Isi Kandungan
Malaysia Timur (terdiri daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) adalah sebahagian daripada Malaysia dan terletak di Kepulauan Borneo. Malaysia Timur mempunyai kurang penduduk dan kurang aktiviti perindustrian, tetapi tanahnya lebih luas dan mempunyai lebih banyak kecantikan sumber semula jadi seperti pulau-pulau yang menarik untuk dilawati.
Oleh itu, dipaparkan 10 buah pulau menarik yang sangat cantik untuk dikunjungi serta sangat sesuai untuk aktiviti snorkeling anda di Malaysia Timur. Di dalam ruangan ini, kami bawakan enam buah pulau yang terletak di Sabah dan empat buah pulau lagi terdampar di Sarawak yang bakal menanti kedatangan anda.
Apa tunggu lagi, jom snorkeling!
1. Pulau Manukan, Sabah
Pulau ini sangat ideal untuk aktiviti menyelam atau snorkeling dan juga bersantai-santai kerana suasananya yang begitu tenang dan cantik. Mulakan aktiviti snorkeling Sabah anda di Pulau Manukan kerana pulau ini adalah pulau terbesar dan juga antara pulau Sabah yang cantik terletak di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang telah diwartakan sebagai kawasan lindungan spesis marin.
Menjelajah ke Pulau Manukan sangat menyeronokkan kerana pantai dengan pasir memutih merupakan lokasi ideal untuk snorkeling. Anda akan dapat menikmati keindahan karangan laut yang terdapat di dasarnya dan pelbagai spesis marin yang cantik serta pelbagai rupa.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 212121
2. Pulau Sapi, Sabah
Pulau Sapi adalah pulau bersaiz kecil yang mengambil masa kira-kira 10 minit dari Pulau Manukan. Airnya juga biru dan jernih, membolehkan anda melakukan pelbagai sukan air di sini. Antaranya adalah parasailing dan snorkeling.
Apakah itu parasailing?
Parasailing sangat menyeronokkan di mana anda dapat merasai keadaan berlepas naik ke udara dari aras laut dengan menggunakan payung terjun. Manakala payung terjun itu pula akan ditarik dengan sebuah bot.
Paling menyeronokkan ketika mencapai ketinggian yang dikehendaki iaitu selalunya beberapa ratus kaki di atas air di tengah-tengah lautan. Pengalaman ini sungguh mengujakan kerana anda berpeluang menyaksikan pemandangan lautan yang mengasyikkan dari atas payung terjun yang bergerak di udara. Bayangkan melihat air laut yang membiru kehijauan seluas mata memandang. Sungguh menakjubkan!
Apabila semakin menghampiri ke penamat, anda akan mula mendarat. Ada parasailer yang ingin mencecahkan kaki mereka ke dalam air sebelum mendarat di atas bot. Ada juga parasailer yang tidak mahu langsung basah terkena air laut. Anda bebas menentukan pilihan anda dan memaklumkan kepada kapten bot parasailing itu. Seperti berlepas, proses mendarat juga sepatutnya akan lancar dan selamat untuk semua. Menarik kan? Kenalah rasai sendiri pengalaman ini!
Manakala aktiviti snorkeling sangat sesuai dijalankan di sini kerana kepelbagaian terumbu karang dan air lautnya yang jernih. Di tambah pula dengan landskap geografi yang unik dan cantik menjadikan Pulau Sapi sebagai destinasi best untuk snorkeling Sabah.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 212121
3. Pulau Mabul, Sabah
Habiskan masa seharian anda dengan snorkeling di pulau Sabah yang cantik iaitu Pulau Mabul di mana anda boleh menemukan hidupan air yang paling kecil dan unik. Anda boleh sampai ke Pulau Mabul dengan menaiki bot dari Semporna. Antara lokasi yang menjadi tarikan penyelam mahupun snorkeler termasuklah di Eel Garden, Ribbon Valley, Stingray City, Lobster Wall dan Panglima. Terumbu karang yang berwarna warni, barracuda, spesis belut, penyu, sotong, ikan pari dan ikan-ikan yang biasa terdapat di kawasan terumbu karang juga berenang-renang di sini. Jikalau bernasib baik, mungkin dapat melihat jerung paus juga.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 212121
4. Pulau Sipadan, Sabah
Tempat menarik seterusnya adalah Pulau Sipadan. Destinasi ini, tidak perlu diperkenalkan lagi. Pulau Sipadan sangat indah dan unik kerana ia adalah satu-satunya pulau samudera lengkap dengan batu kapur setinggi 600 meter dari dasar laut. Menurut New 7 Wonders of Nature World Foundation, sebuah organisasi swasta telah mengkategorikan Pulau Sipadan sebagai lokasi termasuk di dalam 77 bentuk muka bumi ajaib dan terbaik di dunia.
