Pantai Batu Buruk – Paling BEST Untuk Singgah

Terengganu, negeri yang banyak warisan kesenian, makanan-makanan laut yang sedap, dan sudah semestinya pantai-pantai yang dijaga baik oleh semua penduduk negeri itu. Salah satu pantai dekat Terengganu, Pantai Batu Buruk kekal jadi destinasi yang popular kalau pengunjung dari negeri lain datang ke Terengganu untuk bercuti seiisi keluarga. Dengan lokasi semulajadinya yang terletak dekat dengan semua destinasi lain yang memang harus dilawati pengunjung, tak rugi kalau Pantai Batu Buruk disinggah dahulu.

Sampai sahaja dekat Pantai ini, anda akan teruja tengok pelbagai aktiviti menarik yang boleh buat dekat sini, contohnya main layang-layang dan pergi beli makanan yang dijual di tepi pantai. Sebagai penginapan paling dekat dengan pantai, banyak saja hotel-hotel yang ada. Makanan pun tak perlu jalan jauh nak dapatkan, jalan kaki pun boleh.


Aktiviti Menarik di Pantai Batu Buruk

Buaian

Siapa yang memang dari dulu ada hasrat nak pergi Pantai Batu Buruk mesti tahu dekat sini ada buaian panjang yang bukannya satu, malahan berterabur buaian dekat sekitar pantai. Sesiapa yang nak post gambar dekat Instagram seorang ke, dengan keluarga ke dekat buaian ni, memang spot yang cantik sangat. Lagi-lagi bila waktu dah senja, menyempat la dulu ambil gambar depan matahari terbenam sebelum bergegas pergi solat Maghrib.

Hati-hati ya masa gunakan buaian, takut terjatuh pula kalau ganas sangat. Ingat, buaian dia diperbuat daripada kayu, bukan bahan yang kukuh macam besi.

Berkelah

Memang best kalau berkelah tepi pantai, lagi-lagi kalau tepi Pantai Batu Buruk. Sebabnya, terlampau banyak gerai makan dekat sini, jadi anda tak perlulah nak risau kalau tak bawak makanan berkelah dari rumah ke, hotel tak bagi masak ke. Datang je ke pantai terus, beli makanan dekat sini dan support-lah abang-abang kakak-kakak kita yang menjaja. Lepas dah beli, bentang tikar makan sama-sama satu keluarga. Baru syok!

Lepas dah siap makan, pastikan semua sampah buang di tong sampah yang disediakan. Tong sampah banyak, tak perlu risau. Kalau tak ada tong sampah pun, kita kena bertanggungjawab bawa balik sampah dan buang tempat lain.

Main Layang-layang

Kalau anda jalan dekat Pantai Batu Buruk mesti anda sedar betapa banyaknya layang-layang yang dijual dekat sini. Apa lagi, memang tersedia untuk anda main, jadi belilah satu ke dua ke, main dengan keluarga . Angin dekat pantai memang kuat, jadi memang akan naiklah layang-layang semua, tinggal anda kena lari dan kawal je.

Lagi satu, layang-layang dekat sini comel-comel belaka. Ada corak kartun macam Angry Bird, ada Kungfu Panda, memang teruja anak-anak main nanti. Kalau untuk mak ayah pula, bolehlah beli corak tradisional batik ataupun corak burung.

Naik ATV

ATV ni sebenarnya satu sukan lasak yang selalunya bawa dekat kawasan berbukit atau kawasan hutan. Kalau naik ATV dekat pantai, bukan ke pengalaman itu lagi seronok dengan pemandangan laut lagi, lepastu dengan angin memang kuat, sejuk. Mesti ada yang dah lama nak naik ATV tapi tak tercapai, jadi anda cubalah dekat Pantai Batu Buruk.

Kalau ikut harga termurah, ATV ini RM15 untuk naik seorang bergantung juga kepada waktu yang anda pergi. Mungkin bagi sesetengah orang memang harganya sangat berbaloi untuk sukan yang mencabar, maka, tak rugi kalau anda cuba sekali, atau mungkin berkali-kali.

Naik Tram

Tram ini paling sesuai kalau mak ayah dengan anak kecil rasa penat untuk berjalan jauh. Sambil uncle tram bawa keliling pantai, mak ayah bolehlah rehat-rehat, anak-anak pula mesti teruja dapat naik kenderaan macam itu. Dua-dua pihak dapat kelebihan masing-masing.

