Isi Kandungan
Kalau dengar nama ‘Pantai Teluk Mak Nik’ ni macam panjang, anda boleh juga panggil pantai ni ‘Monica Bay‘. Selalunya ramai juga yang buang hasrat nak ke pantai tu sebab matahari yang terik dan takut akan sunburn. Tapi, bila dah sampai Pantai Teluk Mak Nik yang cantik ni, mesti dah tak fikir pasal panas sebab pokok-pokok rhu yang tersusun keliling pantai akan lindung anda dari cahaya matahari.
Dah bercuti ke negeri Terengganu, lagi-lagi yang memang nak pergi ke Kemaman, apa kata masukkan Pantai Teluk Mak Nik dalam destinasi yang akan anda tuju? Dengan bermacam-macam aktiviti boleh buat dekat pantai ni, tak rugi untuk anda singgah walaupun sekejap. Lepas dah baca artikel ni senanglah buat persiapan datang ke sini!
Aktiviti Menarik di Pantai Teluk Mak Nik
Main bola pantai, ATV
Walaupun tak ada dijual bola yang memang spesifik untuk main bola tampar ke bola jaring ke dekat sini, bola ada gambar kartun-kartun pun boleh la kan. Itu je yang ada jual dekat kawasan pantai, tapi kalau nak main bola pantai secara serius bolehlah bawa bola dari rumah. Tak ada jaring pun, seronok main sebab kawasan pasir dia luas dan pemandangan pun cun.
Lagi best kalau dapat pengalaman naik ATV dekat sini. Nak naik ATV bukanlah atas kawasan depan pantai, tapi dekat trek khas dia. Selamat pun selamat, keseronokan pun terjamin.
Tengok motor scrambler
Dah rasa-rasa macam taknak buat aktiviti sendiri tapi nak tengok orang lain bersukan, boleh pergi tengok motor scrambler. Walaupun acara dia bermusim dan mungkin sekejap ada sekejap tak ada, anda bertuah lah kalau masa datang tu ada buat.
Trek perlumbaan dia anda boleh jumpa kalau jalan sikit ke hujung kawasan Pantai Teluk Mak Nik. Lagi-lagi untuk yang memang minat tengok arena motor dekat TV kan, perlumbaan dekat sini tak jauh beza. Sokonglah pelumba yang berbakat semuanya.
Berkelah
Memang ramai betul yang dah siap bentang tikar untuk berkelah bila anda sampai ke pantai ni. Ada yang bentang tikar betul-betul depan pantai, ada juga yang nak sejuk sikit bentang bawah pokok rhu. Pilih mana yang anda lagi minat, panas ke sejuk.
Kalau sedih tak bawa makanan dari rumah, tak apa sebab sekitar pantai memang ramai yang dirikan gerai makan. Yang famous dijual dekat sini selalunya satar, keropok lekor dan celup tepung.
Main layang-layang
Seronok sangat kalau dapat naikkan layang-layang dekat Pantai Teluk Mak Nik ni sebab angin dia memang kuat. Nak bawa layang-layang dari rumah, dialu-alukan juga. Bagi yang tak bawa tu, beli aje dekat gerai-gerai tepi pantai. Banyak betul ada, pilih aje.
Kalau taknak layang-layang, boleh juga beli kapal terbang mini dekat pantai ni. Dia lain daripada yang lain sebab dekat kawasan angin sepoi-sepoi bahasa memang tak akan jauh dia pergi. Dekat sini, memang melencong jauh kapal terbang tu.
Berkhemah
Nak berkhemah dekat kawasan pantai ni agak selamat sebab dilindungi oleh pokok-pokok rhu yang sangat banyak. Dirikan je khemah dekat kawasan yang berkenan, sebab tak ramai pilih untuk berkhemah dekat sini. Nak ke tandas pun boleh pergi yang ada dekat pantai.
