Isi Kandungan
Pulau Pinang mempunyai banyak pengaruh budaya campuran dalam kalangan masyarakat Cina & juga India yang secara tidak langsung mempengaruhi senibina bangunan-bangunan di sini. Salah satu senibina kebanggaan yang turut menjadi mercu tanda Penang ialah Masjid Kapitan Keling yang terletak di tengah-tengah bandar di Jalan Masjid Kapitan Keling. Lokasinya juga hanya bersebelahan dengan restoran terkenal di Penang iaitu Restoran Nasi Kandar Beratur.
Alang-alang anda dah bercuti ke Georgetown jangan pula tak singgah untuk melihat keunikan dan kecantikan masjid ikonik di Penang ini.
Sejarah Masjid tertua di Penang
Masjid Kapitan Keling ini merupakan masjid yang tertua di Pulau Pinang yang siap dibina pada tahun 1801 lagi. Oleh kerana pada masa itu Pulau Pinang merupakan salah satu pusat perdagangan terkenal di Selat Melaka, maka banyak orang luar yang datang ke Penang untuk berdagang dan salah satunya ialah masyarakat Chulia dari selatan India yang juga merupakan Tamil Islam.
Masyrakat Chulia adalah antara penduduk yang kian bertambah di Penang untuk aktiviti perdagangan rempah ratus & kain pelikat. Lantaran pada suku abad 18 Syarikat Hindia Timur telah membina masjid ini bagi memenuhi keperluan ibadat masyarakat India Muslim di sini.
Lokasi strategik Masjid Kapitan Keling
Lokasi masjid ini yang mudah diakses dan terletak dengan beberapa tarikan pelancongan utama lain di Penang menjadikan destinasi ini sering menjadi tumpuan para pelancong baik dalam ataupun luar negara. Hanya 5 minit memandu dari beberapa tempat menarik di Penang yang lain seperti Padang Kota Lama & Fort Cornwallis. Berjalan kaki ke sini juga sangat mudah kerana ada laluan jalan kaki & papan tanda sebagai petunjuk arah. Selain itu, pelancong juga boleh melihat senibina bangunan di sini yang tidak kurang menariknya sebelum sampai ke Masjid Kapitan Keling.
Senibina Masjid Kapitan Keling
Senibina Masjid Kapitan Keling di Penang ini bukanlah seperti struktur bangunan asalnya pada tahun 1801. Masjid ini telah menjalani beberapa fasa penambahbaikan dari segi struktur binaan dan juga rekabentuk. Namun ianya masih mengekalkan ciri-ciri senibina Islam dengan elemen-elemen kesenian India. Masjid yang ada sekarang dibina pada tahun 1906. Â Tapak masjid & perkarangannya yang sekarang telah menjadi kecil kerana pembangunan pesat disekelilingnya yang memaksa sebahagian tanah masjid yang asalnya 18 ekar diambil untuk pembinaan rumah-rumah & jalan awam.
Masjid yang cantik & terjaga
Sekiranya anda melancong Pulau Pinang bolehlah singgah di sini untuk solat. Kemudahan tandas & tempat solat sangat terjaga bersih. Memandangkan masjid ini sering menjadi tumpuan pelancong, maka segala sumber informasi & sejarah perjalanan masjid ini tersedia. Penggunaan kolah sebagai tempat mengambil wudhu’ masih dikekalkan walaupun masjid ini telah banyak melalui fasa pembaikan.
Pelancong juga boleh melihat lakaran gambar yang menunjukkan senibina & struktur asal masjid ini di perkarangan masjid. Tidak hairanlah, bukan sahaja orang Islam yang datang ke sini untuk bergambar malah ada juga pelancong bukan Islam yang dilihat bergambar untuk dijadikan kenang-kenangan. Perjalanan sejarah lebih 200 tahun tentang masjid ini memang sangat menarik yang kini tidak putus-putus menerima kunjungan jemaah & pelancong.
Solat Isyak & dinner di Restoran Nasi Kandar Beratur
Dicadangkan sangat untuk singgah solat Isyak berjemaah di Masjid Kapitan Keling dan sesudah solat, bolehlah pula mencuba nasi kandar yang popular di Penang iaitu di Restoran Nasi Kandar Beratur yang operasi perniagaan bermula pada jam pukul 10 malam. Walaupun Nasi Kandar Beratur dibuka pukul 10 malam namun anda boleh lihat bermula jam 9 malam memang dah ramai yang menunggu. Jangan pula terkeliru kerana perniagaan di restoran ini untuk siang dan sebelum pukul 10 malam adalah peniaga yang berlainan.
Akhir kata, selamat menunaikan kewajiban anda di Masjid Kapitan Keling dan jalan jalan cari makan di restoran sekitarnya. Wassalam.