Isi Kandungan
Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara. Terkenal sebagai ‘Pintu Alam Semulajadi’, destinasi pelancongan yang terletak di negeri Terengganu menjanjikan pengalaman percutian memukau dan mempesonakan. Percutian ke Terengganu tidak lengkap kalau tidak berkunjung ke Tasik Kenyir. Info ini menyediakan panduan bagi anda yang merancang untuk datang ke Tasik Kenyir.
Aktiviti Menarik di Tasik Kenyir
Sukan Air
Mana-mana tasik pun mesti ada banyak aktiviti sukan air yang anda boleh lakukan, Tasik Kenyir pun tidak kurangnya. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah berkayak, berakit dan jet ski. Anda boleh sewa kerana di sini terdapat tempat untuk menyewa peralatan sukan berkenaan tetapi lebih baik kalau anda ambil pakej yang sekali dengan tempat penginapan. Memang seronok tau dapat bermain sukan-sukan air ini. Bila lagi nak cuba kalau bukan ketika berada di sini. Anda boleh lah buat pertandingan, main lawan-lawan siapa paling pantas berkayak dengan ahli keluarga ataupun rakan-rakan anda.
Meredah Hutan
Aktiviti meredah hutan di sini memang harus dilakukan kerana anda dapat melihat habitat flora dan fauna yang berada di sini. Macam-macam jenis pokok serta bunga yang anda boleh nampak di sini. Anda pastinya akan terkesima melihat keindahan alam semula jadi di sini. Akan tetapi, sebelum anda meredah hutan, anda dinasihatkan untuk membawa kelengkapan yang lengkap seperti air serta anda perlu bawa orang yang pakar dalam aktiviti ini. Agak berbahaya kalau anda suka-suka meredah hutan belantara ini. Kalau anda nak berkhemah boleh juga.
Menerokai Gua
Dah alang-alang meredah hutan tu, apa kata anda menerokai gua yang ada di sini. Anda boleh pergi ke salah satu gua yang ada iaitu Gua Bewah. Bila masuk ke sini anda mesti akan teruja kerana keindahan gua yang mengagumkan. Terdapat juga barang-barang Zaman Neolitik yang boleh dijumpai di sini seperti kapak dan perkakas lain. Dapatlah and abelajar serba-sedikit mengenai sejarah tempat ini.
Memancing
Di tasik ni ada banyak juga jenis ikan yang boleh anda pancing. Ikan besar ada, ikan kecil pun ada. Memang bergantung kepada nasib anda. Anda akan dapat ikan air tawar di sini. Oleh itu, jangan lupa untuk bawa joran anda. Kaki-kaki pancing mesti suka tempat ini. Banyak juga pertandingan memancing yang pernah dilakukan di sini. Sebagai peringatan, anda hanya boleh memancing di kawasan yang tertentu sahaja. Bukan boleh sesuka hati memancing di mana-mana.
Memerhati Burung
Bila datang ke kawasan berhutan seperti Tasik Kenyir ni, jangan lupa untuk bawa teropong sekali. Bolehlah anda memerhati burung-burung yang berwarna-warni di sini nanti. Anda rilek-rilek je sambil tengok kawasan sekeliling, nanti adalah tu burung terbang melimpasi teropong anda. Anak-anak kecil pasti akan lebih suka kerana dapat melihat burung-burung yang memang tak pernah nampak di tempat lain. Bolehlah memupuk semangat ingin tahu dalam diri anak-anak kecil.
Air Terjun
Kalau dah ada hutan tu, mestilah ada air terjun juga. Memang pun, di sini ada air terjun yang boleh anda jumpa dan bermandi-manda. Air Terjun Lasir merupakan air terjun yang paling popular dan digemari pengunjung di sini. Ini kerana, Air Terjun Lasir agak tinggi dan airnya juga bersih. Nak bergambar pun memang sangat cantik. Jangan lupa singgah bila ke Tasik Kenyir nanti.
Penginapan di Tasik Kenyir
Square Kenyir Houseboat
Di Tasik Kenyir ni, penginapan yang paling menarik dan lain dari lain ialah penginapan di atas rumah bot. Salah satu yang anda boleh tempah ialah Square Kenyir Houseboat. Bila menginap di sini, anda akan di bawa ke tengah-tengah tasik tau. Jadi, memang anda akan tidur terapung atas air lah. Terdapat 6 bilik keseluruhannya di dalam setiap rumah bot. Dalam bilik pula ada yang katil bertingkat dan katil queen. Sesuai sangat untuk anda yang datang dengan kumpulan besar untuk berseronok. Selain itu, di dalamnya ada juga pendingin hawa dan bilik mandi yang memang cukup untuk ramai orang. Antara fasilit yang anda boleh dapat ialah kelengkapan karaoke dan tempat bbq. Anda boleh tempah pakej yang mereka sediakan di pautan WhatsApp di bawah.
