Isi Kandungan
Pahang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan pelbagai habitat flora fauna yang terpelihara dengan baik. Justeru itu, Pahang juga merupakan salah satu negeri yang sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Untuk itu, anda memang patut mencuba untuk merasai sendiri kedamaian pantai yang terdapat di negeri bertuah ini. Pantai Teluk Cempedak atau lebih dikenali sebagai PTC yang terletak di Kuantan, Pahang ini sememangnya merupakan sebuah pantai yang terkenal dan menjadi pilihan para pelancong yang berkunjung.
Untuk menikmati keindahan alam semula jadi tidak perlu mengunakan wang ringgit anda berbanding untuk ke tempat-tempat yang akan mengenakan bayaran tiket masuk. Pantai yang terdapat pelbagai tempat makan yang sedap berhampiran, aktiviti seronok yang boleh dilakukan, tempat penginapan yang berdekatan dan pakej kemudahan yang lengkap memang memuaskan hati. Pantai yang bersih dan dijaga dengan rapi oleh penduduk sekitar memang menjadikan suasana di pantai ini sangat aman damai. Bersantai di tepi pantai pada waktu petang sambil menghirup udara segar sememangnya satu aktiviti santai yang sangat indah.
Aktiviti Menarik di Pantai Teluk Cempedak
Sukan Tepi Pantai
Memang tidak lengkap perjalanan percutian di pantai jika tidak melakukan aktiviti sukan di tepi pantai. Bermain permainan sukan di tepi pantai sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat menyihatkan tubuh badan. Dengan cuaca yang baik memang menyenangkan jika dapat melakukan aktiviti seperti bermain bola tampar, layang-layang dan macam-macam lagi.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh merancang untuk mengadakan hari keluarga dengan membuat sukaneka di tepi pantai yang lapang ini. Anda hanya perlu membawa peralatan sukan daripada rumah sahaja. Jangan lupa nanti untuk mengemas semula kawasan yang anda duduki dan membawa pulang peralatan sukan anda.
Tidak perlu berebut-rebut tempat walaupun anda berkunjung pada hari minggu kerana tempat yang luas ini memang boleh memuatkan ramai orang. Kebiasaanya, mereka yang berkunjung ke sini akan membina istana pasir bersama anak-anak. Aktiviti membina istana pasir atau menanam kaki di dalam pasir ini memang merupakan salah satu aktiviti yang digemari ramai. Pasir di Teluk Cempedak yang halus dan bersih juga memang sesuai untuk melakukan aktiviti ini.
Berkelah Dan Bersantai
Selepas penat bekerja semestinya anda memerlukan sesuatu tempat yang santai untuk merehatkan diri pada hujung minggu anda. Di Pantai Teluk Cempedak yang indah ini anda akan dapat bersantai dengan baik di tepi pantainya. Yang istimewanya, anda boleh menyewa beg udara yang lebih dikenali sebagai “lazy sofa” untuk berbaring di tepi pantai. Lazy sofa ini boleh memuatkan seramai 4 orang dan dibuka bermula pukul 4 petang sehingga ke 3 pagi. Memang ramai orang yang selalu menyewa lazy sofa ini terutama pada waktu malam untuk bersantai dengan angin malam di tepi pantai. Mereka hanya menyediakan 100 sahaja lazy sofa, jadi anda memang kena cepat jika mahu menempahnya.
Selain bersantai, aktiviti perkelahan juga merupakan satu aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di tepi pantai ini. Anda hanya perlu membawa bekalan makanan yang secukupnya daripada rumah untuk melakukan aktiviti perkelahan ini. Aktiviti berkelah ini juga dapat membuatkan anda melapangkan waktu bersama yang tersayang.
Mandi-Manda
Aktiviti mandi-manda sememangnya satu aktiviti wajib jika berkunjung ke pantai. Air laut yang jernih dan bersih memang dapat menyegarkan diri. Kesegaran air semula jadi memang tiada lawannya. Sementara menunggu anak-anak anda bermandi-manda, anda boleh berehat di kerusi rehat yang terdapat di sekitar kawasan pantai.
