10 Air Terjun Best di Terengganu – “Konfem” Rugi Kalau Tak Datang!

Terengganu sememangnya dikenali ramai kerana kaya dengan keindahan alam semulajadi seperti pantai dengan pasir memutih serta pulau-pulau yang tersergam indah. Namun, negeri ini juga mempunyai beberapa lokasi air terjun yang tidak kurang hebatnya dan harus dilawati oleh anda semua. Teruskan bacaan anda untuk senarai 10 air terjun best yang mesti rugi anda kalau tak singgah di negeri Terengganu!

10 Air Terjun Best di Terengganu – “Konfem” Rugi Kalau Tak Datang!


1. Air Terjun Chemerong 

Air Terjun Best di TerengganuSumber: Beautiful Terengganu

Air terjun Chemerong merupakan sebahagian dari kawasan Hutan Simpanan Pasir Raja dan terletak di dalam daerah Dungun. Air terjun di sini merupakan antara yang tercantik di Malaysia serta menjadi antara air terjun tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 305 meter.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda lakukan setibanya anda di sini. Anda boleh mandi-manda di kawasan air terjun dengan airnya yang jernih dan sudah pastinya menyegarkan. Anda juga boleh berjalan kaki ke denai-denai hutan yang ada di sini sambil menikmati pemandangan indah alam semulajadi di sini.

Sebelum masuk ke Air Terjun Chemerong, pengunjung juga dikenakan yuran pada kadar serendah RM 2.00 seorang. Lokasi perkhemahan juga disediakan di sini dengan beberapa kemudahan seperti pondok memasak serta tandas awam. Sekiranya anda ingin berkhemah di sini, anda juga perlu mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Jabatan Perhutanan Terengganu. Anda juga harus berwaspada dengan cuaca sebelum mengadakan aktiviti rekreasi di sini kerana fenomena kepala air juga berlaku di Air Terjun Chemerong.

Walaubagaimanapun, Air Terjun Chemerong pastinya menyajikan pengalaman hebat untuk rekreasi alam semulajadi yang harus anda cuba. Rugi kalau anda tidak datang ke sini!

Alamat: Hutan Simpan Pasir Raja, 23000, Dungun, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Laman WebUlasan Pelancong | Phone: 098481404


2. Air Terjun Lasir

Air Terjun Best di TerengganuSumber: Beautiful Terengganu

Rugi jika anda sudah sampai ke Tasik Kenyir tapi tidak singgah ke Air Terjun Lasir. Keunikan air terjun ini adalah laluan akses untuk ke sini memerlukan anda untuk menaiki bot selama 30 minit perjalanan sejauh 16 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi. Sampai sahaja di sini, anda akan disambut dengan deruan air dari ketinggian 500 kaki yang pastinya menjanjikan pemandangan memukau buat pengunjung.

Lokasi air terjun ini mungkin lebih terpencil tetapi kawasannya lebih bersih kerana tidak terdapat terlalu ramai pengunjung. Dasar Air Terjun Lasir dilitupi dengan dedaunan menghijau dari hutan hujan tropika justeru menambah keindahan kawasan ini. Keunikan air terjun Lasir termasuklah di setiap tingkat air terjun ini, akan ada sebuah kolam yang terbentuk secara semulajadi. Jambatan gantung juga menjadi tarikan menarik di sini jadi bolehlah anda bergambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan Air Terjun Lasir.

Walaupun lokasi air terjun ini terpencil, anda tidak perlu risau kerana beberapa kemudahan seperti laluan bertangga, pondok rehat serta tandas awam ada disediakan di sini.

Tidak lengkap percutian anda ke Tasik Kenyir tanpa singgah ke Air Terjun Lasir, rugi ya kalau tak datang ke sini!

Alamat: 21700, Kuala Berang, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong 


3. Air Terjun Sekayu

Air Terjun Best di TerengganuSumber: Beautiful Terengganu

Air Terjun Sekayu merupakan destinasi perlancongan yang popular di negeri Terengganu. Ramai pengunjung dari serata tempat datang ke sini untuk menikmati keindahan alam dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan. Air terjun ini terletak di Hutan Simpan Hulu Terengganu, kira-kira satu jam memandu dari Kuala Terengganu.

