Utama Aktiviti Menarik Malaysia Aktiviti Menarik Selangor 14 Lokasi Menarik Utk Hiking & Jungle Trekking Di Selangor & KL

14 Lokasi Menarik Utk Hiking & Jungle Trekking Di Selangor & KL

1
58043
Featured image Bukit Broga

Apabila berbicara mengenai negeri Selangor sudah tentu anda akan terbayang akan kesibukan kota. Namun, adakah anda tahu bahawa Selangor juga sebenarnya penuh dengan destinasi pelancongan serta kaya dengan alam semula jadi? Jangan terkejut pula jika sebenarnya Selangor mempunyai banyak tempat hiking dan jungle trekking yang best untuk anda.

Tak rugi jika anda ingin meluangkan hujung minggu bersama keluarga untuk menghilangkan tekanan setelah penat bekerja. Untuk memudahkan anda meneroka negeri Selangor teruskan membaca hingga ke hujung kerana kami telah menyenaraikan 14 destinasi menarik di Selangor untuk hiking dan jungle trekking. Mana tahu ada yang berkenan di hati anda?


1. Bukit Chenuang

Cari Destinasi Bukit Chenuang

Bukit Chenuang yang terletak di daerah Hulu Langat, Selangor merupakan destinasi yang wajib dikunjungi bagi hikers. Mengambil masa dalam 3-4 jam untuk sampai ke puncak kerana ketinggian Bukit Chenuang ialah 2788 kaki (840 meter) dari paras laut. Untuk masuk ke dalam Bukit Chenuang anda perlu memandu sepanjang 1.5 KM dari Sungai Congkak.

Anda boleh memarkir kereta di pintu hadapan dan berjalan kaki namun sekiranya anda ingin membawa kereta masuk, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM15. Di dalam Hutan Lipur Sungai Congkak ada kemudahan seperti tandas dan bilik, chalet, rest house dan gerai yang menjual pelbagai makanan. Jadi bolehlah anda mengalas perut sebelum mendaki. Tak lupa juga, anda harus membayar permit masuk sebanyak RM 1. Jangan lupa sediakan wang kecil ya?

Alamat: Sungai Congkak, 43100 Hulu Langat, Selangor.

Bayaran Masuk: 

  • Parkir Dalam (RM15)
  • Permit (RM1)
  • Tandas (RM0.50)
  • Bilik Air (RM 1.00)

Waktu Operasi: Setiap hari

Lokasi | Ulasan Google


2. Bukit Gasing

Cari Destinasi Bukit Gasing

Bukit Gasing juga dikenali sebagai Hutan Pendidikan Bukit Gasing merupakan salah satu kawasan hutan yang masih kekal di tengah-tengah ibu kota. Dahulunya, Bukit Gasing ialah ladang getah namun kini telah menjadi tempat untuk rakyat tempatan dan pelancong untuk hiking. Terletak di sempadan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur menjadikan Bukit Gasing ini mudah di akses. Keluasannya pula adalah sekitar 52 hektar dengan ketinggian 164 meter. Bukit Gasing adalah kawasan yang terpelihara, oleh itu ia masih kaya dengan flora dan fauna.

Begginer juga boleh datang ke sini kerana treknya tidak sukar! Anda boleh sampai ke puncak dalam masa 2-3 jam sahaja. Tetapi apa yang pasti, setelah anda penat mendaki anda akan disajikan dengan panorama pencakar langit di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Lagi best kalau anda pergi seawal pagi sebelum matahari terbit dan sebelum matahari terbenam. Bolehlah anda berswafoto dengan pemandangan yang menakjubkan setelah penat mendaki.

Alamat: 51D, Jalan 5/4i, Bukit Gasing, 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari

Lokasi | Ulasan Google


3. Taman Tugu

Cari Destinasi Taman Tugu

Jika anda ingin lari dari kesibukan bandar Kuala Lumpur tetapi tidak ingin pergi jauh untuk menikmati kehijauan hutan, anda harus ke Taman Tugu. Taman Tugu dibuka untuk orang awam di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur dan dibina untuk memelihara kawasan hijau. Dibuka pada tahun 2018, laluan utama hutan ialah 1 km jadi jika pergi balik anda sudah berjalan 2 km. Yang lebih menarik di sini, bahan binaan dibina daripada bahan kitar semula dan lebih 4000 pokok daripada 250 spesies ditanam untuk mengekalkan kelestarian flora.

