Isi Kandungan
Seperti semua orang lain kita semestinya mencari kedai dan tempat makan best di Kuching yang menyediakan makanan tradisi yang popular di Sarawak seperti Mee Kolok, Nasi Lalapan, Mee Sapi, Kek Lapis, Ikan Terubok Masin dan sebagainya.
Jadi kalau anda mencari makanan yang menarik dan halal di Kuching, Sarawak teruskan membaca sehingga habis.
Kopi O Corner
Bagi anda yang ingin merasa makan makanan Sarawak yang popular seperti Mee Kolok dan Laksa Sarawak, salah satu tempat makan best di Kuching untuk dicuba ialah di Kopi O Corner. Lokasi kedai di Jalan Satok ini hanya bersebelahan dengan satu lagi kedai makan yang menarik iaitu RJ Ayam Penyet Kopitiam. Bolehlah mencuba kedua-dua kedai sekali kalau sempat.
Setiap kedai yang menyediakan Mee Kolok di Kuching mempunyai style dan resepinya yang tersendiri. Tidak kurang di sini, antara Mee Kolok yang popular ialah Mee Kolok Special dan Mee Kolok Sapi.
Memang sangat unik sekiranya anda baru pertama kali mencuba Mee Kolok ni. Sekali pandang macam maggie goreng pun ada. Namun rasa mee kolok ini memang lain dari apa jenis mee yang anda pernah cuba di Semenanjung.
Selain Mee Kolok, Kopi O Corner ada juga menu makanan lain seperti laksa sarawak, mee jawa, bakso, nasi campur, mee kampua, roti canai dan nasi lemak. Satu tempat makan menarik dengan menu makanan Sarawak yang boleh anda cuba kelak.
Satu lagi menu yang agak pelik di sini ialah roti canai yang digulung kemudiannya dihiasi dengan jaluran sos mayonis, sos black paper dan sos cili yang membuatkan persembahan roti canai ini tidak ubah seperti sepotong kek lapis sarawak volcano gitu.
Suasana di kedai Kopi O Corner juga sangat selesa dan bersih. Dengan dekorasi dalaman yang ceria pasti menambah lagi selera anda untuk bersantapan di sini.
RJ Ayam Bakar Kopitiam
Bagi anda yang mencari kedai makan malam yang santai dan menyediakan makan western & melayu yang sedap, salah satunya ialah di RJ Ayam Bakar Kopitiam.
Suasana kedai ini sememangnya seperti di kebanyakan kopitiam lain, selesa dan dihiasi dengan lukisan dan frame gambar yang menarik untuk menambahkan lagi aura kedai makan ini.
Bercakap pasal menu pula, di RJ Ayam Bakar Kopitiam menyediakan pelbagai pilihan makanan grill, western dan juga melayu. Antara menu popular yang menjadi pilihan pengunjung tetap ialah ayam bakar, ikan bakar, nasi ayam penyet dan fried banana cheese.
Bukan sahaja nasi ayam penyet yang ada di sini, anda juga boleh mencuba ‘lauk penyet’ yang lain seperti sotong dan juga udang.
Bagi yang lebih sukakan makanan santai, anda boleh mencuba grilled burger, nachos, fajitas wrap,  buffalo wings, chili cheese fries dan chili hotdog yang tidak kurang enaknya. Pilihan pencuci mulut seperti aneka kek, pie dan tart juga banyak untuk dipilih di sini.
Dengan suasananya yang kelihatan elegant dan harga makanan yang berpatutan, makan malam di sini sememangnya satu pengalaman yang berbaloi untuk dinikmati. RJ Ayam Bakar Kopitiam ini dibuka dari lewat petang sehinggalah ke awal pagi.
Top Spot Foodcourt
Bagi anda yang inginkan makan seafood yang best di Kuching, salah satu tempat menarik untuk dicuba ialah di Top Sport Foodcourt.
Konsep kedai ini seperti medan-medan ikan bakar yang biasa kita pergi dengan suasana open air. Kalau di hujung minggu, memang ramai pengunjung di sini jadi anda kenalah bersabar sedikit untuk menunggu makanan sampai.
Namun, memandangkan Top Spot Foodcourt ini memang luas, jadi tiada masalah untuk mencari tempat duduk walaupun pada masa kemuncak.
Bermacam jenis lauk pauk seafood yang ada di sini yang sangat segar untuk dipilih. Namun sebagai pelancong, menu yang mesti dicuba ialah makanan ala sarawak seperti umbai, pansoh ayam dan midin.
Satu tempat makan best di Kuching yang mesti anda datang kalau anda pertama kali bercuti di Kuching.
Mee Kolok Pak Amit Cafe
Satu lagi tempat makan yang menarik di Kuching yang menyediakan mee kolok. Mee Kolok merupakan santapan santai yang sangat popular di Sarawak. Senang cerita Mee Kolok ini dihidangkan di dalam mangkuk dengan mee dan supnya yang tersendiri.
Sup atau kuahnya memang sangat lain daripada sup yang kebiasaan kita makan samaada mee bandung, mee rebus mahupun soto.
Di Kedai Pak Amit Cafe ini, mereka menghidangkan Mee Kolok dengan beberapa style dan yang paling menarik dilihat ialah Mee Kolok Udang.
Selain Mee Kolok, di sini juga menyediakan beberapa lagi menu makanan mee yang tidak kurang menariknya seperti Mee Jawa dan Mee Sapi Sup.
Alamat Kedai Pak Amit Mee Kolok ialah, Ground Floor, Lot 3108-3113, SL 3, Jalan Astana, 93050 Kuching, Sarawak.
King Lalapan Batu 7
Satu lagi destinasi yang menyediakan makanan yang popular di Sarawak iaitu Nasi Lalapan.
Nasi Lalapan kalau ditengok sekali imbas tidak ubah seperti nasi ayam penyet. Namun ada yang membezakannya dari segi persembahan dan juga rasa sambalnya. Rasa rempah ayam dan sup dia juga lebih kuat kalau nak dibandingkan dengan nasi ayam penyet.
Selain itu, hidangan sayur dan side dish dia lebih banyak. Selain ayam, anda boleh juga mencuba menu ikan bawal dan ikan keli. Menu lain seperti bakso dan laksa sarawak turut disediakan di sini.
Apa-apa pun resepi asal kedua-duanya nasi lalapan dan nasi ayam penyet adalah dari Indonesia. Bagi yang nak mencuba nasi lalapan di kedai yang sedap di Kuching, jangan tak singgah di King Lalapan Batu 7.
5 tempat makan best di Kuching yang mesti cuba
Itulah dia beberapa tempat makan best di Kuching yang halal dan popular yang menyediakan makanan Sarawak yang mesti anda cuba kalau bercuti ke sini. Selamat menjamu selera. Wassalam.