Isi Kandungan
Bagi yang minat dengan aktiviti rekreasi luar dan tempat atau suasana alam yang semula jadi, anda boleh mengadakan aktiviti perkhemahan atau camping di Perak. Bunyi air sungai mengalir, pokok-pokok kehijauan sudah pasti dapat memberi ketenangan semula jadi kepada anda. Untuk mengadakan aktiviti perkhemahan, anda perlu mengenal pasti tempat-tempat yang sesuai untuk mendirikan khemah dan kemudahan sekeliling yang ada. Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Di samping itu, mudah bagi anda untuk membuat persiapan dalam menyediakan barang yang diperlukan.
Banyak tempat camping di Perak yang best. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah mandi sungai, water rafting, BBQ dan banyak lagi yang boleh dilakukan bersama keluarga atau rakan-rakan. Sambil-sambil tu dapat menikmati ketenangan dan keindahan suasana di tempat camping tu. Di sini kami menyenaraikan 11 tempat camping best yang anda boleh lawati di Perak.
Tempat Camping Di Perak
1. Rock Garden Camping Resort
Keselesaan dan keindahan semula jadi di Rock Garden Camping Resort ni telah menarik banyak sangat pengunjung untuk mengadakan aktiviti rekreasi luar. Boleh pilih untuk tempah chalet ataupun tapak perkhemahan bagi yang ingin bermalam. Udara yang nyaman serta atmosfera yang sejuk pada waktu malam, pasti akan memberi ketenangan yang luar biasa. Anda boleh mandi-manda di sungainya yang sejuk dan segar. Untuk pengetahuan anda, sungai di Rock Garden agak cetek, jadi sesuai jika bawa anak kecil bermandi-manda.
Selain itu, ada juga aktiviti lasak yang boleh dilakukan seperti rakit arus deras ataupun dipanggil water rafting. Sekiranya anda inginkan suasana percutian yang jauh dari bandar kota, ini adalah tempat yang paling tepat untuk camping di Perak. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tempat ini, boleh lawati laman Facebook mereka.
Alamat: Rock Garden Resort, 31600 Gopeng, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-3806630
Whatsapp Rock Garden Camping Resort
2. Riverine Nature Camp
Teringin nak mandi sungai yang bersih dan sejuk? Datanglah di Riverine Nature Camp. Kawasan sungainya yang landai, air yang bersih, memang seronok untuk mandi sungai lama-lama. Anda juga dapat merasai mandi sungai macam kat kampung gitu. Di sini, mereka ada sediakan perkhidmatan sewa tayar dan tempat berkelah. Adalah disarankan datang awal untuk memilih tempat berkelah yang luas dan selesa. Kalau mandi-manda ni pasti akan lapar kan nanti. Jangan risau, anda boleh tempah pakej makan tengah hari dengan mereka. Makanan yang disediakan gerenti sedap dan segar.
Lawati laman Facebook Riverine Nature Camp untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tempat ini. Tempahan makanan hendaklah dilakukan lebih awal dengan whatsapp nombor di bawah.
Alamat: No.221, Lorong 9, Jalan Utama Kampung Belum Baru, Kampung Sumpitan, 33420 Lenggong, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-3338670
3. Riverside Camp Gopeng
Riverside Camp Gopeng menyediakan banyak aktiviti rekreasi luar yang menarik. Ada whitewater rafting untuk 3 dan 2 jam, waterfall abseiling dengan tinggi 12 meter, eksplorasi gua sedalam 1.9 km dan banyak lagi. Khusus bagi yang gemar mendaki, di sini ada sunset hiking juga tau. Selain aktiviti lasak, anda juga boleh berkhemah atau berkelah di Riverside Camp ni. Sesuai sangat kalau nak bercuti dengan keluarga dan arus sungai selamat untuk anak kecil.
Berkhemah berhampiran sungai, sangat menenangkan di camping site ini. Anda perlu membuat tempahan dengan mereka kerana slot selalu penuh terutama pada hujung minggu. Kemudahan di tapak perkhemahan seperti tandas, surau, tempat BBQ dan macam-macam lagi ada disediakan. Info mengenai perkhidmatan yang mereka sediakan boleh didapati di laman web mereka.
