10 Tempat Menarik Yang Wajib Anda Singgah!

Terkenal sebagai salah satu bandar yang penuh dengan tarikan kebudayaan diikuti dengan warisan Adat Perpatih, Kuala Pilah merupakan bandar ketiga terbesar di dalam Negeri Sembilan selepas Jempol dan Jelebu. Kalau anda nak tahu, Kuala Pilah juga digelar dengan gelaran ‘Bandar Diraja di Negeri Sembilan’ tau. Bukan tu je, lokasi bandar ini juga sangat strategik di mana ianya terletak berdekatan dengan kawasan Wilayah KL dan Negeri Selangor. Mengambil masa kurang dari 2 jam sahaja untuk sampai ke sini.

Kalau anda plan nak bercuti ke Negeri Sembilan, jangan lupa singgah ke Kuala Pilah. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati bersama keluarga mahupun kawan-kawan anda di Kuala Pilah. Nak tau kat mana? Berikut merupakan 10 tempat menarik di Kuala Pilah yang telah kami sediakan buat anda. Tinggal scroll dan baca je!

10 Tempat Menarik di Kuala Pilah


1. Muzium Diraja Seri Menanti

Muzium Diraja Seri Menanti

Terletak bersebelahan dengan Seri Menanti Resort di Kuala Pilah, Muzium Diraja Seri Menanti ini dahulunya merupakan istana lama dan kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900-an. Dan kalau anda nak tau, istana ini sangat unik kerana diperbuat daripada kayu tanpa sebarang paku tau! Muzium ini terbahagi kepada empat bahagian berbeza bermula dari Balai Rong Seri iaitu tempat takhta dan mengadap raja, Balai Raja Muda, Bilik Beradu dan akhir sekali Ruang Santapan. Pada ruangan-ruangan ini anda dapat melihat juga pameran gambar-gambar yang berkaitan dengan kawasan tersebut.

Selain itu, terdapat pelbagai bahan pameran seperti senjata api, pakaian serta dokumen berkaitan keturunan kerabat diraja. Oh sebelum terlupa, kemasukan adalah percuma dan muzium ini dibuka setiap hari waktu pejabat dan juga cuti umum. Banyak kisah sejarah yang anda boleh manfaatkan bila datang ke sini. Confirm tak rugi!

Alamat: Seri Menanti, 71550, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap hari: 9 pagi – 5 petang, Jumaat sahaja: 9am–12:15pm, 2:45–5pm

Lokasi | Laman WebUlasan Pelancong | Phone: 06-4979653


2. NS Dairy Farm

NS Dairy Farm 5

Keindahan pemandangan dan kedamaian melihat lembu tenusu meragut di padang menghijau, sering dikaitkan dengan New Zealand atau paling hampir di Malaysia adalah Kundasang, Sabah. Namun, pemandangan itu kini boleh dinikmati oleh orang ramai dengan mengunjungi NS Dairy Farm yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dekat je gais! Dan kalau anda nak tau, selain dari lembu, kambing pun ada juga di ladang ni tau.

Selain berfungsi sebagai ladang ternakan, NS Dairy Farm juga ada menyediakan farmstay dengan pelbagai aktiviti menarik seperti farm tour, team building, flying fox, wall climbing, monkey walk dan macam-macam lagi. Harga tiket masuk untuk dewasa adalah RM10 dan kanak-kanak serta warga emas cuma RM5. Bukan tu je, mereka yang datang melawat ladang ini juga akan mendapat air susu segar 250 ml dengan pelbagai perisa. Boleh la datang bercuti di sini dengan anak-anak anda hujung minggu ni. Mesti best!

Alamat: No.3720, Padang Ragut, Rembang Panas, Juasseh, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Operasi: Setiap hari: 9 pagi – 5 petang

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 03-41060575

Whatsapp NS Dairy Farm


3. Taman Rekreasi Ulu Bendul

Taman Rekreasi Ulu Bendul

Seterusnya, tempat menarik yang ada di Kuala Pilah ialah Taman Rekreasi Ulu Bendul. Boleh dikatakan hampir setiap minggu ramai yang datang ke sini untuk berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi bersama keluarga dan kawan-kawan. Kebanyakan pengunjung adalah penduduk tempatan sekitar Seremban atau kampung berhampiran, tetapi ada juga sanggup memandu dari ibu kota ke destinasi ini. Tarikan utama yang ada di taman rekreasi ini semestinya air terjun yang jernih mengalir dan taman ular. Selain dari aktiviti meredah hutan dan mendaki, nak berkelah pun boleh. Sebelum terlupa, bagi yang bawa anak kecil boleh la mandi di kolam buatan yang telah disediakan di sana. Nak pantau anak pun senang.

