Isi Kandungan
Selam skuba atau lebih dikenali dengan panggilan “diving” adalah aktiviti bawah air yang dilakukan oleh penyelam dengan bantuan set peralatan khusus yang lengkap untuk membekalkan bekalan udara agar penyelam mampu bertahan di dalam air pada paras dan kedalaman yang tertentu.
Banyak manfaat yang boleh anda perolehi dari aktiviti selam skuba antaranya seperti dapat meningkatkan stamina, memulihkan kecederaan, melegakan stress, meningkatkan aliran darah, dan menambahbaik sistem pernafasan. Di Malaysia Timur sendiri terdapat pelbagai lokasi menyelam terbaik, kebanyakannya terletak di Sabah.Â
1. Pulau Sipadan, Sabah
Lokasi menyelam terbaik di Sabah dan di dunia yang menjadi kegilaan penyelam adalah Pulau Sipadan. Satu-satunya pulau lautan di Malaysia (ocenic island) yang berhampiran dengan Semporna mempunyai keluasan seluas 40 ekar, berketinggian 600 meter dari dasar laut, dan berkedudukan 36 kilometer di selatan pelabuhan Malaysia dari Semporna di Laut Sulawesi. Malah keajaibannya juga tersenarai di antara 77 bentuk muka bumi terbaik dunia pada akhir tahun 2009. Di dasar lautnya terdapat pelbagai jenis spesis ikan, barracuda, terumbu karang, penyu, dan bermacam lagi hidupan akuatik yang lain.Â
Daya tarikan yang istimewa di Pulau Sipadan meliputi beberapa lokasi seperti Barracuda Point, Turtle Cavern (Gua Penyu), Coral Gardens Drop Off (terletak berhampiran jeti utama Pulau Sipadan), North Point, West Ridge, Hanging Garden (Taman-Taman Tergantung), Lobster Lair, Staghorn Crest, South Point, Turtle Patc, Mid Reef (Batu Karang Tengah), Whitetip Avenue, dan Coral Gardens. Namun, peraturan untuk pengunjung yang mahu menyelam di sini, dihadkan sekitar 120 orang penyelam sahaja untuk sehari. Hal ini bagi menjaga ekosistem, kebersihan, dan keindahan alam semula jadi dasar laut di pulau tersebut. Bukan itu sahaja, malah pengunjung juga harus beredar dari Pulau Sipadan sebelun pukul 6 petang untuk mengelakkan sebarang kerosakan berlaku sama ada dari segi kebersihan dan kemudahan di sekitar pulau mahupun keselamatan hidupan marin itu sendiri.Â
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 08 8257669
2. Pulau Layang-Layang, Sabah
Pulau Layang-Layang yang pernah menjadi rebutan empat buah negara iaitu China, Filipina, Vietnam, dan Taiwan ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Ciri-ciri geografinya yang menakjubkan telah menjadi salah satu faktor ramai yang ingin memilikinya dan bahkan ramai juga yang ingin menjejakkan kaki di atas pasirnya yang halus. Ia berketinggian 2000 meter dari dasar laut, berukuran sepanjang 1.2 kilometer, dan selebar 200 meter.
Ekosistem laut Pulau Layang-Layang diserikan dengan keindahan ekologi laut khususnya terumbu karang. Bayangkan pelancong asing dari Jepun, Perancis, Korea Selatan, dan China yang jauh beribu batu sanggup untuk datang ke sini semata-mata mahu merakamkan memori indah bersama spesis terumbu karang yang ada. Bukan sahaja destinasi yang paling sesuai untuk hidupan akuatik, malah jika anda datang nanti jangan terkejut pula melihat ribuan ekor burung di sekeliling anda. Pulau Layang-Layang telah menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai ribuan spesis burung yang bermigrasi dari seluruh pelusuk dunia.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +6018 2202838
3. Pulau Mabul, Sabah
Siapa yang tidak suka dengan pemandangan pokok kelapa dan kampung-kampung air seperti Kampung Mabul dan Kampung Musu di Pulau Mabul? Ditambah dengan air lautnya yang biru jernih, anda pasti boleh melihat apa yang ada di dalam lautnya hanya dari atas. Pulau Mabul berkeluasan 21 hektar, sangat berhampiran dengan Pulau Sipadan, terletak di perairan Laut Sulawesi, dan berkedalaman 40 meter memang sangat sesuai sebagai destinasi selam skuba di Malaysia. Ia juga merupakan tempat tinggal kepada dua etnik pribumi negeri Sabah iaitu Bajau Laut, dan Suluk Laut kerana itu anda boleh melihat cara penangkapan ikan di sini agak berbeza. Hal ini disebabkan mereka menggunakan cara tradisional seperti Payau dan Sangkaliya.Â