Sambil-sambil ada dalam tram, anda juga boleh survey sekeliling Pantai Batu Buruk kalau-kalau berkenan nak beli dekat warungmana-mana ke, survey tandas dekat mana. Macam ini senanglah kerja tak perlu patah balik banyak kali sebab dah tahu dekat mana semuanya.


Penginapan di Pantai Batu Buruk

Sumai Hotel Apartment

Nak hotel yang dekat dengan Pantai Batu Buruk dengan kolam renang? Datang tempah bilik dekat Sumai Hotel Apartment, sebab sini ada kolam renang indoor, selesa dengan jenis tertutupnya. Yang nak sarapan free sebab malas cari dekat luar boleh tempah antara 5 jenis bilik: studio, suite, atau superior apartment dan deluxe apartment dengan 2 ke 3 bilik dan 2 bilik air. Untuk mereka yang selalu geram kalau hotel tak ada sedia selipar tandas, jangan risau sebab dekat sini lengkap semuanya. Seterika juga disediakan, dan khas untuk yang tak bawa kereta ke, penat nak memandu ke, boleh guna servis teksi dekat sini. Jauh Pantai Batu Buruk dari sini ialah 1.4 kilometer, kalau nak ke Masjid Abidin pun sama.

Semak harga

Permai Hotel Kuala Terengganu

Sangat dekat ya Permai Hotel dengan Pantai Batu Buruk, sebabnya 590 meter saja jauh dia. Walaupun namanya hotel, seni binanya masih nampak tradisional dengan bumbung berkonsepkan negeri Terengganu. Mungkin di luar nampak gaya lama, tapi sekali masuk dalam, memang terasa aura berkelas dari segi kolam renang outdoor-nya, lepas itu dengan kedai kopi dia sendiri, siap ada gim lengkap lagi. Wi-fi dekat sini percuma, air mineral pun percuma, jadi tak perlu risau pasal kemudahan dekat sini. Siapa nak pergi makan tapi taknak jauh-jauh, makan saja dekat Restoran Cahaya hotel punya. Kalau jalan dalam 3.2 kilometer, boleh sampai Pasar Payang. Dekat pasar belilah keropok lekor ori Terengganu ke nak beli kain songket pun boleh.

Semak harga

Primula Beach Hotel

Taraf hotel ini 4 bintang, jadi anda pun tahu mesti servis, staf, dengan kemudahan dia semua mantap-mantap belaka. Daripada 245 bilik yang ada dekat sini, pilihlah satu yang sesuai dengan anda, nak pemandangan laut ke, nak jauh dari matahari ke, pilih je. Primula Beach Hotel pun ada gim, tambah pula dengan perkhidmatan urut untuk siapa yang nak cuba. Kolam renang outdoor dekat sini memang luas sungguh dengan reka bentuknya yang berlikur-likur bak taman tema air. Kalau nak tambah lagi apa yang best-nya dekat hotel ini, mestilah kena cakap pasal restoran yang ada. Semua tetamu boleh pergi sarapan masakan Halal dekat restoran setiap pagi dan kalau nak makan waktu biasa pula, pilihlah dari menu berbentuk bufet atau ala carte. Pulau Batu Buruk boleh anda jumpa dalam 1.4 kilometer dari sini, dan nak ke pusat bandar pula, jauh dia 1 kilometer saja.

Semak harga


Tempat Makan Sekitar Pantai Batu Buruk

Walaupun banyak gerai makanan yang ada di keliling Pantai Batu Buruk, kadang-kadang pengunjung nak juga makan makanan berat yang tak ada dijual dekat gerai-gerai makan itu. Lagi-lagi bila dah waktu malam, mesti nak makan malam makan nasi atau masakan panas di kedai. Sebab itulah, ramai peniaga yang mendirikan kedai makan sedap-sedap dekat dengan pantai ini.

Anda boleh pilih nak menu apa, dari makanan laut yang memang segar-segar dekat Terengganu, nak makan barat, nak makan makanan utara ke, semua ada. Jalan sikit dari pantai, mesti dah jumpa satu restoran. Jalan sikit lagi, jumpa dua tiga restoran lagi.