Anda perlu mengelakkan untuk mandi di tempat batu-batu kerana di Pantai Teluk Cempedak ini terdapat kawasan berbatu besar. Selain itu, pantai yang mempunyai pasir putih dan halus memang tidak akan melekat pada pakaian anda. Memang selesa untuk berenang di pantai yang hebat ini. Anda juga boleh membawa pelampung daripada rumah atau menyewa sahaja di kedai-kedai berhampiran. Jika terdapat bendera merah dipasang di tepi pantai itu bermakna waktu yang tidak selamat atau sesuai untuk aktiviti bermandi-manda.
Membeli-Belah
Aktiviti membeli-belah sememangnya merupakan salah satu aktiviti yang digilai ramai. Di pantai ini anda akan dapat memborong pelbagai barangan tempatan yang berkualiti baik. Terdapat satu kawasan luas yang mempunyai pelbagai kedai menjual barangan menarik yang boleh dijadikan sebagai cenderahati. Dikenali juga sebagai bazaar yang sering menjadi kunjungan pelancong untuk membeli cenderahati yang murah-murah. Pelbagai bentuk keychain, fridge magnet dan gelang nama menarik yang boleh didapati.
Bukan itu sahaja, terdapat juga baju tulisan Pantai Teluk Cempedak, selipar, cermin mata dan topi untuk anda. Ada juga beberapa kedai yang menjual makanan-makanan ringan yang enak. Selain itu, di sini juga ada kedai permainan yang menjual mainan seperti layang-layang, belon buih dan macam-macam lagi. Yang lagi menarik, di bazaar ini terdapat pelukis-pelukis tempatan yang akan mengambil upah untuk perkhidmatan lakaran. Mereka juga akan menyiapkan lakaran wajah anda dengan sangat cantik dan kemas.
Aktiviti Jungle Trekking
Mesti anda tidak percaya yang di tepi pantai ini juga boleh melakukan seperti aktiviti jungle trekking kan? Terdapat sebuah hutan simpan yang terletak berdekatan Pantai Teluk Cempedak untuk anda yang ingin jungle trekking. Keadaan jalan yang baik dan elok memang menjamin keselamatan anda sewaktu melakukan sebarang aktiviti.
Selain itu, di sini mempunyai sebuah jambatan yang telah lama dibina untuk menyeberang ke Teluk Tongkang. Di jambatan ini terdapat juga satu laluan untuk menaiki ke bukit bagi anda yang ingin mendaki. Jangan lupa untuk mengenakan pakaian yang sesuai dan membawa peralatan yang cukup jika anda ingin melakukan aktiviti-aktiviti seperti itu.
Jambatan yang dibina di tepi bukit dan dikelilingi oleh hutan-hutan hijau yang menakjubkan ini juga memang sangat luar biasa. Sepanjang perjalanan melintasi jambatan ini anda akan dapat menikmati keindahan pohon-pohon hijau yang terdapat di tepi bukit. Jika anda terasa penat, anda boleh berhenti rehat dahulu di pondok yang telah disediakan. Jambatan ini juga merupakan salah satu tarikan utama Pantai Teluk Cempedak. Anda perlu berhati-hati kerana di jambatan ini terdapat sekumpulan monyet dan beruk.
Penginapan di Pantai Teluk Cempedak
Hyatt Regency Kuantan Resort
Hyatt Regency Kuantan Resort merupakan satu-satunya hotel bertaraf lima bintang yang terletak di tepi pantai ini. Terdapat sebanyak 300 bilik terbaik yang ditawarkan di resort ini. Segala kemudahan disediakan dengan baik dan lengkap di resort ini untuk anda yang menginap. Di resort ini juga terdapat dua kolam renang yang luas di luar dan sesuai untuk anak-anak kecil mandi. Selain itu, terdapat juga sebuah restoran makanan yang menawarkan pelbagai menu hidangan yang hebat dan lazat.
