarna-warni. Bagi yang nak sambut hari jadi, mereka ada menjual kek untuk anda makan bersama.
Peta Lokasi | Jarak | +6066030565 | Facebook | Instagram
- 277, Jalan S2 B12, Uptown Avenue Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
- 10.00 am – 10.00 pm
- Selasa tutup
Bagi anda yang nak menerokai keenakan makanan tradisional di Negeri Sembilan, Bandar Seremban adalah destinasi yang paling ideal & lebih banyak pilihan sekiranya nak dibandingkan dengan kawasan tumpuan pelancong paling popular di Negeri Sembilan, iaitu Port Dickson. Sekiranya anda bercadang makan angin & cuti-cuti di PD, jangan lupa untuk terokai 21+ Tempat Makan Best di Port Dickson.
Di mana jua anda bermalam di Seremban, kesemua tempat makan menarik di Seremban seperti di atas adalah sangat mudah untuk anda bertandang bersama keluarga & rakan taulan.
Banyak bukan destinasi makan menarik di Seremban? Sebenarnya ada lagi destinasi-destinasi lain yang menarik untuk anda terjah dari Bandar Seremban. Sekiranya anda menuju ke Kuala Pilah dari Seremban atau mungkin mandi manda di Taman Rekreasi Ulu Bendul, anda boleh terjah beberapa tempat makan menarik yang berdekatan seperti Zaini Salai House, D’Sawah Breakfast & juga Cendol Joseh ii Ulu Bendul. Semoga senarai destinasi makan menarik di atas akan memudahkan percutian anda ke Seremban kelak. Selamat jalan jalan cari makan di Seremban. Wassalam.
Popia basah kuala kangsar..tauke sangat sombong dan tiada hornat pada pelanggan..pekerja mengambil order sambil lewa..aku mmg reject kedai nie
Ko ni bohong.. Org lain dtg OK jer
Nak promote kedai makan di area Sendayan berdekatan dengan Masjid Sri Sendayan. Kedai makan yang menyediakan lauk gulai salai seperti keli salai, puyuh salai, itik salai ayam kmpg salai, dan byk lauk kampung. Boleh view, waze dan google map serta facebook dan instagram, @gulaisalaidapurmommy.
ada lagi satu dekat taman tasik jaya..Capati kari kambing meletoppp…mmg padu….padu….bosku…nama cafe nya D’Noor cafe.
Ada lagi min… zaini salai jalan ke pilah tu..mantapp
wow, byk nya list, semua best2..cendol sagu rumbia sy dh try, mmg rare!
Cendol Songkok Tinggi… Sentiasa menjadi pilihan peminat cendol..Terbaekkkk
satu lagi tempat makan menarik..cendol leman dawi…boleh dengar celoteh..tokey kedai bercerita tentang sejarah dan keluasan sesebuah negeri…terletak dijalan seremban tampin..anda pasti ketawa….
KEDAI KOTOR, TOKEY KEDAI MERAPU RAPU CAKAP EVEN BENDA DIA CAKAP BETUL.
SELAKU CUSTOMER SAYA RASA TOKEY TU ANNOYING