Isi Kandungan
Aktiviti hiking atau mendaki ini telah menjadi satu aktiviti yang ramai digemari oleh setiap lapisan masyarakat. Bagi mereka yang betul-betul minat dalam aktiviti lasak ini berkata hiking dapat menghilangkan rasa stress atau masalah yang dialami dengan melihat pemandangan yang indah dan tenang apabila tiba di puncak atas.Terasa satu kepuasan apabila penat mendaki terbalas dengan reward pemandangan alam semula jadi yang cantik.
Selain untuk menghilangkan rasa tekanan, aktiviti hiking juga sesuai untuk anda yang bekeluarga. Banyak antara dari mereka membawa keluarga untuk pergi hiking di bukit sebagai salah satu aktiviti keluarga meluangkan masa bersama. Anda hanya tinggal memilih bukit yang sesuai dan laluan yang selamat untuk anda sekeluarga mendaki.
Pastikan anda memandangkan setiap sudut keselamatan semasa hendak mulakan pendakian seperti pemilhan kasut yang sesuai, pemanas badan dan juga tenaga yang mencukupi. Negeri Terengganu ini merupakan salah satu negeri yang mempunyai tempat hiking yang best dan pastinya menghidangkan pemandangan yang cantik apabila anda tiba di puncak.
10 Tempat “Hiking” Di Terengganu
1. Gunung Sarut
Salah satu kawasan menarik yang tersembunyi di sebalik Gunung Sarut ialah air terjun yang berwarna biru jernih yang diberi nama Blue Pool. Gunung Sarut yang terletak di daerah Setiu ini mempunyai ketinggian 2000 meter dengan jarak 30 km. Oleh itu, untuk sampai ke puncak Gunung Sarut anda boleh bermalam di tapak perkhemahan untuk berehat sebelum memulakan semula perjalanan pada keesokkan pagi menuju ke puncak.
Untuk pengetahuan anda, puncak Gunung Sarut dikelilingi dengan pokok-pokok dan menjadikan pemandangan di atas puncak tertutup. Walaupun pemandangan tertutup dengan pokok-pokok, tetapi di puncak ini akan akan berasa yang sejuk dengan angin-angin yang bertiup.
Jika anda hendak mendapatkan pemandangan yang cantik sedikit atau pemandangan matahari terbit, anda boleh melihatnya melalui tapak perkhemahan. Oleh itu, sebelum anda bergerak menuju ke puncak, nikmati terlebih dahulu pemandangan yang cantik di tapak perkhemahan tersebut. Jangan lepaskan peluang juga untuk berenang di Blue Pool!
Alamat: Kampong Permaisuri,22100, Setiu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
2. Bukit Singa
Bukit Singa ini yang terletak di Pulau Kapas juga menjadi salah satu tempat tarikan yang berada di negeri Terengganu. Mereka yang singgah di Pulau Kapas, wajib menjejakkan kaki di atas puncak Bukit Singa untuk melihat pemandangan laut yang terbentang luas. Waktu terbaik untuk anda mendaki ialah pada waktu pagi atau selepas pukul 3 petang untuk mengelakkan panas sinaran matahari.
Untuk sampai di Bukit Singa ini, anda perlu menaiki bot ke Pulau Kapas terlebih dahulu. Perjalanan menuju ke Bukit Singa dimulai dengan melalui laluan batu yang keras dan curam. Untuk mengelakkan anda tercedera atau tergelincir, anda disarankan untuk memakai kasut yang sesuai agar dapat mendaki dalam keadaan selamat dan juga selesa.
Melalui puncak Bukit Singa ini bukan sahaja kelihatan pemandangan laut yang membiru, tetapi anda akan dapat lihat sekali batu yang berbentuk kepala singa dan disitu la nama bukit ini diambil.
Alamat: Pulau Kapas, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
3. Bukit Bubus
Bukit Bubus yang terletak di Besut ini berada di persisiran pantai. Bukit ini juga berada berdekatan dengan Bukit Keluang namun mempunyai jalan yang berbeza untuk sampai ke puncak. Dengan ketinggian 85 meter dari paras Laut China Selatan dan trek yang tersedia juga mudah pastinya menyenangkan anda yang masih amatur dalam mendaki. Jika anda ingin menikmati pemandangan terbit matahari di atas Bukit Bubus ini, anda boleh merancang pendakian memandangkan masa yang diambil hanya 10-15 minit sahaja untuk sampai ke puncak.
