Isi Kandungan
Koh Lipe, sebuah pulau tropika kecil yang terletak di selatan Thailand, terkenal dengan pantainya yang menawan dan keindahan alamnya yang memukau. Pasir pantai yang lembut dan air laut yang jernih membuatkan pelancong terpegun akan keindahannya. Mari kita lihat 4 pantai popular di Koh Lipe yang mesti anda kunjungi!
1. Pattaya Beach
Pattaya Beach, pantai utama dan terbesar di Koh Lipe. Dipenuhi pasir putih lembut dan air laut yang jernih memberikan pelancong sebuah pemandangan yang memukau dan sangat instagrammable. Di sini merupakan tempat proses immigration check para pelancong yang datang ke Koh Lipe dan banyak bot yang berlabuh dan berlepas terutama pada waktu pagi dan petang. Jadi, tidak hairanlah suasana di sini meriah akan kesibukan para pelancong dan pegawai yang menguruskan proses imigrasi.
Memandangkan Pattaya Beach merupakan pantai utama, jadi terdapat banyak tempat penginapan di sekeliling pantai sama ada yang dekat di pesisiran pantai atau ada yang jauh sedikit untuk harga yang lebih murah dan persekitaran yang tenang. Ada penginapan berkonsepkan villa, chalet di tepi pantai ataupun penginapan bajet tetapi masih lagi selesa dan nyaman. Anda tidak perlu risau mengenai makanan apabila bercuti di pulau Koh Lipe kerana memang banyak restoran dan kedai-kedai makan di sekitar pantai termasuk kedai makan untuk Muslim. Mencari makanan Thai, pencuci mulut tempatan, hidangan laut, makanan ringan dan banyak lagi, semuanya ada di Pattaya Beach ini!
Di sepanjang pantai ini juga terdapat aktiviti jual beli yang sangat meriah seperti gerai makanan dan minuman, gerai cenderahati dan perkhidmatan urut di tepi pantai. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan, antaranya ialah snorkeling melihat terumbu karang, berenang, berkayak dan berjemur sambil menikmati ketenangan di pantai.
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan
2. Karma BeachÂ
Karma Beach adalah pantai kedua terkenal di Koh Lipe. Pantai terpencil ini terletak jauh di bahagian utara Koh Lipe dan berhadapan dengan Koh Adang. Dalam Google Map, pantai ini dinamakan sebagai North Point Beach. Untuk pengetahuan anda, Karma Beach ini merupakan sebahagian daripada Sunrise Beach dan kedudukannya di bahagian utara pulau memberikan pemandangan matahari terbit dan juga matahari terbenam yang memukau. Destinasi yang sesuai bagi anda yang gemar mengambil gambar pemandangan yang indah. Selain itu, suasana di pantai ini lebih tenang dan privasi yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi yang subur.
Air laut di Karma Beach ini agak cetek dan sesuai jika ingin berenang dan bermandi-manda di pantai bersama keluarga dan anak kecil. Sekiranya ingin snorkeling melihat terumbu karang, anda harus berenang dan menyelam jauh ke laut kerana air di sini cetek sahaja. Walaupun hanya pantai yang terpencil, namun masih terdapat banyak pilihan penginapan di sekitar pantai mengikut bajet dan keselesaan anda. Ada juga resort yang dilengkapi kolam renang, restoran hotel yang menyajikan makanan laut, hidangan tempatan dan juga makanan Eropah yang pastinya lazat memikat selera anda!
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan
3. Sunrise Beach
Sunrise Beach, sebuah pantai yang terletak di sebelah timur pulau Koh Lipe dan merupakan pantai terpanjang di pulau itu. Pasir putih yang lembut dan air pantai yang jernih pasti akan memberikan anda pemandangan yang memukau dan menenangkan. Jangan lepaskan peluang untuk melihat keindahan matahari terbit di Sunrise Beach, iaitu highlight utama pantai ini kerana ia terkenal dengan pemandangan matahari terbit dan merupakan salah satu tempat yang terbaik di Thailand untuk melihat kejadian itu. Berbeza dengan suasana dan kesibukan di Pattaya Beach yang ramai pelancong, Sunrise Beach ini lebih tenang dan kurang sibuk.
Penginapan di sekitar pantai ini juga amat mudah untuk didapati. Berdekatan tempat penginapan tersebut juga terdapat banyak kedai makan yang menyajikan pelbagai jenis makanan termasuk makanan laut segar. Antara aktiviti yang best di Sunrise Beach ialah snorkeling kerana airnya yang jernih serta kecantikan warna-warni dari terumbu karang dan hidupan laut. Anda juga boleh berehat dan berjemur di tepian pantai dengan tenang dan nyaman. Terdapat dua pulau kecil berhadapan dengan Sunrise Beach iaitu Koh Kra dan Koh Usen dimana anda boleh mengunjungi pulau tersebut dengan aktiviti snorkeling atau berkayak.
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan
4. Sunset BeachÂ
Sunset Beach, pantai yang lebih kecil dan nyaman di Koh Lipe. Indah seperti namanya, pantai ini terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang cantik dan memukau. Pelancong berpeluang untuk melihat fenomena matahari terbenam yang cantik lagikan menawan pada setiap waktu petang. Kejadian alam yang indah ini boleh dilihat sekitar pukul 6 petang.
Pada waktu siang pula, suasana di pantai ini lebih sunyi dan tenang kerana rata-rata pelancong hanya akan singgah ke kawasan pantai ini menjelang lewat petang sahaja. Jika anda menginginkan suasana yang lebih relaks dan tenang pada waktu siang, pantai ini khas untuk anda. Di sana, anda boleh berjemur di pantai atau berehat sambil menikmati hidangan ringan di kafe berdekatan. Selain itu, anda juga boleh berenang dengan tenang dan bermandi-manda bersama keluarga atau rakan-rakan di sepanjang pantai.
Terdapat beberapa tempat penginapan di sekitar persisiran pantai ini dengan pelbagai pilihan yang menarik untuk anda pilih. Ada penginapan jenis villa biasa dan ada juga resort yang dilengkapi dengan kolam renang serta jacuzzi. Walaupun kawasan sekitar Sunset Beach ini agak sunyi, namun masih banyak aneka makanan yang boleh didapati di sekitar pantai. Terdapat hidangan Thailand authentic, western cuisine, BBQ dan hidangan laut segar yang boleh dinikmati sambil melihat keindahan pantai. Terkini, Sunset Beach 2 dibuka untuk menambah lagi kapasiti pelancong yang datang ke sini.
Hotel Terdekat | Lokasi | Ulasan
Koh Lipe adalah destinasi pantai yang popular sempurna untuk anda penggemar pantai dan menjadi hiburan santai untuk mendapatkan ketenangan semula jadi. Keindahan dan keunikan pantainya akan menjadikan percutian anda lebih bermakna.
Yang paling penting sekali, marilah kita sama-sama menjadi pelancong yang berhemah dengan menjaga kebersihan alam sekitar supaya ia kekal cantik untuk dilawati dan dinikmati bersama!
Tunggu apa lagi, jomlah bercuti ke Koh Lipe!
Nak tahu macam mana nak pergi ke Koh Lipe mudah & ringkas? Klik sini!