Terdapat kerusi yang mempunyai bumbung untuk anda bersantai atau lepak di kawasan luar hotel. Suasana hotel yang menghadap ke pantai memang memberikan pemandangan yang sangat menakjubkan. Di sini terdapat juga ruangan dewan yang luas untuk anda mengadakan majlis atau membuat mensyuarat. Kalau anda nak tahu, ramai orang yang telah membuat majlis perkahwinan di hotel ini. Dengan berlatar belakangkan pantai yang indah dan mempunyai pemandangan yang cantik memang akan menjayakan majlis anda dengan gilang-gemilang.
Teluk Chempedak TC Hotel
Sekiranya anda masih mencari penginapan terbaik di Kawasan Pantai Teluk Cempedak, anda wajib untuk berkunjung ke Teluk Chempedak TC Hotel. Terletak hanya 200 meter sahaja daripada pantai dan menawarkan banyak pakej bilik untuk keluarga yang sempurna. Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti penghawa dingin, tandas, barangan mandi dan macam-macam lagi. Yang paling menarik, mereka ada menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik untuk ke Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah. Harga bilik akan bergantung pada pakej yang anda pilih tetapi bilik di sini ditawarkan dengan harga yang tiada tandingan.
Pemandangan alam sekitar di hotel yang luar biasa memang akan menyempurnakan percutian anda. Oleh kerana hotel ini mempunyai kawasan luar yang lapang, jadi anda boleh merancang untuk melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti bakar-bakar bbq. Selain itu, pelbagai tempat menarik untuk anda kunjungi yang terdapat berdekatan dengan hotel ini sebagai contoh Muzium Tokoh Pahang, Taman Rekreasi Pahang, Kuil Wan Fo Tien dan banyak lagi.
Star Tree Homestay
Star Tree Homestay menawarkan penginapan yang indah dan selesa semestinya untuk semua pelanggan yang dikasihi. Bilik penginapan yang lengkap dengan segala kemudahan asas dan hotel yang dijaga dengan sangat rapi memberi jaminan yang tempat ini adalah hotel yang terbaik. Bukan penghawa dingin sahaja yang ada didalam setiap bilik malah dengan tambahan kipas juga. Kaunter pendaftaran yang dibuka 24 jam memberikan kemudahan untuk anda check in walaupun pada waktu malam.
Antara kelebihan yang terdapat di homestay ini ialah mereka menyediakan tempat letak kenderaan yang percuma untuk tetamu. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengakses Wi-Fi di bilik anda atau di sekitar kawasan hotel. Terdapat bar dan restoran yang memberikan anda hidangan istimewa untuk anda mengisi perut yang lapar. Kalau menaiki kenderaan anda hanya memerlukan 13 minit sahaja untuk sampai ke homestay ini daripada Pantai Teluk Cempedak.
The Sky Inn
The Sky Inn merupakan sebuah hotel menarik yang terletak hanya 200 meter sahaja daripada Pantai Teluk Cempedak. Terdapat pelbagai jenis bilik terbaik yang boleh anda pilih untuk menjadi tempat anda bermalam. Setiap bilik akan mempunyai kelengkapan yang lengkap seperti televisyen, cerek air, penghawa dingin dan macam-macam lagi. Keselamatan di sini sangat terjaga dan terjamin kerana terdapat CCTV yang diletak di sekeliling kawasan hotel. Untuk pengetahuan anda, kaunter pendaftaran di sini juga dibuka 24 jam.
Mereka memberikan tempat untuk letak kereta yang percuma dan perkhidmatan Wi-Fi 24 jam di hotel ini. Untuk anda yang ingin menggunakan perkhidmatan dobi, ia akan dikenakan cas tambahan. Yang menariknya, di sini terdapat sebuah kolam renang di luar yang luas dan dihiasi dengan lampu LED yang boleh bertukar warna. Memang cantik dan memukau kawasan sekitar kolam renang pada waktu malam. Tempat yang selesa dan bersih serta terdapat berdekatan dengan beberapa destinasi pelancongan di Pahang memang sempurna untuk dijadikan sebagai tempat penginapan.
