Isi Kandungan
Teluk Intan ialah pusat pentadbiran dan bandar terbesar di daerah Hilir Perak. Ianya terletak di selatan negeri Perak dan dilingkungi oleh aliran Sungai Perak dan Sungai Bidor. Bandar ini ialah bandar yang terbesar di selatan Perak berbanding dengan Kampar, Tapah, Hutan Melintang dan Bagan Datuk.
Di Teluk Intan terdapat stesen bas yang dikenali sebagai Terminal Intan. Terminal ini dikatakan berdekatan dengan pusat bandar dengan jarak 1 km sahaja. Ia memainkan peranan utama sebagai tempat turun dan naik untuk semua perjalanan di bandar ini dan juga dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Butterworth dan negeri-negeri lain.
Selain itu, terdapat juga beberapa kemudahan di stesen bas Teluk Intan seperti kedai kecil yang menjual makanan ringan dan minuman, kaunter tiket, ruang solat, tandas, bilik mandi dan ruang menunggu yang selesa. Ia juga berdekatan dengan bank, pejabat pos, kedai dobi dan kedai makan. Oleh itu, mudah untuk para pelancong berjalan kaki sahaja menuju ke kedai-kedai tersebut.
Alamat: Jalan Ah Cheong, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia
Waktu operasi: Isnin – Ahad (24 jam)
Syarikat Bas dan Laluan Bas yang Popular di Stesen Bas Sungai Petani
1. Transnasional
Antara syarikat bas yang beroperasi di Teluk Intan ialah Transnasional. Syarikat bas ini adalah peneraju dalam industri bas ekspres dan juga merupakan salah satu syarikat bas yang paling terkenal di Malaysia dan Singapura.
Transnasional memberi perkhidmatan kepada lebih daripada 200 destinasi dan meliputi semua bandar utama dengan 1,000 pelepasan setiap hari di seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura. Jadi, pelawat, pelancong, penumpang tempatan boleh merancang perjalanan pada bila-bila masa dengan Transnasional.
Laluan Bas:
- Dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur
2. Arwana Express
Arwana Express ialah syarikat bas terkemuka yang mengkhususkan perkhidmatan bas antara Hilir Perak dan Selatan Malaysia Johor. Antara servis bas mereka yang popular adalah dari Lumut ke Johor Bahru, Manjung ke Johor Bahru, Lumut ke Batu Pahat, Manjung ke Batu Pahat, Lumut ke Muar and Manjung ke Muar.
Arwana Express telah muncul sebagai pilihan pertama penduduk tempatan untuk mengembara antara dua bandar ini. Hal ini kerana terdapat syarikat bas yang terhad yang menawarkan laluan-laluan bas ini dan menguruskan servis bas yang bagus.
Laluan Bas:
- Dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur
3. LA Holiday
LA Holidays ialah syarikat bas ekspres serba baharu dengan ibu pejabat yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Syarikat bas ini melabur dalam armada koc baharu di bawah jenama sendiri yang disertakan dengan perkhidmatan wi-fi dan soket kuasa di setiap tempat duduk.
Soket kuasa dapat memastikan para penumpang mempunyai akses kepada bekalan kuasa pada setiap masa. Ini amat sesuai buat pengembara bisnes yang memerlukan pengecasan kuasa berterusan ke telefon bimbit dan komputer riba mereka.
Laluan Bas:
- Dari Teluk Intan ke Bandar Tasik Selatan
- Dari Teluk Intan ke TBS (Terminal Bersepadu Selatan)
- Dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur
5 Tempat Tarikan Pelancong Yang Berhampiran dengan Stesen Bas Teluk Intan
1. Menara Condong Teluk Intan, Jalan Bandar
Sebut sahaja Teluk Intan pasti ramai yang tahu tentang Menara Condong ini. Menara Condong di Teluk Intan merupakan tempat yang paling hampir dengan stesen bas Terminal Intan, hanya 5 minit perjalanan dengan kereta dari Terminal Intan ke Menara Condong. Sangat dekat!