Tak perlu fikir dua kali nak berkhemah sini sebab semua kemudahan memang dekat-dekat. Nak makan dekat mana-mana pun tinggal jalan kaki je. Yang penting, alatan dan kelengkapan nak berkhemah tu cukup.
Penginapan di Pantai Teluk Mak Nik
The Kasturi Resort
Hanya 9 minit je perjalanan anda perlu ambil dari Pantai Teluk Mak Nik nak ke The Kasturi Resort yang terletak di Cherating Pahang. Nak tempah dekat resort, pilih nak vila yang berhadapan pantai ke, vila untuk keluarga ke, atau suite dengan pemandangan pantai, penthouse atau apartment studio. Barbeku pun dibenarkan nak buat dekat resort ni.
The Kasturi Resort ada 2 kolam renang, satu dekat dalam, satu dekat luar. Sesiapa yang rasa perlukan ketenangan, pergilah cuba spa dekat sini. Makanan yang sedap-sedap disajikan dekat resort, jadi siapa rasa taknak pergi cari makanan dekat luar boleh makan dekat restoran dia.
eRYA by Suria Cherating
Bilik-bilik yang ditawarkan dekat resort ni termasuk bilik deluxe, double, deluxe double, deluxe triple, family, dengan suite. Boleh pilih nak bilik yang ada pemandangan taman atau pemandangan laut. Kalau nak ke Pantai Teluk Mak Nik semula, perjalanan ambil masa 8 minit. Wi-fi diberikan akses percuma jadi resort ni memang berbaloi.
Semua bilik dekat resort memang ada penyaman udara, lepastu siap ada peti sejuk mini lagi. Tiap-tiap pagi, anda tak akan lapar lama sebab sarapan memang disediakan dekat restoran dia. Nak makan bila-bila pun dipersilakan ke restoran ‘The Bunga Padi’ milik resort tau.
Century Inn Hotel
Terletak dekat kawasan strategik, Century Inn Hotel ni sangat dekat dengan kedai-kedai jual barangan keperluan harian. Bukan tu aje, meja dalam bilik pun sesuai untuk mereka yang kena siapkan kerja. Dekat sini boleh tempah nak bilik standard deluxe, twin deluxe, standard twin, superior, family atau twin.
Dari Pantai Teluk Mak Nik nak ke hotel, perjalanan hanyalah 10 minit jauh. Sesiapa yang rasa susah hati nak tinggalkan haiwan peliharaan, boleh bawa ke hotel. Wi-fi dekat Century Inn Hotel pun percuma, walaupun harga nak menginap sini murah.
Tempat Makan Best Pantai Teluk Mak Nik
Dah sampai Ganu kan, memang yang berhasrat nak makan makanan laut tu memang akan tercari-cari kedai makan best sekitar pantai. Beruntung juga sebab dekat kawasan pantai ada peniaga gerai makanan yang jual makanan laut celup tepung. Tapi, untuk yang nak makan berat-berat untuk makan tengah hari dengan makan malam, tak perlu cari jauh-jauh.
Tak sampai 5 minit pun dari Pantai Teluk Mak Nik, anda boleh jumpa restoran yang masak sedap-sedap. Menu yang pelbagai dan istimewa, anda pilih aje nak rasa yang mana satu. Yang pasti, boleh jalan kaki juga nak ke kedai makan.
- Restaurant Ummie
- Elmanzeel Cafe
- Restoran Nasi Arab Al Joud
- The Hainan Chicken Rice Kemaman
- De’ Dapur BenAisy
Tempat menarik berdekatan Pantai Teluk Mak Nik
Rimbun Dahan Turtle Hatchery
Kalau anda bercadang nak ke Pantai Teluk Mak Nik dalam bulan April ke Oktober, sesuai sangat kalau ke turtle hatchery ni, sebab boleh tengok penyu dilepaskan ke pantai. Harga untuk melepaskan penyu, RM30 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak. Bagus kalau join sebab boleh buka mata anda untuk memelihara spesies penyu yang semakin terancam.
