Air Terjun Sekayu – Destinasi BEST Mandi Manda di Terengganu

Air Terjun Sekayu merupakan satu tempat mandi manda air terjun yang popular di Terengganu terutamanya mereka yang berada di dalam Daerah Hulu Terengganu, Marang & Kuala Terengganu. Lokasi air terjunnya yang mudah diakses dengan kenderaan melalui kawasan perkampungan menjadikan Air Terjun Sekayu tidak pernah lekang dengan kunjungan orang ramai terutamanya pada hari Jumaat & Sabtu.

Kawasannya yang terletak di dalam Hutan Lipur Sekayu pasti menjanjikan pengalaman yang menarik dengan bunyi-bunyi unggas & aliran air terjun yang deras menjadi kombinasi muzik alam yang enak yang pasti memberi anda ketenangan minda.


Harga tiket & kemudahan lengkap

harga-tiket-air-terjun-sekayu-chalet

Harga tiket masuk ke Air Terjun Sekayu sangat berpatutan seperti di kebanyakan destinasi air terjun lain:

  • Dewasa: RM 2.00 / seorang
  • Kanak-kanak: RM 1.00/ seorang

Waktu operasi untuk berkelah di Air Terjun Sekayu dibuka setiap hari (kecuali musim tengkujuh) bermula jam 8.00 am – 5.00 am.

Kemudahan tempat letak kenderaan yang dikhaskan untuk pengunjung di Air Terjun Sekayu memang sangat luas cukup untuk memuatkan bas. Waktu cuti sekolah memang banyak bas-bas dari institusi pengajian yang datang ke sini untuk mengadakan program-program di Air Terjun Sekayu samaada kem bina semangat ataupun Hari Keluarga.

Destinasi perkelahan di sini memang sangat menyenangkan kerana semua kemudahan awam yang patut ada di sesebuah destinasi air terjun lengkap tersedia untuk pengunjung seperti kawasan letak kereta, gazebo, laluan jalan raya, denai jalan kaki berbata, tandas awam,penginapan, dewan serbaguna & sebagainya. Malah kalau pada hujung minggu (Jumaat & Sabtu) atau ketika musim cuti sekolah, banyak penjaja yang berniaga makanan santai di kawasan parking kereta.


Lokasi Air Terjun Sekayu

 

Nak menuju ke Air Terjun Sekayu dari Bandar Kuala Terengganu juga mudah dan tidaklah terlalu jauh seperti nak ke Air Terjun Chemerong. Lokasinya yang terletak di Kuala Berang mengambil masa kurang lebih 40 minit – sejam memandu dari Bandar Kuala Terengganu. Dari Bandar KT pengunjung kena melalui jalan utama Kuala Terengganu-Kuala Berang. Sekiranya melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) samaada memandu dari Dungun atau KT, boleh keluar di simpang Ajil.

Dari Pekan Ajil terus memandu ke Kuala Berang lebih kurang 10 minit. Sebaik sampai di Kuala Berang melalui jalan utama ini anda akan berjumpa simpang ke kiri menuju ke Hutan Lipur Sekayu yang mana pengunjung perlu melalui jalan kampung kira-kira 15 minit memandu. Jalan kampung ini juga dalam keadaan baik & mudah untuk dilalui samaada dengan kereta, bas ataupun motosikal. Yang hanya menjadi cabaran kalau melalui jalan kampung ini adalah lembu-lembu yang berkeliaran serta tahi lembu di atas jalan raya. Jom baca: Aktiviti Menarik di Marang


Aktiviti menarik di Air Terjun Sekayu

aktiviti menarik hutan lipur sekayu

Air Terjun Sekayu ini merupakan air terjun yang bertingkat dan sangat tinggi. Kalau setiap kali musim hujan deruan air terjun ini yang deras boleh didengari dari kawasan parking kereta lagi. Di setiap tingkat air terjun ini menawarkan lokasi mandi manda yang berbeza, ada yang lapang, ada yang berbatu, ada yang dalam & sebagainya. Sekiranya anda tidak pandai berenang, jangan sesekali mandi di kawasan yang dalam & anda boleh semak papan tanda yang disediakan berkenaan dengan tahap kedalaman air di sesuatu tempat. Di sepanjang Air Terjun Sekayu ini terdapat banyak lokasi lapang & berbatu yang sesuai untuk hamparkan tikar bersantai atau buat bbq.