Tempat Menarik Berhampiran Pantai Batu Buruk

Pusat Budaya Kraf Terengganu

Negeri Terengganu yang kaya dengan warisan seni turun-temurun ini memang memerlukan pelancong tidak kiralah yang dari Malaysia ataupun dari luar negara untuk melihat sendiri bagaimana seni mereka dihasilkan. Sebab itulah, siapa yang berkunjung ke sini boleh lihat pekerja-pekerja menenun songket, melukis batik dan juga pergi tengok muzium yang khas diletakkan hasil-hasil kraf itu. Kalau pengunjung rasa hasil seni itu cantik dan mahu bawa pulang sebagai cenderahati, belilah dari pilihan yang berbagai, dari tembaganya, bekas letak lilinnya, pasu, ataupun yang suka hiasan tradisional, boleh beli tikar mengkuang. Pusat Budaya Kraf ini terletak hanya 11 minit dari Pulau Batu Buruk, jadinya lepas ke pantai boleh saja terus ke sini. Untuk yang nak datang ke sini, ia dibuka dari jam 10 pagi sampai 5 petang setiap hari, kecuali Hari Jumaat. Dari selatan Kuala Terengganu, jarak ke sini hanya 8 kilometer.

Kompleks Kraf Noor Arfa

Dekat sinilah pengunjung boleh rasa sendiri pengalaman mencanting batik dengan tangan sendiri. Tak kiralah untuk kanak-kanak ke, untuk dewasa ke, semua akan dapat kit batik masing-masing ikut kesesuaian. Tapi untuk yang dewasa, anda boleh cuba tahap yang lagi tinggi, di mana anda boleh canting batik atau mengecap batik guna alatan yang ada. Dekat mana lagi nak dapat pengalaman macam ni kalau bukan Kompleks Kraf Noor Arfa? Kalau kanak-kanak sedih tak dapat canting batik, jangan risau sebab dekat sini pun ada zoo mini. Bawaklah anak-anak kecil bagi makan dekat haiwan-haiwan dan belai haiwan itu dengan harga permulaan serendah RM2. Kompleks ini dibuka dari jam 8:30 pagi sampai 6 petang hari Isnin hingga Khamis, hingga jam 1 petang dan sambung pukul 2 hingga 5:30 untuk Jumaat. Hari Sabtu dengan Ahad, buka dari 8:30 pagi sampai 6:30 petang.

Masjid Tengku Tengah Zaharah 

Dari pusat bandar Kuala Terengganu, anda boleh jumpa masjid ini dalam 4 kilometer sahaja. Apa yang sangat menarik dan indahnya pasal masjid ini ialah, kedudukannya yang terapung di atas air. Mestilah dengan bantuan tiang-tiang yang kukuhkan dia atas Sungai Ibai. Dengan betapa besarnya dan cantik seni bina luaran dan dalaman masjid ini, mesti senang saja pengunjung boleh jumpa dan pergi menunaikan ibadah di sini. Sambil-sambil berjalan ke saf, confirm semua terpegun dengan keunikan Masjid Tengku Tengah Zaharah, dengan terapungnya, dengan reka bentuknya, dengan air dibawahnya lagi. Kalau nak tahu betapa luasnya dalam masjid, 1000 orang boleh masuk solat dalam satu masa. Sebagai privasi dan menjaga aurat makmum perempuan, ruang solat perempuan berada dekat tingkat atas.


Maklumat Tambahan

Tempat letak kereta

Parking dekat sini memang best sebab kawasan lapang walaupun betul-betul tepi jalan besar. Sudahlah parking percuma, memang banyak ruang untuk anda letak kereta, motosikal pun apatah lagi. Bila dah parking, memang keluar-keluar kereta dah dapat jejak atas pasir pantai.

Parking pun bukan sahaja satu baris, tapi boleh parking lagi setentang kawasan menghadap pantai. Lepas letak kereta pun boleh terus jenguk apa yang peniaga sekitar pantai jual.

Waktu terbaik untuk pergi 

Selalunya, ramai yang ada masa untuk bercuti dengan keluarga ke pantai dalam musim cuti sekolah atau cuti biasa. Percayalah, dalam waktu ini memang sangat ramai pilih untuk datang ke Pantai Batu Buruk. Untuk ke destinasi popular ini, eloklah datang sewaktu hujung minggu atau hari minggu biasa kalau kelapangan.