Di atas Bukit Bubus ini juga turut tersedia kawasan wakaf yang luas dan sebuah pondok untuk anda berehat sementara menunggu matahari terbit. Anda pastinya akan terpegun dengan keindahan matahari terbit ditambah lagi dengan pemandangan laut yang luas. Penat lelah pendakian anda di Bukit Bubus sangat la memberikan pulangan yang berbaloi.
Alamat: 22200 Kampung Raja, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
4. Bukit Mentok Hiking Park
Bukit Mentok Hiking Park merupakan sebuah bukit yang telah dijadikan sebuah tempat yang menjadi tarikan orang awam untuk mendaki di bukit ini. Oleh kerana bukit ini mempunyai laluan trek yang luas dan tersedia, tidak susah bagi anda untuk yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Di samping itu juga, kawasan Bukit Mentok telah dipelihara dan dijaga dengan kerjasama dari warga Kampung Bukit Mentok.
Anda perlu melepasi tiga check point yang terdapat di Bukit Mentok ini sebelum sampai ke puncak. Setiap check point tersedia kawasan rehat yang membolehkan anda duduk untuk berehat dan mengambil tenaga semula sebelum memulakan pendakian.
Alamat: Persiaran Bukit Mentok, 24000 Chukai, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong
5. Bukit Besar
Kalau anda Google tentang Bukit Besar ini, anda pastinya akan dapat tahu bahawa di Bukit Besar inilah yang terletak tulisan ikonik “Allah Peliharakanlah Terengganu” yang cantik bercahaya pada waktu malam tu. Bukit Besar yang terletak di Kuala Terengganu merupakan sebuah tempat rekreasi yang menjadi tumpuan orang awam kerana pemandangannya yang cantik apabila anda tiba di puncak bukit ini. Melalui puncak Bukit Besar ini anda dapat melihat Masjid Kristal dan Sungai Terengganu memandangkan bukit ini terletak di Kuala Terengganu.
Untuk anda yang mahu mendaki Buki Besar ini, terdapat dua pilihan laluan untuk anda sampai ke puncak. Trek yang pertama merupakan trek untuk pengunjung berjonging di mana laulannya mudah dan mendatar dengan jalan yang telah diturap. Laluan yang kedua ialah laluan mendaki yang sesuai untuk anda yang mahukan cabaran semasa mahu ke puncak bukit. Kedua-dua laluan ini pastinya membawa anda ke satu destinasi ialah puncak Bukit Besar.
Alamat: Jln TM Bukit Besar, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
6. Bukit Maras
Bukit Maras yang terletak di daerah Kuala Nerus ini hanya mengambil masa sekitar 30 minit pemanduan jika anda dari bandar Kuala Terengganu. Dengan ketinggian 329 meter dari paras laut, Bukit Maras juga tidak kurangnya orang awam yang datang ke sini untuk mendaki. Berbeza dengan Bukit Besar, Bukit Maras ini mempunyai 3 laluan yang boleh anda pilih untuk sampai ke puncak.
Trek yang pertama ialah trek yang bertanah merah yang sesuai jika anda membawa anak-anak mendaki sekali kerana treknya yang luas dan tidak terlalu membukit memudahkan anda untuk sampai ke puncak. Namun demikian, anda juga perlu sentiasa memerhatikan langkah anak-anak anda kerana trek tanah merah ini juga licin. Dua trek lagi sesuai untuk anda yang mahukan cabaran kerana perlu mengharungi denai dan jaraknya untuk sampai ke puncak juga sedikit jauh.
Setibanya di puncak, anda tidak perlu risau kerana di atas bukit ini terdapat beberapa buah kedai kecil yang ada menjual snek dan juga air. Jadi anda tidak perlu bersusah-payah membawa air atau makanan ringan untuk mengisi perut. Sambil-sambil menikmati pemandangan di puncak itu, anda boleh la mengalas perut untuk mengembalikan tenaga untuk turun bukit nanti. Jangan lupa untuk membuang sampah dan jangan buang merata!
Alamat: 21020 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
Lokasi | Ulasan Pelancong | Phone: 012-2956302
7. Bukit Tok Salai
Bukit Tok Salai yang terletak di Sungai Nerus ini baru sahaja dibuka kepada orang awan pada bulan September 2021 dan menjadi satu tarikan kepada peminat aktiviti mendaki. Bukit yang berketinggian 160 meter dari paras laut ini hanya memakan masa lebih kurang 30 hingga 40 minit untuk tiba di puncak. Ini menjadikan Bukit Tok Salai sesuai untuk semua lapisan masyarakat untuk menjalankan aktiviti mendaki di bukit ini.