Di kawasan tadahan air terjun bahagian bawahnya pula lebih sesuai untuk kanak-kanak mandi manda kerana lebih cetek. Tambahan pula air terjun di kawasan bawah sebenarnya sudah cukup kuat untuk anda duduk sambil di’urut’ terapi oleh kederasan air terjun ini. Di sini juga ada menyediakan tapak perkhemahan yang kebiasaannya pada cuti sekolah tidak pernah putus menjadi destinasi kem-kem bina semangat.

Selain itu, deretan chalet kayu di sini juga sangat menarik untuk menginap sekiranya anda inginkan pengalaman bermalam di kawasan air terjun. Pekan terdekat dari Air Terjun Sekayu adalah Bandar Kuala Berang sekitar 10-15 minit memandu dan di sini terdapat lebih banyak pilihan penginapan yang dekat dengan kemudahan asas seperti bank, restoran, stesen minyak dan sebagainya. Sila semak pilihan hotel di Kuala Berang termasuk harga & review orang ramai.


Landskap & tumbuhan hutan menarik

sekayu waterfall resort kuala berang

Ada juga pengunjung yang datang ke sini bukan untuk mandi manda tetapi lebih kepada aktiviti santai & bersiar-siar. Kalau mencari subjek flora fauna menarik di hutan Air Terjun Sekayu juga sangat sesuai untuk mereka yang kaki kamera. Landskap taman-taman hiasan & taman herba di sekitar Air Terjun Sekayu juga terjaga kemas untuk anda bergambar sambil melihat serangga-serangga eksotik hutan yang berkeliaran.

Pengunjung juga boleh melihat banyak pokok-pokok besar yang ditanda dengan informasi berkenaan spesis masing-masing. Dahulunya selepas pintu masuk utama ke Air Terjun Sekayu turut terdapat zoo mini yang menempatkan haiwan-haiwan eksotik dalam sangkar.


Taman tema air mini

tempat mandi manda best terengganu

Di bahagian bawah air terjun juga terdapat sebuah kawasan dengan kolam buatan siap dengan kemudahan gelongsor air yang sesuai untuk kanak-kanak bersuka ria. Sekiranya hari hujan bolehlah singgah di sini & kalau waktu hujung minggu memang ramai budak-budak di kawasan ini yang bermain gelongsor air. Pondok rehat pun ada dan kolam ini lebih selamat untuk kanak-kanak mandi tanpa adanya batu-batuan licin seperti di dalam sungai.


Jangan datang musim terkujuh

air terjun menarik kuala berang

Seperti yang telah dinyatakan tadi, Air Terjun Sekayu merupakan air terjun yang bertingkat & tinggi. Jadi kalau waktu hujan lebat, aliran air boleh menjadi tiba-tiba deras dan berisiko terjadinya fenomena kepala air. Yang canggihnya, Air Terjun Sekayu mempunyai sistem amaran bersiren yang akan berbunyi sekiranya terdapat tanda-tanda risiko kepala air. Tidak kira di mana juga destinasi air terjun sekiranya berlaku hujan walaupun masih renyai-renyai segeralah beredar. Di kawasan anda mandi mungkin air hujan renyai tetapi siapa yang tahu di kawasan hulu sungainya hujan lebat sudah lama turun.

Pada musim tengkujuh yang berlaku pada setiap tahun antara akhir Oktober – awal Mac, destinasi air terjun di Terengganu selalunya akan ditutup untuk kunjungan orang ramai kerana risiko kepala air. Jadi sekiranya anda bercadang nak ke sini atau mana-mana air terjun di Terengganu, sentiasalah ikuti perkembangan terkini di Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Sebaiknya waktu sebegini carilah alternatif aktiviti menarik di kawasan lain. Sila rujuk artikel tempat menarik di Kuala Terengganu ataupun aktiviti menarik di Marang untuk mencari idea lain kalau anda bercuti di kawasan sekitarnya.


Akhir kata, sekiranya anda bercuti di Bandar KT dan inginkan destinasi mandi manda di air terjun yang best, bolehlah ke Air Terjun Sekayu & pastikan elak untuk ke air terjun di Terengganu atau Kelantan pada musim tengkujuh untuk keselamatan. Wassalam.

4.3/5 - (20 votes)

Anda Mungkin Berminat

1 komen

Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Chuah Siew Eng
Chuah Siew Eng
3 years ago

Saya pernah melancong di Hutan Lipur Sekayu pada tahun 1995 dan menghargai khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai. Udara nyaman dan segar, bunyi sungai dan air terjun yang memberangsangkan tidak dapat dicipta manusia. Sedih saya melihat taman tema air dibuat di tempat ini, merosakkan keindahannya.

Hubungi Kami

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x