Tempat Makan Best Pantai Teluk Cempedak
Setelah penat melakukan pelbagai aktiviti menarik, semestinya anda memerlukan makanan yang lazat untuk mengisi perut. Di sini memang terdapat banyak kedai makan yang terbaik dan menawarkan pelbagai menu makanan yang istimewa. Anda boleh memilih untuk makan masakan kampung, Western atau masakan Asia. Makanan yang dimasak oleh chef yang berpengalaman ini memang tidak dapat dinafikan lagi kesedapan rasanya. Memang tidak lengkap percutian anda di pantai ini jika anda tidak mencuba makanan di kedai-kedai ini. Jarak tempat makan ini dengan pantai hanya mengambil masa 5 hingga 3 minit sahaja.
Jika anda teringin makanan ringan terkenal seperti McD, KFC, Starbucks dan Burger King juga boleh didapati. Kedai-kedai makanan ringan ini terletak berdekatan sahaja dengan tempat parkir di pantai ini. Anda juga boleh “take away” makanan ringan ini untuk dimakan di tepi pantai.
- Loteng Cafe Telok Cempedak
- Restoran Selera Warisan Tom Yam
- Italian Bistro
- La Casa Kuantan
- Restoran Seri Pantai Patani
Tempat Menarik Berdekatan Pantai Teluk Cempedak
Tc Theme Park
Tc Theme Park merupakan satu tempat permainan yang terletak berhampiran Pantai Teluk Cempedak. Masa yang diambil untuk ke sini daripada pantai hanyalah 3 minit sahaja jika menaiki kenderaan. Sememangnya syurga hiburan kerana bukan terdapat permainan untuk kanak-kanak sahaja di sini. Untuk tiket masuk ke taman permainan ini hanya RM 8.00 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun kebawah. Keselamatan anak-anak anda memang terjaga kerana terdapat CCTV yang mengawasi kawasan permainan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga basikal yang boleh anda sewa untuk berjalan keliling kawasan taman. Pelbagai jenis basikal disediakan yang sesuai untuk semua kategori usia. Selain itu, terdapat juga mainan yang biasanya boleh dimain di funfair sebagai contoh bumper car, paddle boat, happy car dan macam-macam lagi. Segala mainan di sini ditawarkan dengan harga yang sangat murah berbanding tempat permainan lain. Anda memang wajib untuk membawa anak-anak anda bermain di tempat yang seronok ini.
Menara Teruntum Kuantan
Menara Teruntum Kuantan merupakan menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur dan daripada pantai untuk kesini hanya mengambil 12 minit sahaja. Merupakan salah satu destinasi pelancongan yang wajib untuk anda kunjungi sekiranya datang ke Pahang. Anda akan dapat menikmati pemandangan bandar Kuantan melalui tingkat atas menara ini. Oleh kerana Sungai Kuantan terletak berhampiran menara ini, jadi anda akan dapat melihat juga pemandangan sungai yang menakjubkan.
Tiket untuk masuk ke menara ini juga sangat murah iaitu hanya RM 15 sahaja bagi orang dewasa dan RM 10 bagi kanak-kanak. Pada waktu malam menara ini akan berlampu dan kebanyakkan orang akan melepak sekitar kawasan menara. Dengan angin malam yang sejuk dan menara yang mempunyai lampu warna-warni ini memang sangat cantik. Untuk pengetahuan anda, menara ini juga merupakan mercu tanda baharu untuk Kuantan. Selain itu, didalam menara ini juga terdapat beberapa pameran dan lakaran tentang bangunan ini.
Natural Batik Village
Natural Batik Village merupakan sebuah kilang yang menghasilkan karya batik dan membuat pameran batik untuk pengunjung. Batik merupakan satu karya kraftangan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan batik juga merupakan budaya tradisi bagi Asia Tenggara. Keunikkan corak batik memang tiada lawannya dan akan menambat hati anda. Masa yang diambil untuk ke kilang batik ini daripada pantai hanya 21 minit sahaja.
Jangan risau, corak batik moden yang luar biasa ini memang sangat memukau dan akan menepati cita rasa anda. Corak batik juga memang sangat terkenal pada masa kini, jadi anda memang patut untuk mendapatkan corak batik anda di kilang ini. Di sini ada menjual pakaian, batik sarung, seluar dan banyak lagi barangan batik yang boleh anda dapati. Yang menariknya lagi, anda juga boleh cuba membuat batik anda sendiri di sini. Tiket masuk ke tempat ini juga sangat berbaloi dan ditawarkan dengan harga yang rendah. Barangan batik yang mereka tawarkan bukan sahaja murah malah sangat berkualiti tinggi.