Pihak Pengurusan Bukit Tok Salai dengan kerjasama Adun Buluh Gading sangat menjaga kebersihan dan juga turut menyediakan kemudahan di bukit ini untuk keselesaan para pendaki. Antara kemudahan asas yang telah disediakan di bukit ialah wakaf rehat, surau dan juga tandas untuk kegunaan pengunjungnnya. Dengan kemudahan yang tersedia, pastinya akan menarik lebih ramai lagi pengunjung untuk datang ke Bukit Tok Salai ini.
Alamat: Bukit Tok Salai Sungai Nerus, 21200 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6:00 a.m-7:00p.m
Lokasi | Ulasan Pelancong | Phone: 016-9906229
8. Bukit Balik Hidung
Bukit Balik Hidung ini telah di popularkan oleh persatuan pendaki pada awal tahun 2020 dan sehingga ini bukit ini menjadi terkenal dan tidak putus dengan para pengunjungnya. Bukit yang berketinggian 132 meter dari paras laut ini amat sesuai untuk setiap lapisan masyarakat tidak kira kanak-kanak ataupun dewasa kerana untuk sampai ke puncak tidak mengambil masa yang lama.
Walaupun bukitnya tidak berapa tinggi dan mempunyai laluan yang mudah, anda juga perlu melakukan pemanasan badan sebelum mula mendaki. Hal ini untuk mengelakkan anda tercedera semasa aktiviti mendaki bukit. Pemandangan pokok yang menghijau dari atas bukit ini pastinya membuatkan anda tidak akan berasa menyesal mendaki Bukit Balik Hidung ini.
Alamat: Kampung Paya Besar, 21700 Kuala Berang, Terengganu
Waktu Operasi: 24 Jam
9. Bukit Keluang
Bukit Keluang sememangnya sangat terkenal dengan aktiviti pendakian oleh para pengunjung tidak kira sama ada penduduk setempat atau mereka yang datang dari seluruh negeri. Bukit Keluang yang terletak di dalam daerah Besut ini mempunyai ketinggian 396 meter dari paras laut dan menghadap Laut China Selatan pastinya menjanjikan pemandangan yang cantik.
Namun sebelum sampai ke puncak Bukit Keluang ini, anda perlulah melalui trek yang sedikit curam dan menaik. Namun terdapat tali yang tersedia untuk membantu anda berpaut semasa mahu mendaki. Ketika hari hujan, trek berkemungkinan sedikit licin. Oleh itu anda perlu lebih sentiasa memerhatikan setiap langkah yang dibuka teratur dan stabil.
Sesampainya di atas puncak bukit, pastinya segala penat lelah anda terbalas dengan pemandangan laut yang terbentang luas yang dihidangkan. Angin yang kuat bertiup juga pastinya akan membuatkan anda rasa lebih teruja apabila tiba di atas puncak bukit ini.
Alamat: Jalan Bukit Keluang 22200 Kuala Besut, Terengganu, Malaysia
Waktu Operasi: 24 Jam
10. Bukit Bauk
Bukit Bauk ini terletak di daerah Dungun, Terengganu berketinggian 472 meter dari paras laut. Untuk ke puncak Bukit Bauk ini, anda akan melalui laluan yang telah diturap dengan tar hingga ke penghujungnya akan terlihat menara telekomunikasi. Setelah itu, anda perlu melalui pula denai yang sememangnya menjadi laluan pendaki untuk sampai ke puncak bukit.
Anda perlu mengharungi denai tersebut sejauh 3.75 KM untuk sampai ke puncak Bukit Bauk ini. Kawasan denai yang agak licin dan mencuram pastinya agak sedikit sukar bagi anda untuk menstabilkan tubuh badan anda. Namun anda beberapa kawasan yang telah tersedia tali untuk membantu para pendaki untuk berpaut. Pendakian lebih kurang satu jam pastinya akan membawa anda ke puncak Bukit Bauk yang dikelilingi dengan pokok-pokok yang besar dan menghijau.
Alamat: Bukit Bauk Dungun, Terengganu, Malaysia
Waktu Operasi: 24 Jam
Itulah antara tempat-tempat mendaki yang boleh anda datang bersama geng-geng anda. Memang bagus mendaki ni untuk kecergasan badan. Dapat keluar peluh sambil melihat pemandangan yang cantik. Pastinya berbaloi bila anda dah sampai ke puncak. Jadi, apa tunggu lagi? Pergilah menuju puncak.
menarik bukit Balik Hidung. first time dengar