Laluan mendaki pula tidaklah sukar. Anda pasti tidak percaya jika seorang kanak-kanak berusia 2 tahun adalah yang paling muda dibawa untuk menerokai alam sekitar di Taman Tugu. Sepanjang perjalanan juga akan ada kemudahan seperti kerusi dan buaian untuk anda berehat. Sambil berehat tu bergambarlah untuk kenangan. Gerai makanan dan tandas juga disediakan. Yang penting anda dapat melakukan aktiviti di dalam hutan Taman Tugu walaupun anda di bandar.

Alamat: Taman Tugu, Pesiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (7 A.M – 6:30 P.M)

Lokasi | Laman Web | Ulasan Google | FacebookEmail  


4. Bukit Broga

CariDestinasi Bukit Broga

Sebut sahaja Bukit Broga pasti semua sudah tahu. Bukit Broga sangat terkenal dalam kalangan hikers sama ada dari begginer hingga lah otai. Senang cerita, jangan mengaku anda hikers jika tak sampai ke sini. Bukit Broga tidak lah begitu tinggi dan tahap kesukaran pendakian ialah sederhana, anda akan sampai ke puncak dalam waktu 40 – 50 minit. Jangan nanti anda terkejut jika ada ibu bapa yang membawa bayi untuk sampai ke puncak kerana treknya yang tidak mencabar.

Masuk ke Bukit Broga adalah percuma. Anda hanya perlu membayar RM 2 untuk parkir kereta. Sebaiknya anda memulakan pendakian seawal 5 pagi untuk melihat matahari terbit dan selewatnya jam 6 petang untuk melihat matahari terbenam. Keindahan panaroma di atas puncak Bukit Broga pula tidak dapat disangkal lagi. Oleh itu, ia menjadi destinasi hiking kegemaran rakyat Malaysia.

Alamat: Jalan Broga, 71750 Semenyih, Selangor

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari

Lokasi | Ulasan Google | Facebook 


5.Taman Rekreasi Lembah Kiara

CARI DESTINASI TTDI

Ramai yang tidak tahu, di kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail terdapat taman yang menjadi tempat beriadah warga Kuala Lumpur. Taman ini merupakan tempat warga kota lari dari kesibukan kota dan masuk pula ke kawasan hutan yang hijau. Taman rekreasi Lembah Kiara terkenal di kalangan kaki hiking di Malaysia. Ini kerana tahap kesukaranya adalah mudah. Sesuai sangat la untuk begginer yang baru nak berjinak dalam sukan yang extreme ini.

Perjalanan ke puncak pula mengambil masa kira kira 2 jam setengah. Trek juga sudah disediakan. Apabila berada di puncak anda pasti akan terpegun dengan pemandangan kota Kuala Lumpur dan lupa akan kepenatan mendaki. Dah sampai puncak jangan lupa pula keluarkan lensa kamera. Kalau tidak rugilah penat-penat mendaki tapi tak ambil gambar. Namun,jika anda berhajat ingin melihat kerdipan cahaya Kuala Lumpur dari puncak pada waktu malam lupakan lah sahaja niat itu. Ini kerana anda tidak dibenarkan bermalam. Pendek kata anda kena turun sebelum hari gelap.

Alamat: Persiaran Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari

Lokasi | Ulasan Google | Phone: 0340470000


6. Templer Park

CariDestinasi Templer Park

Taman Rimba Templer Park merupakan kawasan hutan simpan yang mempunyai 1214 hektar. Untuk sampai ke puncak anda hanya perlu mendaki di Templer Park selama 1 jam bergantung kepada tahap kepantasan anda. Jika anda tidak ingin pulang selepas mendaki, anda boleh bermalam di Templer Park Country Club. Anda dinasihatkan untuk tidak berkhemah atau bermalam di air terjun kerana ada haiwan liar.