Maklumat tambahan
Tempat Letak Kereta
Kawasan parkir yang luas dan tidak dikenakan cas memang sangat berbaloi. Anda bebas untuk meletakkan kenderaan anda di tempat letak kereta yang ada disediakan. Walaupun berkunjung pada hari minggu anda akan tetap mendapatkan tempat untuk letak kereta.
Jangan risau tentang keselamatan kenderaan anda sewaktu letak kereta di sini, ia terjamin kerana pantai ini memang tidak pernah sunyi. Kira-kira 100 meter sahaja jarak untuk anda berjalan ke kawasan pantai. Bukan setakat kereta sahaja yang anda boleh letak kereta di sini malah semua jenis kenderaan ringan.
Waktu terbaik untuk pergi
Anda tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti seperti mandi-manda atau berkelah pada musim angin monsun iaitu antara bulan November hingga Mac. Ia agak berbahaya kerana alur ombak yang deras dan faktor cuaca yang tidak menentu. Pada musim ini anda hanya boleh berjalan-jalan sekitar pantai atau melakukan aktiviti lain.
Antara bulan yang elok untuk anda yang ingin berkunjung ke pantai ini ialah pada bulan April hingga October. Ramalan cuaca untuk bulan-bulan ini selalunya elok dan jarang hujan. Cuaca yang baik membolehkan anda melakukan segala aktiviti dengan selamat. Rancang pada waktu yang tepat untuk ke pantai ini bagi mengelakkan sebarang masalah yang akan berlaku.
Kemudahan
Terdapat banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa di pantai ini antaranya ialah tandas awam, bilik mandi, pondok berehat, tong sampah dan surau. Pantai yang terjaga dengan sangat rapi ini juga menjadikan ia sebagai tempat yang bagus untuk mendapatkan hasil gambar yang cantik. Landskap untuk bergambar yang terbaik memang sangat memukau. Jangan lupa untuk tangkap gambar banyak-banyak di sini sebagai tanda kenangan dan memuat naik di laman sosial anda.
Untuk orang muslim jika anda tidak ingin solat di kawasan surau yang disediakan, anda boleh singgah untuk solat di Masjid Agung Sultan Ahmad. Hanya mengambil masa 15 minit sahaja dan masjid ini juga dibina dengan reka bentuk yang hebat. Selain itu, terdapat juga taman permainan yang terletak berdekatan pantai ini. Di kawasan taman permainan ini juga terletak Simbol Monumen Tourism Malaysia yang masih megah berdiri.
Peta Lokasi
Pantai Teluk Cempedak terletak kira-kira 5 KM daripada bandar Kuantan. Jarak yang tidak jauh untuk anda singgah berkunjung. Untuk ke pantai ini anda boleh menggunakan kenderaan sendiri atau menaiki kemudahan awam. Anda boleh menggunakan jalan Lebuhraya Karak dan ikut susur keluar Gambang untuk ke Kuantan sekiranya datang daripada Kuala Lumpur.
Walaupun pada waktu malam, pantai yang hebat ini akan masih meriah dengan kehadiran ramai pelancong. Jadi, jangan terlepas untuk merasai kemeriahan Pantai Teluk Cempedak ini. Pantai yang menarik dan popular sememangnya akan memberikan anda satu pengalaman yang luar biasa. Bagi anda yang pernah berkunjung ke pantai ini, jangan berasa jemu untuk datang lagi ke pantai ini kerana terdapat banyak perubahan yang terdapat di pantai ini.
Sekali-sekala anda memang patut untuk merasai keindahan alam sekitar dan lari daripada kesibukkan ibu kota. Ketenangan yang akan diperoleh menjadikan diri anda jauh lebih baik. Anda boleh menggunakan maklumat dan panduan ini untuk merancang dengan baik percutian anda di Pantai Teluk Cempedak ini.