Setiap penyelam yang telah merasai menyelam di Pulau Mabul pasti akan pulang dengan senyuman lebar kerana sangat puas. Anda boleh bertemu dengan pelbagai hidupan semulajadi dan akuatik seperti kuda laut, ikan gobi, belut ular, ikan hantu, ikan baji-baji, dan juga tapak sulaiman. Walaupun kedudukannya sangat berdekatan dengan Pulau Sipadan, tetapi percayalah pengalaman yang bakal anda rasai di sini amat berbeza sekali kerana Pulau Mabul mempunyai ikan-ikan besar, dinding karang yang menegak, dan lapan lokasi menyelam yang unik serta mencabar. Jadi tidak hairanlah ia dikenali sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia.Â
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan GoogleÂ
4. Pulau Kapalai, Sabah
Pulau Kapalai terletak di daerah Semporna dan memiliki iklim tropika dengan suhu 29 hingga 30 darjah celsius sepanjang tahun. Jika anda suka melihat gambar panorama pulau di Sabah, anda pasti perasan dengan gambar pulau di atas resort yang sangat indah. Sebenarnya itulah Pulau Kapalai atau lebih dikenali sebagai scuba resort. Celebes Sea of Semporna ini mempunyai kira-kira 40 chalet yang dibina menggunakan kayu dan terletak di tengah lautan. Chalet-chalet dibina dan dihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan kayu yang kukuh. Pengunjung yang berjalan di atas jambatan juga berpeluang melihat banyak hidupan laut yang berenang-renang.
Jika dari atas, anda sudah dapat melihat keindahan dari bawah seperti itu apatah lagi jika anda turun ke dasar laut sendiri. Inilah yang menyebabkan penyelam Pulau Kapalai gian hendak datang berkali-kali untuk melakukan aktiviti scuba diving.
Lokasi | Laman Web | Email | Phone:+60 88 212121
5. Pulau Lankayan, Sabah
Permata kecil di Laut Sulu yang mampu memukau pandangan dan fikiran anda adalah Pulau Lankayan di Sandakan. Kawasan Perlindungan Marin yang menjadi salah satu dari destinasi eko-pelancongan ini dikelilingi dengan pantai berpasir putih, dan 23 chalet utama di pinggir laut. Jika anda masih tercari-cari tempat untuk menenangkan fikiran, Pulau Lankayan mampu menjadi destinasi paling awesome untuk mereka yang mahu mencari ketenangan sambil menyelam di checkpoint yang cantik.
Dasar lautnya kaya dengan hidupan marin seperti ketam labah-labah, udang terumbu karang, ikan paip hantu, ikan gitar, kerang gergasi, barakuda ekor kuning dan pelbagai lagi spesis unik yang ada di dunia. Penyelam sejati pasti sudah faham dengan “hot spot” dan “time spot” yang ada di Pulau Lankayan. Jika anda benar-benar merancangnya dengan baik, anda boleh melihat kehadiran ikan paus bersiar-siar di sekitar pulau. Pada bulan Mac hingga Mei pula, whale shark boleh dilihat disini, ia adalah ‘dream date’ bagi mereka yang suka menyelam.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 89 673999
6. Pulau Mataking, Sabah
Siapa yang tidak mahu melancong ke Pulau Maldives? Pasti jika diberikan kesempatan, anda tidak akan sesekali melepaskan peluang itu. Tetapi pada waktu sekarang ini, sektor pelancongan luar negara bukanlah pilihan yang tepat demi menjaga keselematan dan kesihatan diri semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia. Namun anda jangan kecewa, untuk pengetahuan anda Pulau Mataking sebenarnya digelar sebagai Pulau Maldives Malaysia dan ini adalah lokasi menyelam terbaik di Sabah.Â
Pulau Mataking terletak di daerah Semporna, lebih kurang 45 minit perjalanan menaiki bot dari bandar Semporna dan mempunyai keluasan kawasan kira-kira 40 ekar. Ada pelbagai jenis hidupan akuatik yang boleh anda lihat antaranya seperti terumbu karang, ikan yu paus dan bermacam. Aktiviti menyelam memang aktiviti wajib yang selalu dilakukan di sini tetapi selain itu anda juga boleh melakukan aktiviti lain seperti berenang, berkayak, melukis batik, spa dan meredah hutan (jungle trekking).