Alamat: No. 1 Bawah, Jalan Sungai Itek, 31600, Gopeng, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 014-2944404
Whatsapp Riverside Camp Gopeng
4. Outworld White Water Center & Basecamp
Aktiviti air dan perkhemahan di Outworld White Water ni sangat mencabar dan menyeronokkan. Tengok gambar sahaja pun nampak macam best kan. Tapak perkhemahan mereka sangat luas dan penuh dengan kehijauan yang menenangkan. Kalau anda tidak mempunyai barang perkhemahan, tak perlu pening dengan semua tu. Mereka mempunyai pakej family camping 2 hari 1 malam, set khemah yang dilengkapi dengan tilam, bantal, kipas dan lain-lain keperluan asas. Datang bawa baju sahaja pun cukup.
Bagi yang ingin mencuba white water rafting, inilah masa yang sesuai. Mereka mempunyai beberapa grade sungai bergantung kepada arus air sungai. Staf mereka adalah profesional dan mengutamakan keselamatan. Pengunjung yang telah mencuba aktiviti ini juga amat puas hati dengan layanan staf mereka.
Alamat: Lot 17526, Jalan Hussin, Kg Chulek 31600 Gopeng, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 017-2151409
5. Draco Nature Camp
Draco Nature Camp sesuai dengan namanya iaitu nature di mana terdapat pelbagai spesis flora dan fauna yang boleh diterokai dan sesuai untuk menimba ilmu tentang alam semula jadi. Nama Draco pula datangnya kerana terdapat banyak spesis cicak terbang di sini. Keadaan persekitaran di tapak perkhemahan ini sangat tenang dan segar dengan dikelilingi aliran air sungai dan pemandangan bukit bukau. Anda boleh berkhemah di campsite ini serta mandi sungai bersama keluarga.
Untuk pengetahuan anda, sungai di sini adalah selamat kalau ada budak kecil. Selain itu, mereka mempunyai pakej perkhemahan berserta makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan malam. Kemudahan yang disediakan dijamin cukup untuk memberi keselesaan sepanjang percutian anda. Untuk membuat tempahan boleh whatsapp mereka melalui pautan di bawah.
Alamat: Batu 7, Kampung Asli Sungai Cincin, 35300 Chenderiang, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-2289042
6. GreenStone Campsite
Sekiranya ingin percutian ke air terjun, anda boleh mengunjungi GreenStone Campsite di Kuala Kangsar. Ditambah pula aktiviti yang sedikit mencabar sebelum tiba ke air terjun iaitu pendakian yang sederhana selama 40 minit. Anda akan dapat merasai pengalaman yang luar biasa seperti memanjat tali, gelongsor air, menikmati keindahan flora dan fauna dan persimpangan sungai. Sesuai sangat bagi yang menyukai dan ingin menerokai keindahan alam semulajadi.
Kalau ingin berkhemah, tempat mereka amat bersih dengan suasana yang sangat tenang. Anda juga boleh melakukan aktiviti BBQ beramai-ramai. Lagi tambah seronok lah percutian anda. Untuk mengunjungi tempat ini, disarankan agar membuat tempahan lebih awal sebelum fully booked.
Alamat: GreenStone Campsite, Kuala Kangsar, Malaysia
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-7557595
7. Family Camping Gopeng Tree Tent
Tree Tent Campsite pada asalnya adalah hutan yang diterokai untuk dijadikan tempat perkhemahan dan aktiviti rekreasi luar. Namun tak perlu khuatir akan keselamatan atau kemudahan di sini kerana organisasi mereka membuat perancangan yang sangat rapi untuk membina tempat ini. Banyak pengunjung yang telah merasai pengalaman yang sangat menggembirakan di tempat ini.
Sesuai jika anda ingin berkumpul bersama keluarga dan saudara kerana mereka ada menyediakan tempat khas untuk kapasiti yang ramai. Berkhemah sambil menikmati kehijauan dedaun, mandi air sungai yang segar, main tubing pasti akan memberi ketenangan dan kegembiraan buat anda sekeluarga. Segera tempah dengan mereka untuk percutian yang tenang dan menarik.
Alamat: Jalan Batu Putih, 31600 Gopeng, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-4604612
Whatsapp Camping Gopeng Tree Tent
8. Kem Rekreasi Intan Suraya
Pemandangan matahari terbenam sambil berkhemah boleh didapati di Kem Rekreasi Intan Suraya. Lumayan sangat meluangkan waktu dengan keluarga atau kawan-kawan di sini. Anda boleh pilih untuk tinggal di chalet atau mendirikan khemah. Selain itu, ada juga tempat memancing di kawasan ini. Bawak siap-siap barang pancing anda dan sedia untuk beraksi apabila tiba di sini. Dengar kata banyak udang galah di tempat itu.