Kalau tak ada acara melepaskan penyu pun, anda boleh join bersihkan kawasan pantai. Sambil membersihkan pantai, sambil berkhidmat kepada semua manusia, flora dan fauna juga. Anda boleh juga tengok pokok bakau ditanam.
Bukit Mak Dayang
Untuk yang suka aktiviti mengeluarkan peluh, eloklah anda pergi ke Bukit Mak Dayang. Dekat sini, bukan setakat boleh naik 500 lebih anak tangga dia, banyak spot menarik boleh nampak bila dah sampai atas-atas. Contohnya, anda boleh tengok air terjun mini.
Telaga yang lama pun boleh jumpa bila dah panjat tangga, tapi kena hati-hati takut jatuh pula dalam tu. Nama ‘Bukit Mak Dayang’ dah sedap dah, tapi boleh juga panggil ‘Bukit Sayur’.Zon bergambar ada dekat base bukit, nak ambil gambar kenangan.
Hafiz Cherating Activities
Dah sampai di Hafiz Cherating Activities, mesti tergamam sebab banyak nau aktiviti boleh buat dekat sini. Kalau nak naik bot tengok pokok paya bakau, boleh standby sampai sebelum 9 pagi atau 4 petang. Nak berkayak dengan keluarga pun boleh, seronok aje.
Dekat sini pun ada ATV tau, lasak sikit dari yang dekat Pantai Teluk Mak Nik. Siapa yang stay lama sikit, belah malam dalam 7:30 malam macam tu, boleh tengok kelip-kelip yang susah nak tengok dekat tempat lain.
Maklumat tambahan
Tempat letak kereta
Pasal parking dekat sini tak perlu nak risau lebih-lebih, memang akan ada parking untuk kereta anda. Paling best sebab kereta boleh letak antara pokok-pokok rhu yang tinggi. Jadinya, memang tak bahang lah kalau nak naik kereta semula bila balik.
Bila ramai ke pantai ni pun, parking memang cukup sebab pantainya luas. Sebab tulah, pokok-pokok pun banyak buat jadi tempat parking anda.
Waktu terbaik untuk pergi
Fakta ramai datang waktu cuti sekolah memang tak boleh nak nafi, jadi pergilah waktu yang anda rasa selesa. Ini kalau anda sekeluarga jenis taknak ada ramai sangat orang keliling. Kalau rasa ada ramai orang tu lagi syok, boleh datang bila-bila cuti ya.
Waktu paling sesuai untuk yang nak tenang, kosong, boleh pergi hujung minggu waktu pagi. Cuaca panas pun redup bawah pokok, jadi tak ada masalah nak datang tengah hari pun.
Kemudahan
Dekat pantai ada taman permainan untuk kanak-kanak yang masih aktif bermain. Tandas pun ada, jadi tak perlu nak bawa kereta cari kawasan rehat tempat lain. Gerai makan dekat sini banyak juga kalau lapar, gerai jual kelengkapan aktiviti pantai pun ada. Gazebo ada kalau nak berkelah, untuk duduk bersosial pun ada disediakan meja dan bangku tanpa atap. Tong sampah pula jangan risau, banyak disediakan.
Peta lokasi
Kira dekat juga ya kalau ikut jalan paling dekat dari Kuala Lumpur nak ke Pantai Teluk Mak Nik sebab tak sampai 4 jam perjalanan. Dah sampai sempadan Kuantan-Kemaman tu, jauh juga dalam sejam lagi perjalanan. Jangan risau, sebab pantai ni senang nak nampak dari jauh.
Tertarik dan kagum dengan keseronokan yang mungkin anda dapat dekat Pantai Teluk Mak Nik ni? Cepat-cepat buat keputusan kalau nak bercuti ke Terengganu, bolehtempah hotel dan pergi makan dekat restoran sedap-sedap. Yang paling penting, pengalaman dekat sini akan jadi bermakna dan manis.