Isi Kandungan
Pada 30 Mac 2018 hingga 1 April 2018, seramai 40 orang mahasiswa terdiri daripada jurusan pelancongan dari Universiti Malaysia Kelantan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan, dan Kesejahteraan telah berkunjung ke Tasik Kenyir, Terengganu bersama dua orang pensyarah. Ini merupakan lawatan di bawah subjek Pengurusan Senggang Rekreasi serta subjek Ekopelancongan.
Untuk penginapan di Tasik Kenyir, terdapat beberapa pilihan yang disediakan kepada pengunjung seperti bermalam di houseboat, berkhemah di sekitar Tasik Kenyir, dan menginap di resort. Kami telah memilih untuk melawat Tasik Kenyir dengan menaiki houseboat. Di Tasik Kenyir terdapat lebih kurang 65 buah houseboat. Arowana Kenyir Houseboat merupakan pilihan kami pada kali ini.
Pengalaman Menaiki Houseboat di Kenyir
Meronda dan mengelilingi Tasik Kenyir dengan menaiki houseboat adalah satu pengalaman yang baru dan menakjubkan buat kami. Selain dapat meluangkan masa berkualiti bersama secara berkumpulan, alternatif menginap di houseboat juga membolehkan kami menghayati keindahan Tasik Kenyir di sepanjang perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pengalaman menaiki houseboat sambil menikmati keindahan flora fauna di sini sungguh mengulit kami dengan satu keasyikan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Houseboat ini amat sesuai untuk sesiapa yang ingin membuat lawatan secara berkumpulan kerana setiap houseboat boleh memuatkan maksimum 40 orang. Berikut adalah spesifikasi Arowana Kenyir Houseboat yang dinaiki oleh kumpulan kami.
Spesifikasi Houseboat : 3 Tingkat
- Tingkat 1 – Dapur, Bilik Karaoke & TV, Ruang Legar (BBQ), Bilik Air, Bilik Mandi.
- Tingkat 2 – Bilik Tidur (8 Bilik) & Surau. (Dilengkapi dengan kipas)
- Tingkat 3 – Ruang yang luas untuk pelbagai aktiviti.
Tempat Menarik di Tasik Kenyir, Terengganu
Di sekitar Tasik Kenyir terdapat air terjun yang menarik dan terkenal di kalangan warga setempat. Kebanyakan pengunjung suka berkhemah sambil menghayati pemandangan alam semulajadi di sekitar kawasan air terjun. Jika anda berpeluang bercuti di Tasik Kenyir, jangan lepaskan peluang untuk melawat air terjun di sini.
Antara lokasi air terjun yang terkenal adalah seperti Air Terjun Saok, Air Terjun Lasir, Air Terjun Tembat dan Air Terjun Sungai Buweh. Selain air terjun yang menarik, di sini juga terdapat beberapa destinasi pelancongan terkenal yang lain seperti Pusat Santuari Kelah, Guah Bewah, Guah Taat dan Herbal Park.
Air Terjun Saok
Air Terjun Saok terletak di bahagian barat Jeti Gawi dengan jarak perjalanan 15 minit menaiki bot. Ia terletak di Pulau Cherga dan merupakan pulau terbesar di Tasik Kenyir. Air Terjun Saok adalah lokasi pertama yang kami kunjungi. Di sana, kami berpeluang mengambil gambar dan juga bermandi-manda. Selain itu, terdapat juga kemudahan awam yang telah disediakan seperti tandas awam, kawasan perkhemahan dan laluan jalan kaki untuk memudahkan pengunjung bergerak.
Air Terjun Lasir
Air Terjun Lasir terletak 16 km dari Jeti Pengkalan Gawi. Dengan ketinggian 500 kaki, Air Terjun Lasir adalah salah satu air terjun yang tertinggi dan merupakan air terjun tercantik di Tasik Kenyik. Air Terjun Lasir sangat sesuai untuk anda lakukan pelbagai aktiviti outdoor menarik seperti bermandi-manda dan berendam. Di sana, kami berenang sambil menghayati kecantikan air terjun yang bertingkat-tingkat. Air terjunnya yang jernih & dingin telah memberikan kami satu kenangan yang sangat istimewa sepanjang percutian dengan rakan-rakan.
Santuari Kelah
Pada bulan Mac hingga Oktober, Pusat Santuari Kelah dibuka kepada pengunjung untuk melawat. Akitiviti memancing adalah dilarang di kawasan tersebut kerana Pusat Santuari Kelah merupakan kawasan untuk melindungi, memelihara dan membiakan ikan kelah. Setiap hari, hanya 100 orang pelawat dibenarkan masuk dan setiap lawatan hanya dibenarkan 30 minit sahaja.
Dalam percutian ini, kami berpeluang berjinak-jinak dengan ikan kelah degan memberi makanan dan memegang ikan tersebut. Walaupun pada mulanya perasaan takut menguasai kami, akan tetapi lama-kelamaan kami mendapati ikan kelah sebenarnya tidak akan mencederakan kami malah ikan tersebut sangat jinak & suka mengelilingi kami ketika makanan berada di tangan.
Guah Bewah
Gua Bewah adalah gua terbesar dan bersejarah di Tasik Kenyir dan tingginya adalah 40m daripada aras laut. Gua Bewah terkenal sebagai tempat pengumpulan tahi kelawar dan lazimnya boleh digunakan untuk tujuan pembajaan tanaman. Selain itu, di sana juga terdapat satu mini muzium yang mempamerkan gambar-gambar dan bahan-bahan sejarah yang dicarigali oleh ahli-ahli arkeologi. Kemudahan telah disediakan untuk pelawat seperti tangga dari luar hingga ke hujung gua dan juga dilengkapi dengan lampu solar.
Lawatan ini diadakan oleh mahasiswa dari Universiti Malaysia Kelantan untuk mengenal pasti tarikan pelancongan yang wujud di sini dan untuk merasai sendiri pengalaman unik bercuti di tempat menarik sekitar Tasik Kenyir. Mahasiswa UMK juga berharap agar aktiviti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Diharapkan juga destinasi pelancongan di Malaysia sebegini mampu menjadi tarikan terkenal dan bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
kredit: Tiew Yee Ling, Wong Zee Yar, Yee Ying Xin, Varuni Chankharin a/p Aklin, Wong Yau Choon dan Tang Kian Yao
nice