Isi Kandungan
Salah satu destinasi percutian tepi pantai yang terkenal di kalangan warga KL, Selangor dan negeri sekelilingnya iaitu Pantai Morib di Banting, Selangor. Kalau bercuti di hotel atau resort di sekitarnya, jangan lupa untuk singgah di Pantai Morib terutamanya ketika waktu matahari terbenam.
Pantai ini telah dibangunkan semula oleh kerajaan negeri untuk menjadikan Pantai Morib sebagai salah satu tarikan pelancongan yang ada di Kuala Langat, Selangor. Seperti juga di Pantai Bagan Lalang, air laut di Pantai Morib ini selalu pasang dan selalu surut. Ada masa yang agak sesuai untuk mandi dan ada masa langsung tak sesuai.
Aktiviti Menarik di Pantai Morib
Jet Ski
Aqua x Watersport Village di Goldcoast Resort merupakan kampung sukan air pertama di Malaysia yang khusus dalam aktiviti sukan air. Antara aktiviti sukan air yang dapat anda lakukan ialah jet ski, banana boat dan flying fish. Tempat ini terbuka kepada semua orang sama ada penginap resort ataupun tidak. Mereka menjual pakej yang membolehkan anda unutk bermain semua aktiviti air yang ada serta bermain ATV dan menyaksikan persembahan api pada waktu malam.
Memang best gila tau tempat ni dan berbaloi dengan harga yang dibayar. Dahlah pantainya cantik dan bersih, yang tukang ajar main tu pun sangat baik dan peramah. Anda boleh pergi ke laman web mereka dan menempah tiket di sana. Anda juga boleh telefon mereka untuk mengetahui lebih lanjut kalau-kalau waktu yang anda ingin pergi tu sesuai dengan keadaan air dan angin pada hari tersebut.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Phone: 010-888 0569
Main bola sepak pantai, bola tampar, layang-layang
Di Pantai Morib ni memang macam-macam aktiviti riadah yang boleh anda lakukan. Ramai je orang yang bermain bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Anda boleh cari port di sana untuk pacak jaring anda bagi bermain bola tampar. Tapi jangan lupa, lepastu kemas balik. Memang seronok main ramai-ramai ni.
Untuk main layang-layang pula, anda boleh bawa sendiri dari rumah ataupun anda boleh beli layang-layang yang dijual di sekitar pantai. Lebih baik kalau anda support lah peniaga-peniaga di situ supaya mereka boleh terus beroperasi. Bila main tu pastikan anda pegang kuat-kuat tali tu kerana angin di pantai ini memang kuat. Takut dengan anda sekali terbang.
Berkhemah
Datang sehari ke sini dan malas nak tempat hotel tu, anda boleh bawa khemah dan pacak di persisiran pantai. Anda boleh pacak je di mana-mana kawasan awam pantai tu. Senang anda nak tukar-tukar baju selepas berseronok di dalam air nanti. Kalau dah penat memandu dan nak tidur dalam khemah pun tiada masalah.
Disebabkan ini kawasan awam, anda boleh je buat bakar-bakar di sini, tetapi anda kena kemas semula dan pastikan macam mana anda sampai begitulah anda pergi. Kalau tak jumpa tong sampah, anda bawa balik dan buang di rumah. Jadilah masyarakat yang berhemah ya.
Berkelah
Anda mesti teringin kan nak berkelah di tepi pantai? Apa lagi anda pergilah ke sini. Ramai orang suka berkelah sambil menikmati pemandangan laut yang cantik serta angin sepoi-sepoi bahasa ni. Orang-orang muda sekarang ni lagilah suka nak berkelah dan luangkan masa bersama rakan-rakan sementara masih muda ni.
Kalau nak sambut hari jadi dengan berkelah pun best juga. Anda bawalah tikar nak duduk lepastu bawa makanan sedap-sedap dan sedikit perhiasan. Mesti cantik nak tangkap gambar nanti.
Tugu Peringatan
Di Pantai Rekreasi Morib Banting ini, terdapat sebuah tugu peringatan yang menjadikan destinasi ini salah satu kawasan di Kuala Langat, Selangor yang mempunyai kesan sejarah. Tugu kecil ini terletak di bulatan kecil menjadi tanda yang dahulunya kawasan ini pernah menjadi tempat pendaratan tentera Inggeris pada tahun 1945Â dan menjadi tempat pertahanan untuk menangkis serangan tentera Jepun.
Pantai Morib Baru
Kalau dikalangan penduduk setempat, terdapat dua bahagian Pantai Morib iaitu Pantai Morib Lama dan Pantai Morib Baru yang hanya bersebelahan. Pantai Morib Baru lebih sesuai untuk mandi-manda namun itupun kalau air lautnya cantik dan tidak berkeladak. Manakala Pantai Morib Lama lebih terkenal dengan beberapa tempat makan yang lebih menarik. Namun kalau anda benar-benar nak mandi laut, sebaiknya pergi ke sebelah Pantai Timur, seperti di Cherating, Pahang ataupun ke utara menuju ke Pulau Pangkor di Perak.