Kalau ada yang plan nak berkhemah, bonus untuk anda kerana lokasi yang sesuai telah disediakan. Jadi senanglah nak pacak khemah nanti! Jangan lupa bawa alat kelengkapan tau. Tapi kalau nak sewa khemah dari taman rekreasi pun boleh dengan kadar RM5 untuk semalam. Seperti kebanyakkan taman rekreasi yang lain, di sini juga gerai makan tersedia di luar pintu masuk bagi memudahkan pengunjung yang hendak membeli makanan. Nak masuk kena bayar ke? Tak ada bayaran masuk akan dikenakan. Percuma je!

Alamat: Hutan Lipur Ulu Bendul Kuala Pilah, Ulu Bendul, Kuala Pilah, NS 72000

Waktu Operasi: 7 pagi – 6 petang

LokasiUlasan Pelancong 


4. Bukit Senaling

Bukit Senaling

Bukit Senaling bukan sahaja menawarkan pemandangan yang menarik malah pendaki akan menikmati pemandangan “awan karpet” yang sangat memukau setelah tiba di puncak. Dengan ketinggian 394 meter, bukit ini sesuai untuk dijadikan lokasi pendakian bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pendakian. Sudah pasti ia juga sesuai buat sesiapa sahaja yang gemar untuk mendekati alam flora dan fauna, sambil menikmati pemandangan matahari terbit yang dihiasi kabus serta awan karpet di sekelilingnya. Trek laluan ke atas agak jelas dan tidak terlalu semak membuatkan ia mudah untuk dilalui oleh para pendaki. Tapi, terdapat beberapa lokasi di trek yang agak licin, khususnya jika baru berlakunya hujan. Jadi, tolong berhati-hati okay?

Perjalanan dari titik mula sehingga ke Puncak Bukit Senaling adalah sejauh kurang lebih 3 KM. Ada antara para pendaki yang memulakan pendakian seawal jam 5 pagi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena matahari terbit. Bagaimanapun, buat anda yang ingin mendaki perlulah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Ulu Senaling Hikers dan person-in-charge ialah Encik Yusri. Ini kerana sepanjang laluan mendaki bukit, para pendaki perlu melalui tanah-tanah persendirian yang terhad untuk orang luar termasuk kawasan meletak kereta. Ulu Senaling Hikers akan menyediakan peralatan lengkap sewaktu mendaki termasuk seorang juru pandu (guider). Bayaran yang dikenakan diantara RM15 – RM20. Buat kaki hiking, dah sedia ke nak tawan Bukit Senaling?

Alamat: Start point Bukit Senaling Hiking Trail 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Operasi: 6 pagi – 8 pagi. Tidak dibuka untuk mendaki selepas 8 pagi.

LokasiFacebook | Ulasan Bisnes 


5. Wave Rock

Wave Rock

Sekiranya hobi anda adalah mendaki atau rock climbing, anda harus menyenaraikan lokasi ini sebagai spot baru untuk anda melakukan aktiviti lasak sekaligus menguji adrenaline! Wave Rock ini terletak di puncak bukit baginda dalam daerah Kuala Pilah. Wave Rock ni apa sebenarnya? Kalau anda nak tau, ianya merupakan batu besar yang berbentuk bulat dengan sebahagian daripadanya memiliki tekstur beralun seperti ombak. Dan kalau anda nak tengok bentuk batu ni sendiri, kena lah daki sampai ke puncak! Jangan cakap penduduk tempatan je, hikers dari luar negara seperti Perancis dan Jepun pun turut mendaki untuk melihat Wave Rock ini sendiri. Peringatan, trek mendaki agak sedikit mencabar buat mereka yang belum pernah lagi hiking.

Para pendaki yang berminat hendak mendaki dan melihat sendiri Wave Rock akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM11 iaitu RM5 daripadanya adalah permit hutan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan Bayaran RM6 untuk masuk ke Bukit Baginda dikutip oleh Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK). Sedikit info, bayaran untuk permit perlu dibuat di Pejabat Hutan Kuala Pilah manakala pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, boleh dibuat kepada pegawai perhutanan yang berada di situ. Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai aktiviti mendaki, boleh terus hubungi Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Alamat: Kampung Majau, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap hari: Seawal jam 7 pagi

LokasiUlasan Pelancong


6. ATV Kg Jkin Extreme Park

ATV Kg Jkin Extreme Park

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak seperti ATV ride, anda wajib singgah ke Extreme Park di Kg Jkin. Terletak di laluan lama antara Seremban dan Kuala Pilah atau dikenali dengan nama Bukit Putus yang berdekatan dengan Ulu Bendul. Jika anda dari Seremban, sebelum naik ke jambatan kedua tertinggi di Malaysia tu (jalan baru), anda masuk simpang kanan. Di simpang tu ada iklan Starfresh yang besar. Terus ke depan. Kg Jkin Extreme Park di sebelah kanan. Jalan ini jugalah yang digunakan jika mahu ke lokasi permulaan memanjat Gunung Angsi.