Aktiviti lain yang boleh dibuat di pulau ini adalah menyelam skuba (scuba diving), melihat pemandangan hidupan laut seperti penyu, batu karang yang cantik, barracuda dan banyak lagi. Terdapat juga gua besar yang terbentuk dan turut diangkat sebagai tercantik di dunia boleh anda saksikan.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 212121
5. Pulau Lankayan, Sabah
Dikelilingi air laut yang jernih dan terumbu karang yang unik. Salah sebuah destinasi snorkeling dan percutian yang terkenal di Sabah. Difahamkan terdapat sehingga 14 lokasi menyelam, namun anda juga boleh snorkeling di sekitar Pulau Lankayan ini. Pokok pangkalnya, tidak kisahlah destinasi yang dicadangkan ini untuk menyelam scuba mahupun untuk snorkeling. Yang penting, anda enjoy!
Pelbagai spesis marin seperti kerapu gergasi dan belut kecil juga boleh ditemui di sini. Kadang-kadang jika bertuah akan dapat melihat kehadiran jerung paus di sini. Selalunya kehadiran spesis marin ini adalah di antara bulan Mac sehingga bulan Mei. Dan tambah menarik, lokasi ini adalah habitat yang sesuai untuk penyu mendarat. Jadi macam-macam boleh dilihat di sini. Macam-macam ada!
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 238 113
6. Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah
Selari dengan namanya, kesemua tarikan yang terdapat di Taman Laut Tunku Abdul Rahman ini ada di dalam perut buminya. Jadi, datanglah ke mari dan rasainya sendiri!
Aktiviti snorkeling dan menyelam adalah aktiviti yang paling popular, di samping berjemur di pantainya. Selain itu, berkayak, meluncur air, bermain jek ski, berpiknik, barbeku termasuk sukan pantai seperti bola tampar pantai juga seronok untuk dilakukan. Manakala jika anda melawat Pulau Gaya iaitu pulau terbesar di dalam kawasan taman laut ini, anda juga boleh jungle trekking sejauh hampir 20 kilometer merentasi pulau berkenaan. Di sepanjang trek itu, anda mungkin akan bertemu pelbagai hidupan pulau yang unik termasuk babi hutan, monyet, biawak, burung enggang dan beberapa spesis ular.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +60 88 523 500
7. Pulau Satang, Sarawak
Pulau Satang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Satang Besar dan Satang Kecil. Aktiviti menyelam dan snorkeling Sarawak juga boleh dilakukan di Satang Besar kerana pelbagai spesis terumbu karang dan spesis marin boleh ditemui di sini. Bagi mereka yang menggemari aktiviti fotografi bawah air, banyak kehidupan air makro boleh dijumpai di sini.
Apakah itu fotografi bawah air?
Fotografi bawah air ialah proses mengambil foto semasa berada di dalam lautan. Selalunya ia dilakukan ketika menyelam scuba, tapi ia juga boleh dilakukan ketika berada di permukaan air laut, seperti snorkeling dan berenang. Foto bawah air boleh diambil menggunakan kamera khas yang direndahkan dari permukaan lautan.