Namun sekiranya anda hanya mahu mengambil angin pantai, releks atau bermain layang-layang bersama anak-anak, Pantai Morib adalah destinasi yang tepat. Ketika air laut surut, anda boleh melihat pantai ini sangat lapang, malah boleh bejalan kaki ke tengah dari pantai sehingga 400-500 m. Kebiasaannya pada waktu air surut ini, orang akan berjalan ke tengah untuk mengutip ketam kecil dan cengkerang laut. Sekiranya anda tidak kisah berjemur panas, bolehlah mencubanya.
Penginapan di Pantai Morib
Gold Coast Morib Resort
Sekiranya anda bercuti ke Pantai Morib dan inginkan tempat penginapan yang menarik terutamanya untuk anak-anak, Gold Coast Morib Resort adalah jawapannya. Jom Baca: Jom Bercuti di Gold Coast Morib Resort
Sejak beroperasi Mei 2011, destinasi resort ini menjadi tumpuan setiap para pelancong yang datang bercuti ke Pantai Morib. Selain bangunannya baru, tarikan utama di sini ialah taman tema air yang khas untuk tetamu-tetamu sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak. Taman tema ini tidaklah sebesar seperti di Legoland Waterpark ataupun Sunway Lagoon Waterpark, namun sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada anak-anak untuk bermain air dengan lebih selamat dan bersih kalau nak dibandingkan bermain air di pantai.
Memang sesuai bercuti ke Pantai Morib dan menginap di GoldCoast Morib bersama keluarga dan anak-anak, lagi pun nak mandi di pantai di area sini agak kurang menarik kalau waktu air laut surut dan berkeladak.
Hotel Impian Morib
Kalau taknak ke GoldCoast, anda masih ada pilihan lain iaitu Hotel Impian Morib. Selain GoldCoast, hotel ini juga sering menjadi tumpuan pelancong kerana suasanya yang sangat menarik dan hotelnya yang juga cantik. Kalau anda berpasangan sahaja dan tidak bawa anak-anak, hotel ini memang sesuai untuk anda. Ini kerana hotel ini juga sangat tenang dan harga juga amat berpatutan. Di sini tiada taman tema seperti di GoldCoast tetapi di sini juga ada kolam renang yang agak besar untuk anda bermandi-manda bersama keluarga.
Homestay Morib
Taknak tinggal di hotel dan inginkan homestay pun ada juga beberapa di sini. Hotel kan memang banyak pantang larang, jadi lebih baik tinggal di homestay, lagi-lagi kalau anda datang beramai-ramai. Di sini, rumah tumpangnya memang berdekatan dengan pantai tau. Anda boleh bau pantai tu dari rumah tumpang anda. Lagipun anda boleh masak-masak sendiri dan lebih menjimatkan duit daripada anda tinggal di hotel.
Tempat Makan Best Pantai Morib
Berseronok-seronok di Pantai Morib memang sesuatu yang dinantikan oleh anda yang berkunjung ke sini. Sesudah berseronok tu mesti nak perut lapar nak makan kan? Jangan risau kerana di sekitar kawasan ini banyak je kedai makan yang best. Disebabkan dekat dengan laut, jadi memang banyak kedai menjual menu makanan laut. Akan tetapi, kalau taknak makanan laut pun anda boleh je jumpa makanan lain. Banyak juga pilihan yang boleh dibuat di sini.
Kalau mencari betul-betul dekat dengan Pantai Morib tu tak banyak sangat. Anda akan jumpa lebih banyak pilihan di kawasan Banting yang terletak tak jauh dari Pantai Morib. Ada saja yang di persisiran pantai itu sendiri.
Tempat menarik berdekatan Pantai Morib
Tanjung Sepat
Di sini memang tak banyak benda pun untuk dilakukan selain berjalan-jalan menikmati pemandangan. Tetapi anda bolehlah mendapatkan kopi-kopi yang sedap. Kalau kedai makan halal tu susah sikit nak cari kerana ini merupakan tempat majoriti cina. Tapi, ada je kedai-kedai makanan halal di sini kalau anda nak cuba.
Bukit Jurga
Bukit Jurga terletak lebik kurang 13km dari Pantai Morib ini memang terkenal dengan rumah api. Bukit ini sering dijadikan tempat mendaki bagi kaki daki di kawasan Kuala Lumpur dan Shah Alam. Anda boleh menikmati pemandangan cantik di puncak bukit Jurga. Pulau Carey boleh dilihat daripada puncak bukit ini. Salah satu aktiviti yang paling seronok ialah paragliding yang boleh didapati di bukit ini. Memang best dapat terbang di awang-awangan. Di sini juga ada muzium untuk anda kunjungi selain daripada istana dan masjid yang cantik.