Menara Condong Teluk Intan dibina pada tahun 1892 oleh arkitek Cina En. Leong Choon Cheong. Ia memiliki ketinggian setinggi 85 kaki dan terdapat 110 buah anak tangga. Jika dilihat dari luar, ia kelihatan seperti mempunyai 8 tingkat tetapi sebenarnya, ia hanya mempunyai 3 tingkat sahaja.
Dahulu, menara ini berfungsi sebagai tangki air untuk penduduk sekitar Teluk Intan. Namun, ia menjadi condong sedikit demi sedikit akibat tampungan beban tangki air dan kerana asas tanahnya yang lembut. Biarpun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh.
Kini, jam yang terdapat di menara tersebut masih berfungsi dan akan berbunyi setiap 15 minit. Kawasan sekitar menara telah diturap dengan bata dan dijadikan sebagai plaza untuk pelbagai aktiviti di sama ada rasmi atau tidak rasmi. Menara ini elah dinamakan sebagai nama beliau sempena sumbangannya membina menara itu.
Jadi, sekiranya anda telah tiba di stesen bas Teluk Intan, tempat pertama yang anda mesti kunjungi adalah Menara Condong kerana ia sangat dekat. Anda boleh bersua foto di Menara Condong sebagai kenangan percutian anda.
Alamat: Lot 1&2, Kompleks Menara Condong, Jalan Bandar, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia
Waktu operasi: Isnin – Jumaat (8.00 am – 5.00 pm) & Sabtu – Ahad (9.00 am – 6.00 pm)
Lokasi | Laman Web | Ulasan Pelanggan
2. River Cruise Teluk Intan, Jalan Wah Keng Jooi
Lokasi seterusnya yang berdekatan dengan Terminal Intan ialah River Cruise Teluk Intan. Cruise ini akan membawa pelancong menyelusuri Sungai Perak di sepanjang Teluk Intan bagi melihat keindahan panorama alam semula jadi serta artifak yang terdapat di dalam sungai yang penuh dengan sejarah serta aktiviti sosial ekonomi setempat.
Sekiranya anda datang ke sini, anda boleh menaiki cruise ke Pulau Bangau. Penduduk tempatan menamakan pulau ini sebagai Pulau Bangau kerana populasi burung bangau yang banyak. Dikatakan, terdapat 50,000 ekor burung pelbagai spesies seperti helang, enggang, purple herald dan banyak lagi. Dengan menaiki cruise, anda boleh menyaksikan pemandangan kawanan ribuan burung terbang pulang ke sarang tatkala senja menjengah sebelum hinggap pada pucuk ranting.
River cruise sungai Teluk Intan ini mengambil masa antara 45 minit hingga 90 minit untuk satu sesi tempahan dengan kadar tambang serendah RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 dewasa mengikut pakej yang disediakan. Bukan itu sahaja, pakej memancing serendah RM5 per jam seorang juga ada. Sangat sesuai buat “kaki pancing”, anda boleh sewa peralatan joran dan juga umpan di sini.
Alamat: Jalan Wah Keng Jooi, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia
Waktu operasi: Isnin – Jumaat (10.00 am – 6.00 pm) – Untuk tempahan sahaja
Sabtu – Ahad (8.30 am – 8.30 pm)
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelanggan
WhatsApp River Cruise Teluk Intan
3. Restoran Udang Galah Teluk Intan, Jalan Sekolah
Salah satu destinasi yang wajib anda singgah bila tiba di Teluk Intan ialah Restoran Udang Galah. Sebut sahaja restoran ini pasti ramai yang tahu. Restoran ini menjual pelbagai hidangan udang galah yang menyelerakan. Udang galah di sini juga mempunyai saiz dan gred yang besar dan segar.
Ramai pengunjung yang datang ke restoran ini untuk menikmati hidangan udang galah yang enak. Harga sepinggan untuk hidangan udang galah juga berpatutan. 9 ekor udang galah yang bersaiz normal dan segar hanya RM26 sepinggan. Memang berbaloi! Bukan itu sahaja, terdapat juga pelbagai jenis lauk-pauk masakan kampung yang menyelerakan. Jadi, anda mesti datang dan cuba hidangan udang galah di sini!