Dari pintu masuk utama anda perlu berjalan kaki sepanjang 2 km untuk sampai di air terjun Templer Park. Air terjun ini menjadi tumpuan pengunjung dalam mahupun luar negara kerana airnya yang jernih. Tetapi, harus diingatkan air terjun di Templer Park ini agak dalam jadi bagi ibu bapa yang membawa anak kecil sentiasa awasi anak anda.

Alamat: Jalan Templer 48000 Rawang, Selangor.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari

Lokasi | Ulasan Google | Phone: 011-24197880


7. Sungai Chiling

CariDestinasi Sungai Chiling

Okay seterusnya, kita pergi ke lokasi yang anda boleh lakukan dua aktiviti di tempat yang sama. Tahap kesukaran untuk hiking di Sungai Chiling adalah tidak sukar. Anda perlu mendaki tiga peringkat air terjun dan tahap kesukaran pendakian yang sederhana membolehkan anda untuk sampai ke puncak dalam waktu satu jam. Sepanjang pendakian anda akan mendengar bunyi Air Terjun Sungai Chiling, seronok bukan?

Dah selesai mendaki bolehlah anda turun untuk singgah berenang bersama ikan kelah. Bak kata pepatah ‘sambil menyelam minum air’. Bayaran untuk mandi dengan ikan kelah pula sangat la murah. Hanya RM 1 sahaja. Anda tidak dibenarkan untuk bermalam di sini. Air Terjun Sungai Chiling juga akan ditutup serta merta sekiranya hujan lebat.

Alamat: Santuari Ikan Sungai Chiling, Jalan Syed Mashor,44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor

Bayaran Masuk: RM 1

Waktu Operasi: Selasa, Jumaat, Sabtu & Ahad (8 A.M – 5 P.M)

Lokasi | Ulasan GoogleFacebook | Phone: 0360641214


8. Taman Eko Rimba Bukit Nanas

CariDestinasi TAMAN EKO RIMBA BUKIT NANAS

Sebut sahaja Kuala Lumpur pasti sudah terbayang bangunan pencakar langit KLCC dan KL Tower. Tetapi apa yang lain daripada yang lain di Taman Eko Rimba Bukit Nanas ini, anda boleh melakukan aktiviti hiking tanpa perlu ke hutan. Seronok bukan? Untuk sampai ke puncak pula cuma ambil masa sekitar 30-45 minit.

Taman Eko Rimba Bukit Nanas buka setiap hari tetapi bergantung kepada cuaca. Kalau hari hujan, taman eko ini akan ditutup untuk tujuan keselamatan para pengunjung. Tahap kesukaran untuk hiking di sini adalah mudah. Bolehlah anda hiking bersama seisi keluarga. Paling penting, pakai pakaian yang sesuai dan juga kasut sukan.

Alamat: Lot 240, Jalan Raja Chulan, Bukit Kewangan, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bayaran Masuk:

#1.Warganegara (MyKad/MyKid)

  • Dewasa:
    • RM 10
  • Kanak-Kanak & Warga Emas:
    • RM 1

#2 Bukan Warganegara;

  • Dewasa ;
    • RM 40
  • Kanak-Kanak:
    • RM 10
  • Warga Emas:
    • RM 40

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (7 A.M – 7 P.M)

Lokasi | Laman Web | Ulasan Google | Email | Phone: 0320201606


9. Bukit Jugra

Cari Destinasi Bukit Jugra 

Bukit Jugra yang terletak di Banting, Kuala Langat sentiasa menjadi lokasi tarikan hikers. Ketinggian Bukit Jugra adalah 12 Meter daripada paras laut. Bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia hiking Bukit Jugra memang destinasi yang tepat untuk mendaki.