Pulau Carey
Pulau Carey yang terkenal dengan kampung orang asli juga merupakan salah satu destinasi terkenal bagi pengunjung yang ke Pantai Morib. Anda boleh melakukan lawatan ke Perkampungan Budaya Mah Meri untuk melihat sendiri cara hidup orang asli Selangor ini. Anda cuma perlu membayar lebih kurang RM5 untuk masuk ke perkampungan ini. Ada kedai cenderamata dan persembahan yang boleh anda lihat ketika di kampung ini.
Selain itu, anda juga boleh pergi ke Tanjung Rhu yang terletak di Pulau Carey. Di sini juga selalu dijadikan tempat beriadah seperti berkelah. Memang cantik tau Tajung Rhu ni. Tak berapa ramai sangat orang yang pergi ke pantai ini kerana kebanyakkannya pergi ke Pantai Morib je.
Maklumat tambahan
Parking
Tempat letak kereta di sini memang banyak dan mudah dicari lagi-lagi kalau anda pergi pada waktu tak ramai orang. Anda boleh letak kereta secara percuma di kawasan parking yang disediakan. Jika anda datang ketika ramai orang dan susah nak jumpa parking, anda jangan pula double park dan menggangu lalu lintas di sini ya. Akan tetapi, memang jarang-jarang berlaku perkara ni. Biasanya memang banyak je tempat letak kereta.
Kalau taknak pun, anda boleh letak kereta di hotel tempat anda menginap dan berjalan kaki sahaja ke pantai. Lagi best kalau anda parking jauh sikit dan jalan-jalan di pantai sambil menikmati angin pantai.
Waktu terbaik untuk pergi
Pantai Morib ni pada waktu cuti sekolah dan cuti umum memang penuh dengan pengunjung yang ingin bersantai dan menenangkan fikiran. Oleh itu, kalau anda nak feeling pantai tu anda punya, datanglah pada hari yang bukan cuti tau. Tapi, kalau anda suka tengok ramai orang, kanak-kanak berlari di pantai, anda boleh datang ketika hari cuti sekolah ataupun cuti umum.
Pada waktu petang, pemandangan matahari terbenam memang paling cantik untuk dinikmati. Kalau nak mandi di pantai ini, susah untuk pastikan bila waktu yang sesuai kerana keadaan cuaca dan gelora air yang tidak menentu.
Kemudahan
Kemudahan di Pantai Morib ni boleh dikatakan lengkap kerana memang banyak kemudahan yang ada untuk para pengunjungnya. Di sini ada tandas dan tempat mandi untuk anda bersihkan diri selepas mandi di pantai sebelum pulang. Food court juga ada di sini yang memudahkan anda untuk mencari makan selain daripada pergi ke kedai-kedai makan lain. Memang mudah nak cari makan di pantai ini. Padang untuk anda bermain layang-layang dan bola sepak juga ada disediakan. Luasnya cukup untuk orang awam datang beramai-ramai untuk beriadah.
Selain itu, kalau anda nak makan-makan dan duduk ada banyak je kerusi serta gazebo yang boleh anda gunakan. Tidak dilupakan, surau juga ada. Jadi, anda tak perlu solat bersepah-sepah di kawasan ini. Taman permainan juga ada untuk kanak-kanak bermain yang terletak bersebelahan dengan food court.
Peta Lokasi
Pantai ini terletak lebih kurang 20 minit daripada Banting. Kalau dari Kuala Lumpur dan Shah Alam, perjalanan biasannya mengambil masa melebihi 1 jam, biasanya memang tak sampai 2 jam pun. Jadi, memang tak jauh sangat pun pantai ini bagi anda yang duduk di KL dan Shah Alam.
Kalau anda mencari idea nak bercuti tepi pantai di hujung minggu, bolehlah ke sini. Waktu hujung minggu memang best kalau ke Pantai Morib dengan keluarga dan anak-anak buat BBQ di tepi pantai dan melihat mentari terbenam. Selamat menikmati percutian anda ke Morib!
petang selalu mendung nk hujan., ;p
InshaAllah bole pergi bawak family and kawan2.
Saya nak tanya, macam mana nak dapat kebenaran untuk membersihkan pantai morib? Kami ada projek sukarela nak membersihkan pantai morib
boleh je pergi bersihkan kot..bagus aktiviti tu
InshaAllah, boleh pergi ke Morib bawak anak2
Minggu lepas ke pantai bagan lalang, insyaAllah lepas ni plan ke Morib pula la..