Keunikan Air Terjun Sekayu terletak pada tujuh tingkat air terjun yang ada di sini. Di sini juga terdapat kolam buatan sesuai untuk kanak-kanak mandi manda. Air terjun ini terletak dalam Hutan Lipur Sekayu, di mana terdapat pelbagai jenis spesies tumbuhan hutan hujan tropika ada di sini. Tumbuhan di sini juga ditanda dengan nama dan keterangan ringkas jadi anda boleh menimba pengetahuan baru sambil menikmati pemandangan indah di sini. Beberapa kemudahan seperti bilik persalinan, kawasan berkelah, chalet penginapan dan tapak perkhemahan juga disediakan buat para pengunjung jadi anda tidak perlu risau untuk datang ke sini.

Kalau anda mencari lokasi air terjun untuk anda singgah, pastikan anda sampai ke Air Terjun Sekayu untuk pengalaman rekreasi air yang pastinya anda berpuas hati.

Alamat: Hutan Lipur Sekayu, 21700 Kuala Berang, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM – 6 PM)

Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong


4. Air Terjun Lata Belatan

Air terjun best di TerengganuSumber: Beautiful Terengganu

Sekiranya anda sampai ke daerah Besut, amat rugi jika anda tidak datang ke air terjun Lata Belatan. Air terjun ini terletak 15 kilometer dari bandar Jerteh dengan bayaran masuk serendah RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak. Air terjun ini juga terletak di permulaan pintu masuk utama untuk pendakian ke puncak Gunung Tebu.

Anda boleh melakukan aktiviti perkhemahan di sini kerana kebiasaannya, para pendaki akan bermalam di sini dahulu sebelum memulakan pendakian ke Gunung Tebu. Anda juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Perhutanan Terengganu terlebih dahulu untuk sebarang aktivti perkhemahan dan pendakian di sini. Kemudahan asas seperti tandas awam, gerai-gerai, surau dan pondok rehat ada disediakan. Terdapat juga sebuah jambatan gantung di sini di mana pengunjung boleh bergambar kenang-kenangan bersama yang tersayang. Airnya yang jernih dan menyejukkan pasti boleh menghilangkan stres sesiapa sahaja yang datang berkunjung ke sini. Lokasi ini juga sesuai untuk kanak-kanak kerana ada lokasi airnya cetek dan sesuai untuk kanak-kanak mandi-manda.

Jadi, jika anda ingin merasai kesegaran mandi-manda di kawasan air terjun, Air Terjun Lata Belatan pastinya berbaloi untuk anda datang bersama yang tersayang.

Alamat: Kampung Jabi, Besut, 22200, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 096956388


5. Air Terjun Saok

Air Terjun Best di TerengganuSumber: DinoHauz

Air terjun Saok merupakan salah satu daripada air terjun yang terletak berhampiran Tasik Kenyir. Lokasi air terjun ini juga berdekatan dengan Air Terjun Lasir. Anda boleh sampai ke sini dengan menaiki bot selama sejam dari Jeti Gawi. Air di sini juga menyegarkan, dingin dan bersih kerana tidak terlalu ramai pengunjung ada di sini. Air terjun ini juga adalah yang kedua popular di Tasik Kenyir.

Anda tidak perlu khuatir untuk datang ke sini walaupun lokasinya terpencil kerana terdapat beberapa kemudahan seperti tapak perkhemahan dan tandas di sini. Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti BBQ, berkhemah, berkelah, mandi-manda dan memancing di sini. Apa yang uniknya di sini, anda boleh makan durian secara percuma bila mana musim durian tiba di sini. Rugi kalau anda tak singgah ke air terjun Saok.

Kalau sudah sampai ke Tasik Kenyir, pastikan anda juga singgah ke air terjun Saok untuk pengalaman rekreasi air yang tidak dapat dilupakan.

Alamat: Kenyir Lake, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

LokasiUlasan Pelancong


6. Air Terjun Janda Mandi

Air Terjun Best di TerengganuSumber: @syakirmuzhaffar (Amazing Terengganu)

Seunik namanya, air terjun Janda Mandi yang terletak berhampiran Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman ini mempunyai pesona yang tersendiri. Tidak seperti kebiasaan lokasi air terjun yang lain, air terjun ini mempunyai jatuhan air yang terus mengalir ke pantai yang terletak berhampiran. Setelah lokasi ini menjadi tular di media sosial, kelihatan semakin ramai pengunjung yang hadir untuk menyaksikan keindahan dan keunikan air terjun ini.