Dalam perjalanan mendaki puncak, anda akan melihat Pejabat Daerah lama. Bolehlah anda berhenti sekejap untuk membaca info sejarah Kuala Langat. Kan ‘membaca itu jambatan ilmu’. Walaupun Bukit Jugra ni tak begitu tinggi, tetapi pemandangan apabila dah sampai di puncak akan buat anda terpegun. Anda akan dapat melihat rumah api dan Sungai Langat yang mengalir dari Selat Melaka. Dah sampai puncak, jangan lupa selfie!

Alamat: Jalan Bukit Jugra, Jugra, 42700 Banting, Selangor, Malaysia

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap hari

Lokasi | Ulasan Google


10. Bukit Kutu

CariDestinasi Bukit Kutu

Bagi penggemar adventures Bukit Kutu atau dikenali juga sebagai Treacher Hill adalah destinasi yang sesuai untuk aktiviti mendaki. Anda akan mengharungi trek berlopak, dua jambatan gantung dan meredah sungai yang airnya hampir paras lutut. Perjalanan menuju ke puncak Bukit Kutu mengambil masa kira-kira 4 jam dan perjalanan akan bermula dari kawasan perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Orang Asli Simpang. Ketinggian Bukit Kutu untuk sampai ke puncak ialah 1,053 meter daripada paras laut.

Sebelum memulakan pendakian anda perlu membuat permohonan permit di Pejabat Daerah Hulu Selangor. Sepanjang perjalanan korang akan dengar bunyi air mengalir di Sungai Chiling sudah cukup menggambarkan betapa kaki Bukit Kutu adalah destinasi yang menyeronokkan untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan perkelahan. Bolehlah anda ajak kawan-kawan dan keluarga waktu hujung minggu untuk menerokai sesuatu yang baru. Yang penting pemandangan apabila dah sampai dekat puncak akan buat anda terpegun.

Alamat: Bukit Kutu, Kampung Pertak Hulung Selangor, 44000, Selangor.

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Laman Web | Ulasan Google


11. Gunung Nuang

CariDestinasi Gunung Nuang

Gunung Nuang yang terletak di daerah Hulu Langat merupakan destinasi yang kurang popular berbeza dengan Bukit Broga yang memang menjadi pilihan ramai kerana tahap kesukaran untuk mendaki ke puncak Gunung Nuang adalah sangat mencabar. Tidak sesuai untuk beginner dan juga mereka yang langsung tak ada pengalaman hiking. Tapi lain pula untuk orang lama. Gunung Nuang adalah lokasi pilihan dalam kalangan hikers otai.

Anda boleh bermalam dan berkhemah di Gunung Nuang. Suasana dan pengalaman akan menjadi lebih seronok lagi-lagi jika anda pergi bersama kawan rapat anda. Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Nuang ialah 4-6 jam bergantung pada tahap kelajuan dan stamina anda. Kalau anda nak berkhemah di Gunung Nuang anda boleh pilih untuk berkhemah di tapak perkhemahan Kem Pacat ataupun Kem Lolo.

Alamat: Gunung Nuang, Kampung Pungsun, 43100 Hulu Langat, Selangor

Bayaran Masuk: RM1

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Laman Web | Ulasan Google


12. Bukit Saga

CariDestinasi Bukit Saga 

Bukit Saga ini terletak di kawasan perumahan Taman Saga, Ampang. Ketinggian Bukit Saga pula adalah 420 Meter dari aras laut. Trek pula adalah mencabar. Ada kawasan yang tinggi, curam dan licin. Kalau anda baru nak mula pastikan anda pergi bersama orang lama. Untuk sampai ke puncak pula mengambil masa kira-kira 2 jam. Di sini juga ada gerai untuk anda membeli makanan. Bolehlah anda makan ketika sudah sampai di puncak.

Semasa mendaki anda akan melihat ada tempat yang menyediakan kemudahan untuk anda berehat. Ada buaian, hammock dan juga air kosong disediakan secara percuma. Jika anda ingin ke Air Terjun Bukit Saga anda perlu meneruskan pendakian selama 1 jam lagi. Kurang pengunjung di air terjun kerana ramai yang tak sanggup untuk melalui trek yang sukar. Tapi, alang-alang anda dah sampai tu pergi sahaja.