Keunikan Pulau Satang yang lainnya termasuklah bersuhu antara 30 darjah celcius, dengan kedalaman lautan hingga 10 meter. Jarak penglihatan pula antara 5 – 10 meter. Tetapi ini semua bergantung kepada keadaan cuaca.
Spesis marin yang boleh dijumpai disini termasuklah Blue Ringed Anglefish, Grouper, Snapper, Mangrove Jack, Copper Banded Butterflyfish, Parrotfish, Pufferfish dan Nudibranch.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +6082 423600
8. Taman Negara Talang-Satang, Sarawak
Keunikan Taman Negara Talang-Satang adalah ianya terkenal sebagai lokasi pemuliharaan penyu bagi negeri Sarawak. Berkeluasan 19,414 hektar dan telah diwartakan pada tahun 1999, sangat penting untuk program konservasi penyu di Malaysia Timur dan Kepulauan Borneo. Terdiri daripada Pulau Talang-Talang Besar dan Pulau Talang-Talang kecil (terletak di Sematan) dan Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil (terletak di Santubong).
Kesemua lokasi ini di kelilingi terumbu karang di perairan cetek yang sangat sesuai sebagai kawasan pemuliharaan penyu. Penyu-penyu juga mendarat di pantai untuk bertelur. Oleh itu, tiga pulau di taman laut ini – Talang-Talang Besar, Talang-Talang Kecil dan Satang Besar – sangat popular dan terkenal sebagai ‘Pulau Penyu’.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: (+6) 082 248088
9. Bangkai Kapal Perang di Kuching, Sarawak
Biasanya lokasi ini menjadi tumpuan para penyelam scuba untuk melihat keindahan dasar lautannya. Ini kerana di lokasi ini tersimpan pelbagai sisa tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua. Terdapat beberapa bangkai kapal perang Jepun yang telah tenggelam di sini. Oleh itu, para penyelam tidak akan melepaskan peluang untuk melihat sendiri Katori Maru, Hiyoshi Maru dan Sagiri yang telah tenggelam itu.
Jikalau anda hendak melakukan snorkeling Sarawak di kawasan yang dinyatakan ini pun boleh. Tiada masalah. Cuma pengalamannya kurang menyengat. Namun yang pasti, anda telah berjaya sampai ke destinasi-destinasi bersejarah ini. Bagus tak? Yang penting, anda enjoy!
Laman Web | Facebook | Email | Phone: +6082 423600
10. Taman Negara Terumbu Karang Miri – Sibuti, Sarawak
Taman negara ini sangat terkenal dengan terumbu karang yang masih tidak terusik. Taman Negara Terumbu Karang Miri – Sibuti tentunya akan menggamit kedatangan para snorkeler kerana anda boleh melihat kecantikan terumbu karang hanya pada kedalaman 7– 30 meter dan dengan jarak penglihatan antara 10 – 30 meter.
Banyak lokasi yang boleh diterokai di sini termasuklah Eve’s Garden, Anemone Garden, Belais Reef, Tukau Drop-Off, Santak Point dan banyak lagi. Di kesemua lokasi ini, anda boleh memilih untuk snorkeling mahupun menyelam. Disarankan untuk datang kesini pada penghujung bulan Mac sehinggalah ke bulan November setiap tahun. Ini kerana suhu air lautnya sangat nyaman antara 29 – 30 darjah celcius. Kepelbagaian dan keunikan terumbu karang dan hidupan marin yang terdapat di sini diakui antara yang terbaik di rantau ini.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Google | Email | Phone: +6082 423600
Bagi pengunjung yang mencari destinasi percutian menarik untuk melakukan aktiviti snorkeling, pulau-pulau di Sabah dan Sarawak yang disenaraikan di atas ini, sangat sesuai untuk anda kunjungi sepanjang tahun. Banyak hotel, resort dan chalet dibina di kawasan berkenaan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung. Anda boleh memilih yang mana satu kesukaan di hati. Samada bercuti bersama keluarga, berbulan madu atau bersama kawan-kawan, pulau-pulau ini pasti tidak akan mengecewakan.