Air terjun ini juga setinggi 80 hingga 90 meter dan terletak kira-kira 12 minit perjalanan dari bandar Chukai, Kemaman. Jika anda berkeinginan ke sini, anda perlu mendapatkan khidmat penunjuk arah daripada penduduk tempatan kerana laluan ke sini juga berbukit dan mungkin berbahaya kepada pengunjung yang tidak biasa ke sini. Sekiranya anda penggemar aktiviti lasak, anda pasti suka untuk datang ke sini kerana cabaran yang menanti anda dengan trek yang agak berbukit dan licin sebelum anda sampai ke sini.

Rugi jika anda tidak datang ke sini dan menyaksikan sendiri keindahan panorama air terjun yang mengalir terus ke pantai yang mungkin satu-satunya ada di Malaysia.

Alamat: AH18, 24100, 24100 Kijal, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM – 5 PM)

Lokasi | Facebook | Ulasan Pelancong


7. Lata Tembakah

Air Terjun Best di TerengganuSumber: Amazing Terengganu

Lata Tembakah ialah nama yang tidak asing lagi buat pencinta air terjun. Lokasi ini yang terletak di bandar Jertih boleh diakses dalam jarak 130 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Keunikan air terjun ini terletak pada formasi air terjun lima tingkat yang boleh dilawati oleh para pengunjung yang hadir ke sini.

Rata-rata pengunjung yang pernah hadir ke sini memberi komen positif tentang lokasi ini. Airnya yang segar dan jernih ditambah dengan keindahan panorama air terjun membuatkan lokasi ini popular dalam kalangan pencinta air terjun. Yuran masuk juga dikenakan buat pengunjung pada kadar berpatutan. Anda tidak perlu risau apabila datang ke sini kerana pelbagai kemudahan seperti tandas, tapak perkhemahan malahan chalet juga ada disediakan di sini pada kadar RM 50 sehari. Sebuah jambatan gantung juga disediakan buat mereka yang ingin bergambar berlatarbelakangkan air terjun Lata Tembakah.

Jadi, apa tunggu lagi? Pastikan anda singgah ke Lata Tembakah untuk merasai keunikan air terjun lima tingkat yang ada di sini!

Alamat: Jalan Air Terjun, 22010, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi |  Facebook | Ulasan Pelancong


8. Hutan Lipur Menderu

air terjun best di Terengganu

Sumber: Muhd Kamal Suliman, Amat Jasri

Sekiranya anda sedang merancang untuk mandi-manda di kawasan air terjun, anda boleh datang ke Hutan Lipur Menderu yang terletak di bandar Kerteh. Air terjun ini juga terletak dalam kawasan Hutan Simpan Rasau, Kerteh. Jarak Hutan Lipur Menderu dari bandar Chukai, Kemaman adalah kira-kira 53 kilometer.

Setibanya anda di sini, anda boleh melihat pelbagai spesis flora dan fauna yang terdapat di sini. Jika anda sukakan cabaran, anda harus datang ke sini kerana untuk sampai ke Air Terjun Menderu tidak semudah seperti lokasi air terjun lain. Anda perlu menaiki bukit atau hiking terlebih dahulu untuk sampai ke sini. Tetapi, segala penat lelah pasti akan hilang apabila anda melihat keindahan air terjun yang ada di Hutan Lipur Menderu ini. Beberapa kemudahan seperti tandas awam, surau, tempat memasak dan bangku duduk juga disediakan buat para pengunjung. Lokasi ini juga sering menjadi pilihan untuk aktiviti perkhemahan dan berkelah.

Pastikan anda sampai ke Hutan Lipur Menderu untuk pengalaman rekreasi air yang tidak dapat dilupakan bersama yang tersayang.

Alamat: Kampung Rebah Bangun, Kerteh, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

LokasiUlasan Pelancong


9. Taman Rekreasi Tasik Puteri

air terjun best di terengganuSumber: Fitry Yusoff, Beautiful Terengganu

Taman Rekreasi Tasik Puteri telah menjadi bualan ramai di media sosial kerana kecantikan tasik buatan yang ada di sini. Air tasik yang membiru ditambah dengan kehijauan pokok-pokok di sekelilingnya pasti cukup untuk menarik perhatian pengunjung untuk sampai ke sini. Lokasi ini terletak di Bukit Besi, Terengganu dan cukup terkenal dalam kalangan pelancong tempatan.

Untuk sampai ke tasik buatan, anda harus melalui denai-denai hutan untuk sampai ke lokasi tasik buatan dan air terjun yang ada di sini kerana lokasinya yang sedikit terpencil. Tapi, perjalanan anda pasti berbaloi kerana keindahan kawasan ini tidak akan didapati di mana-mana lokasi lain kerana panorama air yang membiru di sini sememangnya unik. Anda boleh memilih untuk mandi-manda, berkhemah atau menyewa ATV yang ada di sini untuk pengalaman meneroka alam semulajadi yang pasti anda tidak lupa. Anda juga dinasihatkan untuk membawa kelengkapan secukupnya kerana kemudahan awam agak terhad di kawasan ini.