Selain ATV, ada lagi aktiviti lasak yang anda boleh buat semasa berada di sana seperti flying fox, rock climbing, dan hiking ke Bukit Putus. Harga yang ditawarkan untuk bermain semua aktiviti lasak di sini pun jauh lebih murah berbanding dengan harga di kawasan lain. Oh ye, kalau rasa penat dan malas nak drive balik, jangan risau, anda boleh bermalam di resort dan tapak perkhemahan yang telah disediakan di dalam kawasan extreme park ini. Harga untuk satu malam pula bermula dari RM30 seorang. Murah kan! Kedai makan pun ada, jadi senang lah buat mereka yang menginap di resort Kg Jkin ini.

Alamat: 361, 70400 Jalan Bukit Putus Lama Seremban-Kuala Pilah, 70400, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Selasa – Ahad: 9 pagi – 5.45 petang. Isnin: Tutup

Lokasi | Facebook | Ulasan Bisnes | Phone: 011-20893883

Whatsapp ATV Kg Jkin Extreme Park


7. D’KOK Eco Camp

D'Kok Eco Camp

D’kok eco camp terletak di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kira-kira 25 km dari Seremban. Sebelum anda sampai ke Pekan Tanjung Ipoh, terdapat simpang ke Kg Talang di sebelah kiri. Kena masuk lebih kurang 6 km ke dalam dan anda akan nampak papan tanda “Selamat Datang” untuk ke kem. Sebuah kem yang serba lengkap dengan kemudahan asas dan bertemakan “BACK TO BASIC”. Lengkap dengan jurulatih yg berpengalaman dan fasilitator terlatih yang sangat komited. Kalau anda nak tau juga, kawasan kem ni boleh menampung seramai 220 orang dalam satu masa. Terdapat 6 dorm, 10 chalet dan dewan seminar untuk disewa. Tapak perkhemahan pun ada disediakan. Senang cerita, kawasan kem ni memang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat untuk team-building mahupun acara hari keluarga.

Aktiviti apa yang best dekat kem ni? Banyak ye! Antaranya ialah meredah hutan, flying fox, tubing, menyeberang sungai, berkayak, night walk, memanah dan indoor games! Terdapat kolam renang kecil buat kanak-kanak untuk mandi-manda juga tau. Ada yang dah rancang nak buat hari keluarga atau team-building tapi tak tau nak buat di mana? Tempah la slot anda dengan D’KOK Eco Camp, confirm best! Kalau ada sebarang pertanyaan, tekan je butang Whatsapp kat bawah ni okay?

Alamat: Kampung Talang, 71500 Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap hari: 9 pagi – 6.30 petang

Lokasi | Facebook | Ulasan Bisnes | Phone: 013-2377228

Whatsapp D’KOK Eco Camp


8. Ladang Alam Warisan

Ladang alam warisan

Sedikit info, pengasas pada Ladang Alam Warisan iaitu Tuan Akmal Dahalan, merupakan seorang yang begitu komited dalam mengenalkan sunah memanah dan berkuda ini kepada orang ramai. Menurut beliau, melalui sunah memanah dan berkuda dapat mengajar seseorang untuk membina kekuatan, keyakinan, kejituan, kepantasan dan melahirkan sifat kemimpinan yang baik. Beliau telah membuktikannya dengan kejayaan menjadi pemanah berkuda No. 1 Dunia dalam acara global pada tahun 2019. Hebat kan?

Merupakan salah satu tempat menarik di Kuala Pilah yang wajib anda kunjungi jika mahu mengenal gaya hidup, kesenian, warisan dan adat resam Melayu dengan lebih dekat. Bayangkan bila anda masuk je ke ladang ini, bukan ladang yang anda akan lihat, sebaliknya satu perkampungan Melayu yang unik dengan seni binaan rumah kayu lama. Anda juga boleh menginap di homestay untuk merasai sendiri suasana di perkampungan Melayu. Bukan tu je, anda juga berpeluang untuk mencuba pakaian tradisional orang Melayu dulu. Siap dengan tanjak dan keris tau! Antara aktiviti yang terkenal di sini adalah memanah dan berkuda. Anda boleh belajar cara-cara menunggang kuda dan memanah yang betul. Selain itu, terdapat pelbagai lagi aktiviti lain seperti memberi haiwan makan di zoo mini, permainan muzik tradisional, berkhemah dan bermacam-macam lagi.