Alamat: 1918, Jalan Sekolah, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia
Waktu operasi: Isnin – Sabtu (7.00 am – 6.00 pm) & Ahad (Tutup)
Lokasi | Facebook | Ulasan Pelanggan
4. Ladang Moccis Teluk Intan, Jalan Changkat Jong
Ladang Moccis di Bukit Changkat Jong, Teluk Intan merupakan satu tempat yang mesti anda kunjungi. Ia sangat sesuai untuk pengunjung menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga ataupun rakan-rakan.
Di sini, anda dapat melakukan bermacam-macam aktiviti air seperti berkayak, memancing, berbasikal dan berjalan-jalan di sekitar tasik. Untuk aktiviti berkayak dan berbasikal, anda perlu menyewa peralatan dengan penyelia yang bertugas sebelum melakukan aktiviti tersebut.
Seterusnya, terdapat sebuah zoo mini yang dihuni oleh beberapa haiwan ternakan arnab, ayam, monyet, burung, kucing, rusa, kambing dan kura-kura. Semua haiwan di sini diletakkan di dalam sangkar agar tidak mengganggu pengunjung yang datang melawat ke ladang ini. Jika anda ingin bermalam, anda boleh sewa homestay yang ada di ladang Moccis.
Alamat: KM 14, Jalan Changkat Jong, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia
Waktu operasi: Isnin – Ahad (9.00am – 6.30pm)
Lokasi | Laman Web | Ulasan Pelanggan | Telefon: 05-6211122
5. Batu Bertenggek, Pekan Teluk Intan
Selain Menara Condong, di Teluk Intan juga terdapat sebuah tugu peringatan Perang Dunia Pertama yang diletakkan oleh tentera British semasa era pemerintahan mereka. Dengan saiz hampir 4 persegi, batu besar itu terletak berhadapan dengan Kompleks SKOMK, yang berdekatan pejabat Cawangan Tabung Haji Teluk Intan di Jalan Mahkamah.
Ia diletakkan di atas sebuah platform batu yang terpahat ukiran seperti “1914-1918” berserta sebuah puisi ditulis oleh seorang penyair dan penulis berbangsa Inggeris bernama Laurence Binyon. Puisi tersebut yang bertajuk “For the Fallen” mempunyai serangkap kata-kata “At the going down of the sun and in the morning. We will remember them.”
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, ukiran “1939 – 1945” pula ditambah di bahagian bawah syair tersebut. Namun akibat terdedah kepada panas dan hujan, ukiran tersebut semakin lama semakin pudar dan kini sangat sukar untuk dilihat.
Menurut cerita lisan dari penduduk asal di Teluk Intan, mereka menyatakan bahawa batu tersebut asalnya hanya sebesar kotak mancis sahaja ditinggalkan di situ oleh tentera British. Namun lama kelamaan ianya semakin membesar sehingga ke bentuk hari ini dan akan terus membesar.
Namun, tidak ada sumber sahih yang ada untuk dijadikan rujukan selain dari cerita dari orang-orang lama. Jadi, anda boleh singgah ke Batu Bertenggek untuk melihat sendiri batu tersebut dan bergambar sebagai kenangan melawat Teluk Intan.
Alamat: Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia
Waktu operasi: Isnin – Ahad (24 jam)
Lokasi | Laman Web | Ulasan Pelanggan | Telefon: 05-6221299
Jelaslah, banyak tempat tarikan pelancong yang menarik berhampiran dengan Stesen Bas Teluk Intan kan! Kami berharap agar artikel ini dapat membantu anda dari segi masa, bajet dan lokasi yang mesti anda kunjungi sekiranya anda ingin melancong ke sana.
Walaupun kami telah senaraikan 5, terdapat masih banyak tempat yang anda boleh lawati dan kunjungi di sekitar stesen bas Teluk Intan. Anda boleh rujuk artikel 7 Tempat Menarik Di Teluk Intan – Untuk Seisi KELUARGA untuk ketahui lebih lanjut. Tunggu apa lagi, jom ke Teluk Intan!