Rugi jika anda sudah sampai di Terengganu tapi tidak singgah ke lokasi ini yang sememangnya hebat dengan panorama, ayuh datang ke Taman Rekreasi Tasik Puteri.

Alamat: 23200 Bukit Besi, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

LokasiUlasan Pelancong


10. Lata Kolam Air Deru Ecopark

air terjun best di terengganu

Sumber:  Shafari Azizi Hanifah Ghazali, Rohaizad Gazali 

Sekiranya anda belum sampai ke sini, anda sangatlah rugi kerana Lata Kolam Air Deru Ecopark menawarkan pengalaman dan panorama yang cukup indah buat para pengunjung. Terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu, Hulu Besut, Terengganu, lokasi ini sememangnya unik kerana kehijauan air yang pasti memukau pandangan pengunjung yang datang ke sini.

Kesegaran air terjun serta sungai yang jernih menghijau pasti membuatkan anda ingin kembali lagi ke sini. Kawasan ini yang telah dimajukan sebagai sebuah eco-park menawarkan beberapa pilihan penginapan buat mereka yang ingin bermalam di sini. Penginapan yang ada di sini termasuklah cabin dorm, tube lodge, hammock, glamping serta seperti biasa, perkhemahan. Anda boleh melawat tiga pengkalan yang ada di sini namun hanya Pengkalan Dua dan Pengkalan Suri yang dibuka untuk pengunjung manakala Pengkalan Raja pula tidak dibenarkan untuk aktiviti mandi-manda kerana arus air yang bahaya. Kemudahan juga banyak tersedia di sini serta kawasan ini dijaga dengan baik untuk para pengunjung.

Keunikan warna air sungai yang hijau dan menyegarkan pasti memukau sesiapa sahaja untuk singgah ke sini. Rugi kalau anda tak singgah kerana di sini segalanya sudah tersedia untuk anda. Ayuh semua ke Lata Kolam Air Deru Ecopark!

Alamat: Jalan Kolam Air Panas La, Kampung La, 22010 Jerteh, Terengganu

Waktu Operasi: Setiap Hari

LokasiFacebook | Ulasan Pelancong


Banyak kan lokasi air terjun best di Terengganu? Bolehlah anda mula merancang perjalanan anda dan singgah ke senarai lokasi yang telah dinyatakan tadi. Confirm anda rugi kalau tak singgah air terjun best di Terengganu tau! Selamat bercuti!

Rate this post

Anda Mungkin Berminat

Nasi Dagang Terengganu Yang Sebenar

Pagi ini CD sempat bersarapan dengan menu nasi dagang Terengganu yang sebenar di salah sebuah kedai sarapan pagi yang popular di Kuala Terengganu iaitu...

Senarai Pantai di Terengganu – Yang BEST dan TIDAK !

Terengganu memang tidak dapat dipisahkan dengan pantai. Dan memang banyak pantai-pantai di Terengganu yang menarik dan ada juga yang biasa-biasa je. Terpulang kepada anda...

10 Tempat “Hiking” Di Terengganu Dengan Pemandangan Yang Memukau!

Aktiviti hiking atau mendaki ini telah menjadi satu aktiviti yang ramai digemari oleh setiap lapisan masyarakat. Bagi mereka yang betul-betul minat dalam aktiviti lasak...

7 Pulau di Terengganu Yang MENARIK Untuk Bercuti

Selain pulau di Sabah & pulau di Pahang, Terengganu juga mempunyai destinasi percutian di pulau-pulau yang sangat best & bertaraf dunia. Secara keseluruhannya, terdapat...

41+ Tempat Menarik di Terengganu YANG FEMES & BEST Untuk Dilawati

Negeri Terengganu Darul Iman merupakan satu negeri destinasi percutian yang sering menjadi tumpuan pelancong terutamanya untuk pelancong yang sukakan aktiviti-aktiviti yang lebih dekat dengan...

10+ Chalet Best Sekitar Pantai di Terengganu – Pastinya memberikan kenangan abadi!

Terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, negeri Terengganu Darul Iman merupakan antara negeri di dalam Malaysia yang mempunyai banyak tarikan dan keistimewaan yang tersendiri....
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Hubungi Kami

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x