Alamat: Ladang Alam Warisan, 54,Jalan Masjid,Kampung Tengah,Tanjung Ipoh, 71500, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Selasa – Ahad: 9 pagi – 6 petang, Isnin: Tutup

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Bisnes | Phone: 012-3460709

Whatsapp Ladang Alam Warisan


9. Gunung Angsi

Gunung Angsi

Gunung Angsi adalah salah sebuah gunung yang terkenal di Negeri Sembilan dan mempunyai ketinggian sekitar 825 meter (2,702 kaki). Terletak lebih kurang satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Gunung Angsi sering dijadikan lokasi untuk berlatih dan beriadah oleh warga kota. Selain itu, lokasinya juga berdekatan dengan Taman Rekreasi Ulu Bendul menjadikan Gunung Angsi begitu popular di kalangan pendaki yang mahu mandi-manda selepas berjaya menawan puncak Gunung Angsi.

Terdapat dua laluan pendakian iaitu trailhead Ulu Bendul dan Bukit Putus. Trailhead Bukit Putus lebih mudah dan santai berbanding trailhead Ulu Bendul yang mempunyai jarak trek laluan anak sungai yang lebih jauh. Apa pun, anda wajib mendaftar di Pejabat Taman Ranger sebelum memulakan pendakian dan membayar yuran sebanyak RM 5 seorang.

Alamat: Gunung Angsi, Jalan Kuala Pilah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Operasi: Kaunter pendaftaran dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula dari 8 pagi – 11 pagi. Sabtu dan Ahad dari 6 pagi – 11 pagi.

LokasiUlasan Pelancong 


10. Makam Tuan Tulis

Makam Tuan Tulis

Tau tak ada cerita dan sejarah di sebalik nama Tuan Tulis ni? Tun Tulis atau Tuan Tulis adalah gelaran kepada seorang ulama yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan bernama Haji Ismail Bin Hussein. Seorang anak muda yang miskin tetapi penuh semangat untuk menuntut ilmu agama. Dek kerana kemiskinannya, beliau tidak mampu untuk membeli buku. Oleh itu, beliau meminjam buku dari rakan-rakannya dan menyalin buku itu dengan tulisannya sendiri. Dari situ rakan-rakannya mengelarkannya dengan gelaran Ismail Tulis. Selepas perguruannya, beliau tidak henti-henti menulis kitab sehinggalah orang kampung menggelarkannya Tuan Tulis. Selepas beliau meninggal dunia, Yang Dipertuan besar Negeri Sembilan mentitahkan agar dibina bangunan di makam Tun Tulis dan bangunan tersebut kekal hingga ke hari ini. Menarik kan sejarah Tuan Tulis ni?

Makam Tuan Tulis terletak dalam kawasan perkarangan Masjid Tuan Tulis Ismail Kampung Kuala Talang yang mengambil nama sempena namanya. Lokasi masjid ini adalah di Tanjung Ipoh, lebih kurang 5 km dari Bandar Kuala Pilah. Bentuk makam Tuan Tulis ini sedikit berbeza dengan makam-makam yang lain menjadikan tempat ini unik dan menarik. Bagi mereka yang hendak datang melawat makam ini, anda boleh hubungi terus Majlis Daerah Kuala Pilah di mana pegawai bertugas akan menerangkan waktu operasi dan lain-lain. Semoga roh arwah Tuan Tulis dicucuri rahmat. Al Fatihah.

Alamat: Kampung Kuala Talang, 71500 Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan

Lokasi | Laman web | Ulasan Pelancong | Phone: 06-4812075


Banyak tempat menarik yang ada sejarahnya tersendiri di Kuala Pilah. Jadi, tak rugi kalau anda datang bercuti ke Kuala Pilah dan singgah ke salah satu tempat yang telah kami senaraikan. Semoga tempat bersejarah di daerah ini dapat memberi kita manfaat yang positif.

4/5 - (4 votes)

Anda Mungkin Berminat

8 Homestay di Kuala Pilah untuk Penginapan Anda

Kuala Pilah merupakan salah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi apabila anda datang ke Negeri Sembilan. Antara tempat yang menarik ialah Ladang Alam...
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Hubungi Kami

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x