Kemudahan yang disediakan termasuklah tandas, surau, plug point dan lain-lain. Ulasan dari pengunjung mereka mengatakan makanan yang disediakan adalah sedap, mempunyai kemudahan yang lengkap, pemandagan yang cantik dan banyak lagi. Anda perlu membuat tempahan sebelum datang ke lokasi dengan whatsapp melalui pautan di bawah.
Alamat: Kampung Raja Intan Suraya, 31100 Sungai Siput, Perak
Waktu Operasi: Isnin – Ahad: 9.00am – 5.00pm
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-5584599
Whatsapp Kem Rekreasi Intan Suraya
9. Murni Camp Gopeng
Seronok kan dapat berkelah tepi sungai. Bolehlah datang ke Murni Camp Gopeng untuk merasai pengalaman berkelah dan camping yang luar biasa. Fasiliti yang disediakan seperti tandas, sinki, surau, dapur BBQ dan penapis air akan memudahkan lagi percutian anda di sini. Mereka juga ada menawarkan perkhidmatan sewa tubing dan water rafting dengan harga yang berpatutan. Seronok main air sungai dengan anak-anak sekali. Kata pengunjung sebelum ini, batu sungai tidak banyak jadi lebih yakin nak mandi sungai dengan anak kecil.
Tempat camping bersih dan selesa kerana dijaga rapi oleh staf mereka. Layanan staf juga mesra dan profesional. Di samping itu, camp ini juga sesuai untuk mengadakan aktiviti bersama keluarga, kem pelajar dan sebagainya. Nak tahu lebih lanjut mengenai servis mereka boleh hubungi nombor yang tertera.
Alamat: Murni Camp Kg Jahang, Gopeng, Malaysia
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 012-5105649
10. Amazing Camp Legacy
Di Amazing Camp Legacy, anda boleh berkhemah dengan cukup selesa dan memuaskan. Tapak perkhemahan mereka dijamin bersih dan selamat untuk pengunjung. Bukan itu sahaja, mereka juga ada menyediakan kemudahan seperti tandas, surau, lampu elektrik dan yang paling menjadi keperluan masa kini adalah plug dan suis. Padan dengan nama camping ni, amazing gitu!
Deruan air sungai yang menenangkan, udara yang dingin boleh dirasai di tempat perkhemahan. Betul-betul nikmat semulajadi anda boleh dapatkan di Amazing Camp Legacy. Banyak lagi perkara menarik di camp ini. Lawati Facebook mereka untuk tahu apa lagi yang menarik tu.
Alamat: Lot 1550 Kg. Danglang, 33400 Lenggong, Perak
Waktu Operasi: 24 jam
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 019-6000710
11. Felda Trolak Timur
Felda Trolak Timur ini penuh dengan alam semulajadi yang bersih dan segar. Air sungainya yang bersih dan tenang menjadi pilihan untuk berkelah bersama keluarga ketika hujung minggu. Kawasan air terjun di sini juga bersih dan seronok untuk mandi-manda. Suasana kampung yang tenang dan jauh dari kesibukan kota amat sesuai untuk dijadikan destinasi percutian hujung minggu. Terdapat juga chalet di kawasan tersebut untuk disewa atau boleh juga camping tanpa dikenakan bayaran.
Di Felda Trolak Timur ini juga terdapat Bukit Intan yang sesuai untuk aktiviti mendaki. Bagi yang gemar dengan rekreasi luar seperti hiking, inilah tempat yang wajib menjadi pilihan anda. Pemandangan di atas bukit sangat cantik dengan bukit kehijauan dan kalau bernasib baik berpeluang menyaksikan awan karpet. Ambil gambar buat kenangan memang cantiklah. Anda boleh lihat gambar-gambar dari pengunjung atau pendaki sebelum ini di laman Facebook Felda Trolak Timur.
Alamat: Felda Trolak Timur, 35700 Trolak, Perak
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 017-51417860
Menariknya bercuti dan meluangkan masa bersama orang tersayang sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Berpandukan senarai tempat camping best di Perak ini, anda boleh membuat perancangan awal nak bercuti di kem yang mana dahulu dan apa aktiviti rekreasi luar yang anda ingin lakukan. Buat tempahan awal adalah digalakkan kerana tempat-tempat best ini sering menerima pengunjung yang ramai.