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 89 770022
7. Tunku Abdul Rahman Park, Sabah
Selain pulau, taman negara pun sesuai ke untuk aktiviti menyelam scuba di Malaysia? Sudah tentu boleh, jika anda ke Taman Negara Tunku Abdul Rahman (TARP) yang terletak di Gaya Bay dan berkedudukan sejauh 3 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. Taman negeri ini berkeluasan 50 kilometer persegi dan mempunyai lima buah pulau dibawahnya iaitu Pulau Gaya (besar), Manukan (ikan), Mamutik (untuk koleksi cengkerang), Sapi (bunyi kerbau memotong), dan Sulug (memperingati keturunan orang Sulu Sabah). Tujuan asal didirikan taman negeri tersebut untuk melindungi ekologi, flora, dan ekosistem marin yang ada di Sabah. Khazanah itu mahal ia tidak mampu dibeli dengan wang atau emas, oleh sebab itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya.Â
Secara kesuluruhannya, TARP menawarkan lebih 25 lokasi menarik untuk aktiviti menyelam skuba. Anda mesti cuba dan anda pasti tidak akan rugi dengan memori serta pengalaman ini.Â
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 254201
8. Bohey Dulang, Sabah
Pulau Bohey Dulang merupakan salah satu daripada lapan pulau yang terdapat di Taman Marin Tun Sakaran. Antara destinasi skuba di Malaysia yang bakal membuat mulut anda ternganga adalah di sini. Mengapa? Pulau Bohey Dulang mempunyai puncak bukit setinggi 300 meter yang mana ia terbentuk dari batuan volkanik yang meliputi kawasan seluas 313 hektar. Hanya berdiri dari atas, anda boleh menikmati pemandangan sangat indah keseluruhan laut membiru dan tumbuhan menghijau mekar.
Tarikan paling unik dari destinasi lain yang ada di sini adalah tujuh jenis kerang gergasi yang terdapat di sekitar perairan kepulauan Sabah. Cantiknya sungguh tidak terkata tetapi cukup dengan kehadiran ramai pelancong yang datang sudah menunjukkan yang destinasi ini telah dikenali di seluruh dunia.Â
Lokasi | Laman Web | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 212121
9. Pulau Mantanani, Sabah
Pulau paling “rare” dan tersorok dari tatapan umum itulah Pulau Mantanani. Namanya seperti nama orang kan. Pulau Mantanani terletak di Kota Belud, yang mana ia agak jauh dari bandar Kota Kinabalu atau lebih kurang tiga hingga empat jam masa perjalanan jika anda menaiki kereta atau bot. Apa yang pasti, destinasi “rare” ini selalu menjadi lokasi wajib bagi aktiviti selam skuba di Malaysia. Pengalaman mereka yang sudah menyelam di Pulau Mantanani mengatakan mereka seperti menyelam ke dunia baru.Â
Menyelam sambil ditemani pasangan itu biasa. Menyelam sambil ditemani sekumpulan ikan warna-warni pun biasa juga. Tetapi pernah atau tidak anda terbayang menyelam bersama Dugong “Nicky” di Pulau Mantanani? Dugong jantan ini adalah kira-kira 7 kaki panjang dan mendapat namanya daripada luka kecil (‘nick’ dalam English) pada ekor sebelah kirinya. Tetapi anda boleh lihat sahaja jangan cuba-cuba mendekatinya. Lokasi selam lain yang sangat menarik perhatian untuk anda cuba adalah seperti Usukan Wreck, Usukan Bay Wreck, Upside Down Wreck, dan Rice Bowl Wreck. Masa yang sangat sesuai untuk datang ke Pulau Mantanani adalah sekitar bulan Januari sehingga Mei kerana dari bulan Jun hingga Disember, biasanya hujan lebat dan ribut petir akan turun.Â
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone:+60 08 830870
10. Pulau Tiga, Sabah
Anda pencinta alam semulajadi dan dalam masa yang sama suka aktiviti scuba diving? Pulau Tiga atau “Pulau Survivor” adalah destinasi yang menyajikan aktiviti selam scuba di Malaysia dan keindahan alam semula jadi yang memukau.Â
Sampai sahaja di Pulau Tiga, mata anda sudah terhidang dengan pemandangan hutan hijau yang subur, serta pasir pantai yang putih jernih. Apatah lagi jika anda turun ke bawah dengan menyelam ke dasarnya. Terumbu karang di sekeliling pulau menjadi rumah bagi banyak spesies ikan dan hidupan marin lain, sekali gus menjadikan aktiviti menyelam sesuatu yang cukup mengujakan.
Lokasi | Laman Web | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 523500
Kadang kala kita merasakan yang jauh itu lebih baik daripada yang dekat. Dalam fikiran anda pasti sudah terbayang Pulau Maldives, Tubbataha Reef, Kepulauan Similan, dan Kepulauan Mergui. Rehat sekejap dan alihkan tatapan mata anda dengan apa yang ada di dalam Malaysia. Sungguh anda tidak akan rugi sama sekali, kerana Malaysia sangat indah dengan destinasi eko-pelancongannya.