Whatsapp Square Kenyir HouseboatÂ
Kenyir Eco Resort
Kenyir Eco Resort merupakan sebuah penginapan yang turut berada di atas air. Bezanya dengan rumah bot, resort ini tidak bergerak-gerak dan hanya terapung di satu tempat sahaja. Menarik sangat peginapan macam ni. Mereka menyediakan kemudahan bilik beserta pendingin hawa untuk keselesaan penginapnya. Surun turut disediakan di sini bagi penlanggan beragama Islam. Kalau anda nak sewa set karaoke dan set bqq juga boleh. Dapatlah anda berseronok beramai-ramai dan menjadikan tempat ini sebagai destinasi percutian terbaik anda. Bagi anda yang nak datang dengan kumpulan besar, mereka juga ada menerima tempahan dan harga mengikut jumlah orang dan aktiviti yang ingin dilakukan.
Tempat Makan Terbaik di Tasik Kenyir
Antara yang best tempat makan di Tasik Kenyir adalah menunya yang istimewa dan jarang ditemui di tempat lain. Pernah makan Ikan Baung Masak Tempoyak? Atau Ikan Baung Masak Asam Pedas? Kalau nak tahu, ini lah antara lauk-pauk yang dicari-cari di Tasik Kenyir. Makan bersama nasi putih panas, disulami dengan ulam-ulaman tempatan, juadah istimewa Tasik Kenyir pasti menawan selera anda.
Kebanyakan kedai di sekitar Tasik Kenyir ditutup sebelum lewat malam jadi pastikan waktu makan dirancang dengan betul. Tapi kalau nak cari tempat makan yang boleh lepak sampai tengah malam, boleh lah ke Kuala Berang. Kira-kira 40 km atau 30 minit pemanduan, di sini terdapat kedai makan yang menjual pelbagai jenis menu termasuk lah makanan barat. Kambing bakar, ayam goreng rangup, kentang gorang, bebola daging dan banyak lagi boleh dipesan. Yang bestnya di sini hampir 100% pengusaha dan pekerja kedai makan adalah rakyat tempatan beragama Islam. Jadi memang dijamin halal.
Tempat Persinggahan Menarik di Tasik Kenyir
Sebenarnya banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di Tasik Kenyir. Jika datang bersama keluarga atau mempunyai anak kecil, datanglah berkunjung ke tempat-tempat persinggahan yang menarik di Tasik Kenyir.
Pusat Pemulihan Gajah
Perkampungan Konseversi Gajah Kenyir (KECV) terletak berhampiran Sungai Telemong, Tasik Kenyir. Seluas 256 hektar, pusat ini merupakan sebahagian hutan simpan yang dijadikan sebagai destinasi eko-pelancongan di Terengganu. Di sini anda dapat melihat kawanan gajah dengan lebih dekat dan berpeluang berinteraksi serta bergambar dengan gajah. Kalau di zoo setakat tengok gajah dari jauh, di sini boleh belai-belai dan bermain di dalam air lagi. Menarik kan? Terdapat satu jambatan gantung yang perlu direntasi untuk sampai ke menara tinjau, dan menonton pertunjukan gajah.
Sebagai pesanan, pastikan anda benar-benar cergas dan memakai pakaian yang sesuai kerana aktiviti di sini agak lasak dan perlukan stamina yang tinggi. KECV dibuka setiap hari dari Isnin hingga Ahad, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Harga tiket bermula dari RM 10 hingga RM 40 mengikut pakej lawatan.
Taman Tema Air Kenyir
Taman Tema Air Kenyir atau juga dikenali sebagai Kenyir Water Park telah mula beroperasi pada tahun 2015. Secara umum jenis permainan di taman tema air Kenyir boleh dibahagikan kepada 2 iaitu untuk kanak-kanak, dan untuk remaja dan dewasa. Yang sudah berkeluarga, boleh lah datang bawa anak-anak bermain. Kedalaman air adalah cetek, iaitu di bawah paras lutut orang dewasa. Tapi jangan ambil mudah, ibu bapa masih perlu pantau anak-anak. Untuk remaja dan dewasa pula, Taman Tema Air Kenyir menyediakan sukan air ekstrem seperti berkayak, menaiki bot pisang, pad luncur laju, atau mengemudi bot laju. Pakai baju yang sesuai dan bawa pakaian untuk salinan selepas bermain. Harga tiket untuk dewasa adalah RM20 manakala kanak-kanak dan warga emas adalah RM10.
