Isi Kandungan
Muzium Setem Melaka yang terletak hanya beberapa meter dari Kota A Famosa ini merupakan sebuah bangunan lama yang telah dibina sejak era penjajahan Belanda. Kalau anda berjalan kaki melalui Jalan Kota menuju ke Kota A Famosa dari Dataran Stadthuys bolehlah singgah sekejap di muzium ini untuk melihat pelbagai informasi sejarah menarik tentang setem & dunia pos surat menyurat.
Muzium lama yang sangat unik ini mempunyai ciri-ciri senibina Eropah manakala atap & tingkapnya pula lebih kepada elemen seni tempatan. Bangunan ini dibina dengan menggunakan kemahiran pertukangan tenaga buruh Melayu & Cina tempatan.
Waktu operasi & harga tiket Muzium Setem Melaka
- Harga Tiket:
- Dewasa: RM 3.00 / seorang
- Kanak-kanak: RM 2.00 /seorang
- Waktu Operasi:
- Selasa – Ahad: 9.00 pagi – 5.30 petang
- Cuti: setiap Isnin & Hari Raya Aidilfitri pertama
- Cuti sekolah: dibuka setiap hari
- Lokasi: Google Map
- Alamat: Jalan Kota, 75000, Bandar Hilir Melaka
- Masa lawatan: 10 minit
Sejarah Muzium Setem Melaka
Seperti di kebanyakan bangunan muzium bersejarah di Melaka yang lain, bangunan yang menempatkan Muzium Setem Melaka ini juga mempunyai sejarah lampaunya yang tersendiri. Bangunan ini dibina sejak era penjajahan Belanda yang mana ianya dijadikan tempat kediaman pegawai Belanda. Ketika era Inggeris pula, bangunan ini juga masih dikekalkan sebagai tempat kediaman pegawai Inggeris.
Bangunan lama berwarna putih ini dahulunya dikenali dengan Sekolah Gambar atau Muzium Lama Melaka. Selepas Perang Dunia Kedua bangunan ini telah ditinggalkan sebelum ianya dijadikan sebuah muzium serta bangunannya diwartakan sebagai sebuah monumen lama oleh Jabatan Muzium & Antikuiti.
Koleksi setem & sampul surat terawal
Sebaik melangkah masuk ke muzium setem ini, pengunjung boleh membaca banyak informasi & infografik yang menceritakan bagaimana dunia surat menyurat & setem ini bermula dan di mana ianya berasal. Sebaik memahami dengan kewujudan sistem setem ini barulah anda boleh ke galeri seterusnya untuk melihat koleksi-koleksi setem lama yang ada di sini.
Walaupun bangunan muzium ini tidaklah terlalu besar & mungkin mengambil masa untuk melawat kesemua galeri secara santai-santai lebih kurang 10 minit, namun bilangan koleksi setem lama sehinggalah yang terkini yang ada di sini boleh mencecah sehingga ribuan bilangannya. Antara yang paling menariknya, pengunjung boleh melihat pelbagai koleksi sampul surat & setem asal dan pernah digunakan di Tanah Melayu sejak hari pertama kewujudan sistem ini.
Diorama tiga zaman cara pos surat
Melihat gambar & informasi bertulis semata mata mungkin agak membosankan. Jadi, untuk menambahkan keunikan tarikan yang ada di Muzium Setem Melaka ini, terdapat beberapa diorama yang menceritakan era-era perjalanan cara pos surat zaman dahulu sehinggalah sekarang. Ramai yang tidak tahu betapa susahnya nak menghantar hanya sepucuk surat pada zaman dahulu melalui darat & udara.
Selain itu, di sini juga ada menempatkan beberapa alat lama yang menjadi sebahagian daripada fungsi sistem pos Tanah Melayu satu ketika dahulu seperti alat penimbang, peti besi, basikal, pakaian uniform lama & sebagainya. Walaupun bilangan koleksi alat lama sebegini tidaklah terlalu banyak namun ianya sangat unik dan susah untuk dilihat di tempat lain. Mungkin anda boleh melihat alat-alat sebegini di dalam movie Melayu yang warna gambar videonya masih hitam putih.
Koleksi setem lama tahun 1955-2003
Kalau anda seorang yang suka kumpul setem lama, salah satu ruangan di dalam Muzium Setem Melaka ini yang pasti menjadi lokasi paling lama anda menghabiskan masa adalah di satu rak fail simpanan yang menempatkan koleksi setem-setem lama dari tahun 1955 sehinggalah ke tahun 2003.
Cara simpanan setem-setem sebegini dengan jilid failnya yang boleh ditarik masuk memudahkan pengunjung untuk mencari setem-setem pada tahun yang dikehendaki dengan lebih mudah. Dan yang penting koleksi setem-setem usang di sini adalah asli & bukannya dicetak semula.
Setem negeri-negeri Tanah Melayu
Walaupun nama muzium ini khusus untuk negeri Melaka, namun bukan bermakna hanya sejarah setem negeri Melaka sahaja yang ada di sini. Terdapat juga di satu ruangan yang menempatkan puluhan jenis setem lama yang diguna pakai di negeri-negeri lain di Tanah Melayu termasuk di Sabah & Sarawak.
Selain itu, terdapat juga ruangan yang menempatkan informasi tentang setem dari negara luar seperti Penny Black yang lengkap dengan informasi sejarahnya untuk rujukan pengunjung. Itulah dia sebahagian daripada apa yang boleh anda dapati kalau melawat Muzium Setem di Melaka ini.
Sekiranya anda bercadang melakukan lawatan sambil belajar untuk institusi pembelajaran, sangat dicadangkan untuk pertimbangkan destinasi ini untuk dijadikan sebahagian daripada jadual lawatan anda kalau bercuti ke Melaka.
Memang susah nak cari galeria setem lama di tempat lain yang mempunyai koleksi setem unik & antik sebegini banyak. Semoga memberi anda beberapa idea berguna tentang apa yang menarik di Muzium Setem Melaka ini untuk lawatan anda kelak. Sekian & Wassalam.
Saya ada 1 album setem lama nak d jual