Alamat: 86a, Jalan Saga 28, Taman Saga, 68000 Ampang, Selangor

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Google


13. Bukit Tabur

CariDestinasi Bukit Tabur

Haa bagi anda yang suka hiking, Bukit Tabur adalah pilihan yang tepat untuk anda pergi. Nama lain bagi Bukit Tabur adalah Klang Gates Quartz Ridge. Berkepanjangan lebih daripada 16 km dan dengan kelebaran 200 m menjadikan ia kawasan permatang kuarza yang terpanjang di dunia. Pendakian Bukit Tabur ini memberikan anda pemandangan indah Tasik Hulu Kelang di bahagian utara dan bandar Kuala Lumpur di bahagian selatan.

Selain itu, anda juga dapat melihat mineral kuarza yang terbentuk cantik di sini. Apa-apa pun, kalau anda nak mendaki Bukit Tabur ini, anda mestilah bukan seorang yang gayat, sebab kawasan cerunnya agak curam. Selepas puas melihat pemandangan apa kata kalau anda mandi pula dalam air sungai yang jernih yang terdapat di bawah empangan di sini. Memang best untuk datang bersama keluarga, tapi pastikan anda berpakaian sesuai untuk mendaki dan larat untuk ke puncak yang mencabar dan extreme tu.

 

Alamat: Bukit Tabur, Persiaran Bukit Melawati, 68000, Selangor

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (6 A.M – 7 P.M)

Lokasi | Ulasan Google


14. FRIM Kepong

CariDestinasi FRIM 

Tak nak pergi jauh dari kota untuk masuk hutan? Anda jangan risau. Kini anda boleh hiking di tengah bandar dalam Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Dikenali sebagai Canopy Walk ia ibarat ‘Jungle In The City’. Pendakian untuk sampai ke puncak mengambil masa kira-kira 30-45 minit. Trek yang mudah sesuailah untuk beginner.

Anda digalakkan untuk membeli tiket lebih awal untuk memudahkan proses perjalanan. Sebolehnya, anda tidak usah membawa kanak-kanak kerana tak semua laluan hiking di sini sesuai untuk kanak-kanak. Pemandangan di puncak bergantung pada keadaan cuaca. Jadi jika anda hendak pergi mendaki di sini pastikan anda tidak pergi masa musim tengkujuh. Kalau tidak, rugi sahaja.

Alamat: Jalan Frim, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, 52109 Kuala Lumpur, Selangor

Bayaran Masuk:

#1.Warganegara (MyKad/MyKid)

  • Dewasa:
    • RM 1.00
  • Kanak-Kanak/Pelajar(13 tahun keatas) :
    • RM 1.00
  • Kanak-Kanak/OKU/Pelajar(Berpakaian seragam & belajar di Malaysia sahaja:
    • Percuma

#2 Harga untuk Bukan Warganegara;

  • Dewasa ;
    • RM 5
  • Kanak-kanak/Pelajar(Tanpa pakaian seragam):
    • RM 1.00
  • Kanak-Kanak/OKU/Pelajar(Berpakaian seragam):
    • Percuma

#3.Kereta (Sekali Masuk):

  • Taman Botani Kepong:
  • RM 5.00

#4. Motosikal (Sekali Masuk):

  • RM 3.00

#5. Kamera SLR/DSLR D

  • RM5.00

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (8 A.M – 5 P.M)

Lokasi | Laman Web | Ulasan Google | Facebook | Email | Phone: 0362797000


Harap anda dapat memanfaatkan info mengenai tempat-tempat yang disenaraikan sebelum anda memulakan aktiviti hiking. Harus diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan orang yang tersayang. Pastikan peralatan mendaki dan bekalan makanan mencukupi. Jangan lupa juga, jangan tinggalkan sampah anda. Sentiasalah menjaga kelestarian alam sekitar kerana kalau bukan kita siapa lagi? Selamat hiking!

5/5 - (2 votes)
Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Mimpi Laila
1 year ago

Banyak tempat lagi tak sampai. Insyaallah satu hari nanti

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x