Taman Tropika
Di Taman Tropika anda boleh datang berjalan-jalan sambil melihat pelbagai jenis pokok buah-buahan yang jarang ditemui. Jika terkena pada musim buah, pengujung boleh memetik buah-buah dengan tunjuk ajar staf di situ. Terdapat lebih 100 jenis buah-buahan yang ditanam di sini. Setiap jenis tanaman disediakan info ringkas sebagai maklumat tambahan kepada pengunjung. Jadi, elok benar bawa anak-anak sambil belajar pasal pokok, boleh juga merasai keenakan buah-buahan. Pastikan anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk berjalan di dalam kebun. Masa lawatan bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan tiket adalah percuma.
Taman Orkid
Untuk peminat pokok bunga khususnya Orkid, Taman Orkid Tasik Kenyir menyediakan pelbagai spesis orkid termasuk orkid liar dan orkid hibrid. Setiap pokok Orkid disediakan info ringkas mengenai nama dan asal-usul. Di sini pengunjung juga diajar cara penanaman dan penjagaan orkid dengan betul. Di sini ada dijual pokok-pokok orkid sebagai buah tangan untuk dijadikan kenangan atau hadiah kepada peminat bunga orkid. Masa lawatan bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan harga tiket adalah RM10.
Taman Rama-rama Tasik Kenyir
Untuk mereka yang membawa anak-anak kecil boleh lah bawa mereka meneroka Taman Rama-rama Tasik Kenyir. Untuk ke sini pengunjung perlu menaiki bot yang memakan masa 5 hingga 10 minit dan harga tiket adalah RM3 untuk setiap pengunjung. Bilangan rama-rama adalah mengikut musim. Jika bernasib baik dapat lah melihat ratusan rama-rama berterbangan. Tetapi jangan kecewa jika terkena pada musim tiada rama-rama kerana taman ini dipenuhi dengan 100 jenis bunga-bunga dan pokok-pokok renek. Replika-replika comel pun ada untuk pengunjung berswafoto merakam gambar kenang-kenangan.
Taman Burung Tasik Kenyir
Taman Burung Tasik Kenyir terletak di Pulau Terengganu Mati, kira-kira 7-10 minit dari Pengkalan Gawi. Di sini menempatkan lebih 150 spesis burung dengan 17 spesis daripadanya dibiarkan bebas berterbangan. Selebihnya dipelihara dalam persekitaran semula jadi dan dilindungi dengan jaring bagi mengekalkan spesis burung dalam habitat yang sesuai.
Taman Herba
Taman Herba Tasik Kenyir terletak di Pulau Sah Kecil dengan perjalanan bot dari Jeti Pengkalan Gawi memakan masa selama 10 minit. Di sini banyak spesis tanaman herba yang sering didengar tetapi tidak pernah dilihat. Antaranya Tongkat Ali, Mas Cotek, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Bakawali dan banyak lagi. Penerangan mengenai manfaat dan kegunaannya turut dijelaskan dalam nota kecil yang ditampal di setiap pokok. Sebaiknya pakai lah pakaian dan kasut sukan sebab Taman Herba Tasik Kenyir seluar 15 hektar. Jangan lupa bawa air minuman, jadi boleh lah berjalan santai sambil mempelajari spesis tanaman herba yang ada di muka bumi Malaysia.
Tempat Pelindungan Ikan Kelah
Pusat Pelindungan Ikan Kelah atau Santuari Kelah menerima kunjungan orang ramai sejak 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan Kelah. Di sini pengunjung berpeluang untuk bermain dan bermanja dengan ikan Kelah yang terkenal sebagai ‘raja ikan air tawar’. Santuari Kelah dibuka sepanjang tahun kecuali pada musim tengkujuh iaitu November hingga Februari. Jumlah maksima pengunjung yang dibenarkan pada satu hari adalah 100 orang sahaja. Keutamaan diberi kepada 80 pengunjung yang buat tempahan awal dan waktu lawatan bermula 9.00 pagi hingga 12 tengah hari sahaja setiap hari. Jadi elok lah buat tempahan awal kalau tidak mahu kecewa. Harga tiket untuk dewasa adalah RM15 dan kanak-kanak adalah RM8 seorang.
Maklumat Tambahan
Lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Tasik Kenyir boleh dibuat secara pakej sebab untuk ke setiap tempat ini anda perlu menaiki bot. Kalau ada bajet lebih boleh lah pergi ke semua tempat. Tapi kalau bajet pun cukup makan, elok lah buat perancangan terlebih dahulu.
Peta Lokasi
Tasik Kenyir terletak kira-kira 62 km dari Kuala Terengganu. Jika memandu mungkin mengambil masa kira-kira 1 jam setengah. Dari Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa 7-8 jam jadi pastikan bawa barang keperluan secukupnya agar perjalanan percutian anda selesa dan selamat. Walaupun jauh dan memakan masa yang panjang, tapi sekali-sekala bercuti jauh memang berbaloi.