Bila dah sampai Terengganu, eloklah pergi ke pantai waktu cuaca tidak panas terik sebab kemungkinan dapat sunburn sangat tinggi. Waktu pagi lepas subuh atau waktu betul-betul sebelum senja mungkin jadi waktu yang ideal untuk pergi.

Kemudahan

Dekat sini tak perlu risau kalau tiba-tiba rasa mahu ke tandas sebab dah tersedia tandas awam sekitar kawasan pantai. Untuk anak kecil yang tak cukup besar untuk naik ATV saiz biasa, boleh pergi dekat dataran ATV untuk kanak-kanak juga. Selain dataran itu, ada juga taman permainan yang cukup besar untuk anak-anak bermain tanpa perlu berebut-rebut dengan kawan-kawan sebaya yang lain.

Sambil perhatikan anak-anak seronok bermain dekat taman, mak ayah boleh duduk berehat sebentar dekat gazebo yang besar. Kalau dah lapar dan tak larat nak pergi restoran-restoran lain, bolehlah pergi ke medan selera yang jauhnya 1 minit sahaja dari pantai.

Peta lokasi

Dari highway Paloh, jauh Pantai Batu Buruk hanyalah 9.4 kilometer. Untuk yang datang dari Kuala Lumpur, memang agak jauh dan lama perjalanan dia, nak dekat 5 jam juga. Dah sampai Kuala Terengganu nak ke sini pula, 7 minit sahaja.

Lokasi | Jarak


Siapa yang memang bercadang ke Terengganu bolehlah datang singgah Pantai Batu Buruk. Penginapan pun banyak yang selesa, makanan pun apatah lagi, memang sedap dan pelbagai. Anda tak akan rasa menyesal sekali dah sampai dekat pantai ini, mesti rasa gembira bila balik.

4.4/5 - (13 votes)

Anda Mungkin Berminat

TOP 30+ Tempat Menarik di Kuala Terengganu – Panduan Bercuti di Bandar KT

Kuala Terengganu merupakan satu daerah yang agak besar dan di dalam daerah inilah terletaknya ibu negeri Terengganu iaitu Bandar Kuala Terengganu atau lebih sinonim...

10 Homestay di Kuala Terengganu – Menarik dan Mesra Bajet

Kuala Terengganu merupakan sebuah bandaraya dan ibu negeri pentadbiran negeri Terengganu Darul Iman. Terletak kira-kira 500 kilometer di timur laut Kuala Lumpur dan mengadap...

Chef Lek Kolam Seafood

Kedai makan Chef Lek Kolam Seafood ni terletak di dalam daerah Kuala Terengganu dan kalau korang selalu lepak kat Dataran Shahbandar, haa memang dekat...

13 Kafe Best Wajib Serbu di Kuala Terengganu!

Terengganu terkenal dengan keindahan pantainya dengan air membiru dan pasir putih yang terbentang di sepanjang pesisir pantai. Negeri pantai timur ini juga sering mendapat...

Masjid Kristal Terengganu – Ikon Pelancongan Kuala Terengganu

Masjid Kristal Terengganu merupakan salah satu masjid yang unik dan mempunyai personalitinya yang tersendiri. Selain itu, ia juga merupakan salah satu tarikan pelancongan utama yang ada...

Ikan Celup Tepung Terengganu yang Sedap

Kalau melancong atau bercuti ke Terengganu, salah satu menu makanan santai popular di sini ialah ICT atau nama panjangnya Ikan Celup Tepung. Kalau di...

3 KOMEN

Subscribe
Notify of
guest

3 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Flower red
Flower red
5 years ago

Nak tanya .. buaian yg dekat Pantai buruk tu dah takde ke

Fakru
Fakru
6 years ago

Maaf bertanya…di pantai baru buruk…adakah dibenarkan untuk kami berkhemah berkereta? (CamperVan)

Mat Dok Dang
Mat Dok Dang
5 years ago
Reply to  Fakru

rasanya tiada masalah selagi tak menggangu orang awam….dekat pantai ni selalu ada orang boleh kata 24 jam sbb pantai dalam bandar kt…

Hubungi Kami

3
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x